Showing posts with label jurnal hukum 1994. Show all posts
Showing posts with label jurnal hukum 1994. Show all posts

Sunday, October 11, 2009

kEs TaLaq

KES RAZIMAH HANIM lwn YUSUF BIN HASBULLAH
Mahkamah Syariah Kuala Lumpur, 13 April 1993
Fakta kes
Dalam kes ini responden telah memohon untuk penceraian di bawah seksyen 47 Akta Undang- undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984. Oleh kerana perayu tidak bersetuju terhadap penceraian itu, mahkamah telah melantik Jawatankuasa Pendamai untuk mencuba mengadakan pendamaian. Pada masa kes itu masih berjalan, suami telah melafazkan penceraian dengan talaq satu di luar mahkamah tanpa kebenaran mahkamah, dikatakan di hadapan dua orang saksi akan tetapi tanpa kehadiran isterinya. Isteri itu telah diberitahu mengenai penceraian itu dua bulan kemudian. Suami itu telah memohon kepada mahkamah supaya mengesahkan lafaz talaq itu. Hakim Yang Arif tidak mendengar dan memanggil isteri serta saksi yang terlibat akan tetapi bergantung kepada ikrar suami bahawa dia telah melafazkan talaq itu. Maka, Hakim Yang Arif telah mengesahkan talaq itu. Pihak isteri membuat rayuan bersandarkan alasan bahawa tindakan Hakim Yang Arif bercanggah dengan prosedur seksyen 47 Akta Undang- undang Keluarga Islam.

Isu berbangkit
1) Pengesahan lafaz cerai daripada suami oleh hakim
Suami telah mendakwa ia telah melafazkan cerai satu talaq di luar Mahkamah tanpa kebenaran Mahkamah dan pengesahan lafaz tersebut telah dibuat oleh dua orang saksi secara bertulis. Kemudian suami memohon Hakim untuk mengesahkan lafaz cerai tersebut di dalam dewan tertutup. Hakim Yang Arif telah menerima lafaz tersebut berdasarkan pengakuan suami yang dibuat tanpa paksaan.
2) Permohonan cerai di bawah Akta Undang- undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984.
Pengesahan lafaz cerai tersebut bertentangan dengan permohonan yang dibuat pada awal kes dahulu iaitu mengikut prosedur dalam Seksyen 47 Akta Undang- undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984. Menurut prosedur dalam Akta tersebut, Mahkamah perlu menasihati suami untuk melafazkan cerai di hadapan Mahkamah sekiranya rumahtangga tersebut tidak dapat diselamatkan lagi. Ia tidak pernah membuat aduan kelengahan atau kecuaian dalam kes itu. Jika terdapat kelengahan atau kecuaian, suami itu atau peguamnya boleh mengambil tindakan di Mahkamah dan membuat apa- apa permohonan yang sesuai.
3) Keputusan Jawatankuasa Pendamai yang dilantik
Mahkamah telah melantik Jawatankuasa Pendamai mengikut Akta bertujuan untuk mencapai pendamaian dalam tempoh enam bulan dari pembentukan Jawatankuasa tersebut. Jawatankuasa Pendamai perlu mengemukakan perakuan kepada Mahkamah bahawa ia tidak dapat mencapai pendamaian dan tidak dapat memujuk pihak- pihak itu supaya hidup semula sebagai suami isteri.

Ulasan Undang- undang Keterangan Islam
1) Iqrar
Suami telah mendakwa dengan tanpa paksaan melafazkan satu talaq di luar Mahkamah kepada isterinya tanpa kehadiran isteri namun disaksikan oleh 2 orang saksi secara tulisan. Iqrar tersebut telah dibuat di hadapan Hakim dalam majlis tertutup.
2) Saksi atau syahadah
Suami telah membawa 2 orang saksi bagi menyakinkan Hakim mengenai lafaz talaq tersebut. Namun, Hakim Yang Arig telah membelakangkan keterangan saksi- saksi tersebut sebaliknya berpendapat bahawa iqrar daripada pihak suami sudah menyakinkan untuk disahkan lafaz cerai tersebut.
3) Pengetahuan Hakim atau Ilm al- Qady
Walaupun pemohonan dibuat atas Seksyen 47 Akta Undang- undang Keluarga Islam 1984 yang mana terdapat prosedur tertentu yang digariskan melalui Akta ini, namun Hakim Yang Arif telah mengenepikan prosedur tersebut dengan menggunakan kuasanya untuk mengesahkan lafaz cerai tersebut. Ia tidak menyebabkan lafaq cerai tersebut terbatal kerana kaedah ini diterima dalam Undang- undang Keterangan Islam. Pengesahan dibuat oleh Hakim supaya hubungan suami isteri tersebut menjadi jelas kerana dikhuatiri akan berlaku kesamaran dalam penceraian tersebut sekiranya tiada pengesahan oleh pihak yang mempunyai bidangkuasa seperti Hakim
Keputusan kehakiman
Diputuskan, keputusan terdahulu Hakim Yang Arif diketepikan hukuman dan memerintahkan kes ini terus dibicarakan semula. Mahkamah hendaklah mengambil kira laporan atau perakuan dari Jawatankuasa Pendamai yang telah dilantik dan jika Jawatankuasa Pendamai itu memberi perakuan bahawa mereka tidak dapat mencapai perdamaian, mahkamah hendaklah menasihati suami untuk melafazkan satu talaq di hadapan mahkamah.

kEs FaSaKH


KES ROHANI BT MOHD YUSOF lwn MD. SAZALI
Jawatankuasa Ulangbicara Wilayah Persekutuan
(kes mal No 4/1991- 16 Febuari 1993)
Fakta kes
Di dalam kes ini, perayu telah menuntut fasakh atas alasan suaminya, responden telah tidak memberinya nafkah untuk tempoh lebih tiga bulan. Di Mahkamah Rendah Syariah, Hakim Yang Arif telah berpendapat atas fakta kes itu bahawa suami itu telah tidak pernah membayar nafkah kepada isterinya untuk masa lebih tiga bulan dan isteri itu tidak pernah diperintahkan nusyuz oleh mana- mana mahkamah. Walaubagaimanapun Hakim Yang Arif itu berpendapat bahawa mengikut mazhab Syafie adalah perlu dibuktikan bahawa suami itu tidak berupaya memberi nafkah. Oleh kerana itu, beliau telah menangguhkan kes itu sebulan untuk membolehkan suami membayar satu bulan nafkah kepada isteri itu. Suami itu telah membayar RM200.00 sebagai nafkah dan Hakim Yang Arif kemudiannya menolak tuntutan isteri itu kerana beliau berpendapat suami itu berupaya memberi nafkah. Isteri telah merayu. Perayu mendakwa fakta kes tidak dipertikaikan namun soal yang timbul ialah soal undang- undang mengenai tafsiran yang betul seksyen 52 khususnya seksyen 52 (1) (b) Akta Undang- undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan). Seksyen 52 itu telah membuat pindaan yang amat penting kepada undang- undang mengenai fasakh iaitu mengikut peruntukkan Akta Pembubaran Perkahwinan Islam 1939 India dan Pakistan berdasarkan mazhab Maliki.
Isu berbangkit
1)      Pindaan Seksyen 52 (1) (b) Akta Undang- undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan)
Sekyen 52 telah membuat pindaan penting terutama bagi fasakh untuk mengikut mazhab Maliki yang mana hak mendapat fasakh diberi kepada isteri atas alasan bahawa suami telah cuai atau telah tidak mengadakan peruntukkan bagi nafkahnya selama tiga bulan. Sedangkan sebelumnya Seksyen 52 berdasarkan mazhab Syafii yang mengatakan bahawa untuk menentukan suami tidak berupaya member nafkah kepada isterinya hendaklah kes ditangguhkan tiga hari selepas kes perbicaraan selesai.
2)      Tuntutan nafkah oleh isteri
Suami telah tidak membayar nafkah kepada isterinya untuk masa lebih tiga bulan dan isteri tidak pernah diperintahkan oleh mana- mana Mahkamah bahawa telah berlaku nusyuz. Tuntutan fasakh dan nafkah merupakan hak isteri ke atas suami.
Ulasan Undang- undang Keterangan Islam
1)      Iqrar isteri
Isteri terpaksa berulang- alik dari Banting ke Kuala Lumpur kerana megikut kehendak suaminya walaupun isteri telah membeli rumah di Klang namun suaminya menolak untuk tinggal di sana. Sebaliknya suami mengajak isteri untuk berpindah ke Seberang Prai setelah ditawarkan bekerja di sana namun tidak juga memberi nafkah. Isteri pernah membuat permohonan untuk mendapatkan penceraian akan tetapi perkara itu telah diselesaikan. Suami hanya menziarahi isteri serta anaknya sekali seminggu tanpa mengadakan nafkah juga setelah isterinya berpindah ke Kuala Lumpur atas urusan kerja dan tinggal bersama ibubapanya.
2)      Iqrar suami
Suami telah mengakui tidak memberi nafkah kepada isterinya sejak September 1989 sekaligus menafikan permohonan isterinya yang menyatakan nafkah tidak dibayar sejak Julai 1989 dan isteri masih dalam keadaan ketaatan kepada suami. Suami enggan menceraikan isterinya atas nasihat peguamnya.
3)      Iqrar Jawatankuasa Pendamai
Permohonan cerai dibuat setelah Jawatankuasa Pendamai membuat perakuan tidak Berjaya mendamaikan hubungan kedua- dua pihak untuk hidup sebagai suami dan isteri semula.
Keputusan kehakiman
Diputuskan, pihak mahkamah membenarkan rayuan ini dan oleh kerana Yang Arif Hakim sendiri telah berpendapat atas fakta ini bahawa suami telah tidak membayar nafkah kepada isteri sejak September 1989 sehingga hari perbicaraan itu dan isteri tidak pernah diperintahkan nusyuz. Maka, mahkamah memerintahkan bahawa perkahwinan itu dibubarkan dengan fasakh atas alasan bahawa suami telah cuai dan telah tidak mengadakan peruntukkan bagi nafkah isterinya selama lebih tempoh tiga bulan.

KeS wAkAf KhaS

KES TEGAS SEPAKAT lwn MOHAMED FAIZAL TAN
Mahkamah Tinggi, Johor Bharu, 25 Jun 1992, Saman Pemula No.269/ 1992
Fakta kes
Plaintif telah membeli sebidang tanah di Johor Bharu dan tanah tersebut diberi dibawah suratikatan wakaf yang dibuat pada tahun 1909 oleh al- Marhum Mohamed Salleh bin Perang, Dato’ Bentera Luar, Johor untuk dua orang anaknya Othman dan Kalthom dan anak- anak mereka. Pemberian wakaf itu telah dipertikaikan akan tetapi pada akhirnya Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Persekutuan telah memutuskan bahawa wakaf itu adalah sah. Responden ialah wakil kepada seorang ahli waris tunggal dan anak perempuan kepada Suleiman bin Mohamed Salleh, seorang anak yang tidak dimasukkan namanya dalam wakaf itu. Responden telah bersandar kepada fatwa yang dikeluarkan oleh Lujnah Fatwa dan telah diterimapakai oleh Mahkamah Syariah pada 14/12/1991 yang mengisytiharkan bahawa tanah itu bukan tanah wakaf, tanah itu adalah hak milik Suleiman dan adik- beradiknya mengikut hukum faraid dan pengesahan wakaf kepada Othman dan Kalthom adalah tidak sah mengikut hukum syarak. Responden juga mendakwa bahawa oleh kerana pindaan kepada Perkara 121 Perlembagaan Persekutuan yang berkuatkuasa dari 10/6/88 telah membahagikan bidangkuasa sivil dan syariah tanpa ada pertelingkahan iaitu campurtangan mana- mana pihak selama penghakiman itu masih ada.

Isu berbangkit
1) Fatwa dari Lujnah Fatwa dalam pensabitan
Responden telah bersandar kepada fatwa yang dikeluarkan oleh Lujnah Fatwa dan disisarkan di dalam Warta Kerajaan Johor No. 1598/1991 pada 15/2/1991 dan yang telah diterima pakai oleh Mahkamah Syariah pada 14/12/1991 yang mengisytiharkan bahawa tanah itu bukan tanah wakaf dan ia merupakan hak milik Suleiman dan adik- beradiknya mengikut faraid. Fatwa terdahulu Mufti Johor yang dikeluarkan pada 22/3/1970 mengesahkan wakaf yang diberikan kepada Othman itu tidak sah mengikut hokum syarak. Perintah Kadi Johor Bharu mengesahkan tanah yang diberi kepada Kalthom adalah wakaf khas juga tidak sah mengikut hukum syarak.
2) Penguatkuasaan Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan
Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Persekutuan telah memutuskan bahawa wakaf itu adalah sah. Pindaan kepada Perkara 121 Perlembagaan Persekutuan yang berkuatkuasa dari 10/6/88 dan yang mengenepikan bidangkuasa Mahkamah Sivil mengenai wakaf Mahkamah Tinggi adalah terikat dengan dikri Mahkamah Tinggi selama penghakiman itu masih tetap ada. Doktrin stare desicis (duluan kehakiman), res judicata (jika ia telah dihukum oleh mahkamah yang ada bidangkuasa maka ia tidak boleh dicabar oleh pihak yang awal), isu estoppels terus dipakai kerana Akta Perlembagaan (pindaan) 1988 yang membuat pindaan kerana Perkara 121 mengenai bidangkuasa mahkamah sivil di dalam mana- mana perkara di dalam bidangkuasa Mahkamah Syariah tidak mempunyai kesan kebelakangan.

3) Tindakan Responden mengkaveatkan tanah tersebut dibawah Seksyen 323 (1) Kanun Tanah Negara.
Responden muncul dalam kes ini sebagai wakil waris tunggal yang ada dan anak perempuan “kepada Suleiman dan juga” ketua keluarga waris enam anak yang telah meninggal dunia kepada Suleiman dan ia telah serah- simpan kaveat mengenai tanah itu di bawah peruntukkan S.323 (1) (a) Kanun Tanh Negara atas alasan bahawa pemberi surat kuasa wakil itu menuntut hak milik kepada atau kepentingan yang boelh didaftar atau mana- mana hak kepada hak milik atau kepentingan atas tanah itu oleh kerana keturunan mereka dari Suleiman.

Ulasan Undang- undang Keterangan Islam
1) Iqrar secara tulisan
Keputusan terdahulu Mahkamah Sivil Atasan yang mengesahkan pemberian wakaf kepada Othman dan Kalthom serta anak- anak mereka adalah sah. Dan ia tidak bercanggah dengan mana- mana undang- undang yang berkuatkuasa.
2) Iqrar secara lisan
Responden mengakui bahawa mendapat surat kuasa wakil dari ahli waris tunggal yang merupakan anak kepada Suleiman bin Mohammad Salleh, seorang anak yang tidak dimasukkan nama di dalam wakaf itu, untuk menuntut hak milik atau kepentingan atau hak yang boleh didaftar ke atasa tanah itu.

Keputusan kehakiman
Diputuskan, hakim telah menerima hujjah pihak plaintif bahawa surat itu ditulis untuk menyebutkan sejarah dan latarbelakang mengenai kes itu dan untuk kepentingan dan kesan sepenuhnya penghakiman Mahkamah Sivil itu dan tidak boleh dianggap sebagai penundukkan dan penghakiman Mahkamah Syariah untuk perbicaraan selanjutnya didalam perkara yang telah diputuskan secara muktamad oleh Mahkamah Persekutuan. Sungguhpun Lujnah Fatwa adalah badan yang ditubuhkan dibawah seksyen 15 Enakmen Pentadbiran Undang- undang Islam, Johor 1971 namun ia tidak boleh ditafsirkan sebagai suatu mahkamah keadilan untuk maksud kepada penundukkan bidangkuasa. Oleh yang demikian, seorang yang bukan ahli waris Othman dan Kalthom tidak boleh diiktiraf sebagai mempunyai kepentingan yang boleh dikaveat di atas tanah itu di bawah peruntukkan seksyen 323 (1) Kanun Tanah Negara selama keputusan Mahkamah Persekutuan itu masih tetap ada.

kEs HaDHAnaH


KES RAHANIM BT MOHD YOBE lwn ADNAN B. AHMAD
Mahkamah Kadi Besar, Kuala Lumpur, 29 Ogos 1991
(kes mal no 7/89)
Kes ini adalah satu kes tuntutan mal yang dibuat oleh Rahanim binti Mohd Yobe (Yang Menuntut) yang tinggal di no28 Jalan 5/9, Taman Melati, Kuala Lumpur ke atas bekas suaminya Adnan bin Ahmad (Yang Kena Tuntut) terhadap hak jagaan anak yang bernama Adreena binti Adnan. Sejak tarikh penceraian antara Yang Menuntut dengan Yang Kena Tuntut pada 20/9/88, Adreena berada di bawah jagaan pihak Yang Kena Tuntut. Pihak Yang Menuntut telah memfailkan tuntutan hak hadanah ke mahkamah pada 19/1/89 kerana tidak berpuas hati dengan tindakan Pihak Yang Dituntut. Kes telah disebut beberapa kali tetapi tidak dibicarkan kerana Pihak Yang Dituntut mendakwa pihak mahkamah tidak mempunyai bidangkuasa untuk mendengar kes ini disebabkan pernikahan mereka berlaku di Thailand. Keputusan diberi pada 12/6/89 dengan menolak permohonan untuk mengenepikan perintah tegahan yang dikeluarkan oleh mahkamah pada 15/4/89. Dan mahkamah berpendapat ia mempunyai bidangkuasa untuk mendengar kes ini. Malah, satu perintah sementara mengenai hak lawatan dan bermesra dengan anak telah dikeluarkan oleh mahkamah pada 15/5/89 dengan perintah bahawa Yang Kena Tuntut mestilah memberi hak lawatan dengan menyerahkan Adreena kepada ibunya mengikut masa dan hari yang ditetapkan oleh mahkamah.

Isu berbangkit
1)      Bidangkuasa Mahkamah untuk mendengar kes
Pernikahan Yang Menuntut dengan Yang Kena Tuntut berlaku di Thailand melalui wali hakim. Pernikahan ini tidak didaftarkan semula di Pejabat Kadi Gombak Timur yang mempunyai bidangkuasa yang mana Yang  Menuntut tinggal pada masa itu. Menurut kenyataan Yang Menuntut pada 2/5/88 beliau telah menulis kepada Konsul Malaysia di Thailand mengenai perkara ini dan beliau mendapat surat pengesahan daripada pihak Konsul Malaysia yang mengesahkan perkahwinannya dengan Yang Kena Tuntut dari segi hukum syarak.


2)      Hak jagaan Adreena
Adreena telah diambil oleh Yang Kena Tuntut sejak 2/9/88 iaitu pada malam dimana berlaku perselisihan diantara Yang Menuntut dengan Yang Kena Tuntut. Yang Menuntut meminta Yang Kena Tuntut untuk menyerahkan Adreena kepadanya namun Yang Kena Tuntut enggan berbuat demikian. Hal ini kerana Adreena masih kecil dan belum mumayyiz pada masa tuntutan dibuat.


3)      Pengesahan cerai dan hak jagaan Adreena oleh Imam di Thailand
Yang Kena Tuntut menceraikan Yang Menuntut di Thailand pada 20/9/88 tanpa kehadiran Yang Menuntut dan penceraian itu didaftarkan di Thailand. Imam yang mengesahkan penceraian tersebut telah memberikan hak jagaan Adreena kepada Yang Kena Tuntut.

Ulasan Undang- undang Keterangan Islam

1)      Iqrar atau pengakuan
Yang Menuntut merupakan seorang janda yang mempunyai tiga orang anak sebelum berkahwin dengan Yang Kena Tuntut. Sebaliknya Yang Kena Tuntut telah mempunyai seorang isteri yang dinikahi dalam bulan Januari 1987 di Indonesia dan isterinya datang ke Malaysia pada 13/12/ 87. Yang Kena Tuntut menceraikan Yang Menuntut setelah isterinya datang ke Malaysia kerana mendapati rumahtangga tidak aman lagi serta keadaan ini tidak dapat diselamatkan.

2)      Kesaksian palsu
Yang Kena Tuntut mendakwa Yang Menuntut tidak layak memelihara Adreena kerana memandangkan perjalanan hidup Yang Menuntut sebelum ini. Saksi pertama Yang Kena Tuntut memberitahu Mahkamah bahawa Yang Menuntut tidak menunaikan solat 5 waktu dan tidak berpuasa. Tetapi apabila disoalbalas, saksi tersebut tidak pasti dengan keterangan yang diberikan.
3)      Iqrar secara tulisan
Kes Mohammad Salleh lwn Azizah (1984) 4 JH 212 dan kes Ahmad lwn Aishah (1980) 1 JH 212 telah dijadikan rujukan dalam perbicaraan kes ini. Surat pengesahan pendaftaran pernikahan oleh pihak Konsul Malaysia di Thailand diakui oleh Yang Menuntut selepas kegagalan untuk mendaftarkan semula pernikahan di Pejabat Kadi Gombak Timur.

Keputusan kehakiman
Diputuskan, hukum hak jagaan (hadanah) Adreena binti Adnan hendaklah diserahkan kepada ibunya iaitu Rahanim binti Mohd Yobe. Manakala Yang Kena Tuntut dibenarkan untuk melawat, mengambil dan bermesra dengan anaknya pada setiap minggu, anak akan diambil pada hari Jumaat jam 8 pagi dan hendaklah diserahkan semula kepada yang menuntut pada hari Ahad jam 6 petang. Malah Pihak Yang Kena Tuntut dengan persetujuan membayar nafkah anaknya sebanyak RM100.00 sebulan mulai September 1991 ke hadapan. Bayaran hendaklah dibuat secara tunai kepada Yang Menuntut pada tiap- tiap bulan. Penyerahan anak tersebut dibuat mulai hari Ahad 1/9/1991 jam 6 petang di rumah ibu Yang Kena Tuntut.

kEs MAL


KES HAJJAH AMIN @ CHE TOM BT KASSIM  lwn HAJI ABDUL RASHID B. ABDUL HAMID
Mahkamah Tinggi Seremban, Saman Pemula No. 24-345- 1992
(15 Mac 1993)
Fakta kes
Dalam kes ini, plaintif melalui saman pemula memohon mahkamah tinggi, seremban untuk menguatkuasakan empat perintah berhubung dengan kes penceraian yang telah diberikan oleh Mahkamah Kadi Besar, Negeri Sembilan iaitu (1) nafkah eddah sebanyak RM300.00. (2) penyerahan tanah di Mukim Labu. (3) sewa rumah sebanyak RM450.00. (4) mutaah sebanyak RM2,750.00. Plaintif menyatakan bahawa Mahkamah Syariah tidak berupaya menguatkuasakan sepenuhnya perintah itu kerana kekurangan prosedur, kekurangan badan penguatkuasa dan kuasa yang diberikan di bawah Enakmen Pentadbiran Hukum Syarak (Negeri Sembilan) 1991 (Enakmen 1/91)adalah terhad. Plaintif juga meminta mahkamah tinggi untuk memutuskan persoalan bahawa plaintif berhak terhadap satu deklarasi bahawa beliau mempunyai hak ke atas hak milik dan kepentingan di dalam tanah tersebut serta relif- relif lain yang telah diputuskan oleh mahkamah syariah itu. Defendan dalam bantahan awal telah menghujjahkan bahawa Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan menghalang pertelingkahan bidangkuasa antara sivil dan syariah, Kanun Tanah Negara perlu diberi tafsiran baru dan Enakmen Pentadbiran Hukum Syarak 1/91 dan Aturan 21 Kaedah- Kaedah Prosedur Mal Mahkamah Syariah 1992 memberi bidangkuasa kepada mahkamah itu untuk menguatkuasakan perintah yang dijatuhkan.

Isu berbangkit
1)      Bidangkuasa Mahkamah Tinggi dalam kes Mahkamah Syariah
Perintah penyerahan tanah tersebut kepada Plaintif yang dibuat oleh Mahkamah Kadi Jelebu pada 31 oktober 1986 adalah satu perintah yang dibuat oleh Mahkamah yang mempunyai bidangkuasa kompeten dan adalah sah dan suatu hukuman mengikat ke atas Defendan.
2)      Keabsahan Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan
Parlimen berniat memberikan bidangkuasa eksklusif kepada Mahkamah Syariah untuk menghakimi apa- apa perkara yang terletak hak dengan sah di sisi undang- undang di dalam bidangkuasa Mahkamah Syariah. Dalam kes ini Seksyen 41 (2) (b) Enakmen No.1/91 menyenaraikan di antara lain bidangkuasa Mal Mahkamah Tinggi Syariah Negeri Sembilan ialah pembahagian atau tuntutan kepada harta sepencarian yang membuktikan bahawa Aturan 21 Kaedah 2 (1) itu tidak berguna kepada Plaintif dalam kes ini oleh kerana Kaedah 2 (1) itu tidak dapat digunakan untuk pemindahan harta tak alih. Kaedah ini hanya suatu perintah pemilikan sahaja sementara Plaintif memohon untuk didaftarkan sebagai pendaftar tanah tersebut.
3)      Hak terhadap hak milik dan kepentingan pada tanah serta relif- relif lain
Plaintif menuntut kepada Defendan hak serta kepentingan pada tanah EMR 352 Lot 495 dan 1929 Mukim Labu dan relif- relif lain yang diputuskan oleh Perintah Kadi Jelebu bertarikh 31 oktober 1986 dan Perintah Kadi Besar Negeri Sembilan pada 8 Febuari 1991.

Keputusan kehakiman
Diputuskan, mahkamah menolak permohonan plaintif atas alasan perintah penyerahan tanah tersebut kepada plaintif yang dibuat oleh Mahkamah Kadi Jelebu pada 31 Oktober 1986 adalah satu perintah yang dibuat oleh mahkamah yang mempunyai bidangkuasa kompeten dan adalah sah serta hukum yang mengikat ke atas pihak defendan. Namun. Mahkamah Syariah berkenaan tidak mengarahkan defendan menyempurnakan pindah milik tanah melainkan jika ada permohonan sedemikian dibuat oleh plaintif. Malangnya plaintif tidak membuat permohonan terlebih dahulu. Sekiranya plaintif membuat permohonan dan defendan engkar maka mahkamah boleh menguatkuasakan penghakiman tersebut sebagi satu perintah pengkomitan di bawah Aturan 21 Kaedah 4 (1) Kaedah- Kaedah Prosedur Mal Mahkamah Syariah, Negeri Sembilan 1992 atau memerintahkan pendaftar atau pentadbir tanah berkenaan melaksanakan perintah tersebut di bawah seksyen 417 (1) Kanun Tanah Negara.

kes HUDUD (arak)

PENDAKWA SYARIE KELANTAN lwn YUSUNDY BIN JOSAN DAN SEORANG LAGI
Mahkamah Kadi Besar, Kelantan, 30 Oktober 1989
(Kes jenayah no 13/89)
Fakta kes
Dalam kes ini melibatkan dua orang yang dituduh atas tuduhan meminum minuman memabukkan di Kedai Dandan Sistera, Jalan Gajah Mati, Kota Bharu pada jam 10.30 malam sedangkan kedua- duanya adalah berbangsa Melayu dan beragama Islam. Jika sabit kesalahan mereka boleh dihukum denda tidak melebihi RM5000.00 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua- duanya dan disebat enam kali sebagaimana termaktub dalam seksyen 25 Kanun Jenayah Syariah 2/85 Negeri Kelantan. Kedua- dua pihak Yang Dituduh telah diserahkan oleh pihak Imigresen dan dibawa ke mahkamah untuk perbicaraan.

Isu berbangkit
1) Pengenalpastian jenis minuman tersebut
Saksi- saksi yang dikemukakan secara sepakat telah mengakui bahawa minuman tersebut adalah dari jenis arak iaitu memabukkan. Ia adalah dari jenis Carlsberg dan kenyataan mereka dalam perkara ini dan disegi tarikh, masa, dan tempat didapati seimbang dan tiada sebarang percanggahan. Malah didapati juga botol arak tersebut dijadikan sebagai antara bahan bukti yang utama.
2) Tahap kelayakan saksi- saksi
Bilangan dan taraf kesaksian didapati tiada ruang untuk dipertikaikan apatah lagi ianya tidak dipertikai oleh pihak Yang Dituduh kerana bilangan saksi yang dikemukakan 5 orang saksi iaitu melebihi yang diperuntukkan mengikut hukum syarak dalam kesalahan minum arak. Kenyataan saksi- saksi dipercayai bercakap benar kerana tidak ada apa- apa kenyataan yang berkepentingan dan menggugat kewibawaan mereka dan seandainya ada pihak yang mengesyaki maka mahkamah akan memerintahkan sumpah syarie. Seterusnya kesaksian tersebut sudah memadai secara umum selagi mana tiada berlaku sebarang percanggahan antara kenyataan saksi- saksi.
3) Pengesahan keislaman pihak Yang Dituduh.
Saksi 4 dan saksi 5 mendakwa dalam kenyataan bahawa semasa Yang Dituduh ditahan mereka juga mengakui beragama Islam dan sepanjang persidangan mahkamah mereka tidak pernah menimbulkan sebarang keraguan mengenai status agamanya.
4) Bidangkuasa pihak Imigresen dalam kes berhubung Mahkamah Syariah
Tindakan Pegawai Imigresen menyerahkan Yang Dituduh kepada perbicaraan kuasa Mahkamah Syariah adalah dipercayai tidak ada sebarang percanggahan dengan bidangkuasanya yang diperuntukkan mengikut Seksyen 13 (b) Enakmen Pentadbiran 3/82 dan sekiranya dibuat andaian tindakan Pegawai Imigresen menahan 2 Yang Dituduh adalah tidak sah kerana di luar bidangkuasanya tapi perlu diberi perhatian bahawa seorang Islam sekadar termampu dituntut mencegah/ membantu membasmi kemungkaran, dan Mahkamah dalam kes ini membicarakan tuduhan membicarakan tuduhan kerana kesalahan bertindak di luar bidangkuasa, oleh itu, ianya tidak munasabah dijadikan alasan untuk mengenepikan keputusan sabitan ke atas Yang Dituduh.

Ulasan Undang- undang Keterangan Islam
1) Syahadah atau kesaksian
Pihak pendakwa untuk mensabitkan tuduhan untuk mensabitkan tuduhan ke atas dua Yang Dituduh sebagaimana butir- butir dalam pertuduhan mengemukakan 5 orang saksi termasuk Pegawai Penyelia Agama sebagai saksi 1. Saksi- saksi tersebut memperihalkan kejadian dengan baik dan tiada berlaku sebarang percanggahan serta penolakkan fakta oleh Yang Dituduh.


2) Qarinah
Barang- barang kes yang diterima menjadi exhibit Mahkamah ialah 2 botol arak jenis Carlsberg, dua gelas minuman dan satu bil bayaran boleh dijadikan bukti sampingan untuk mengukuh pembuktian pihak pendakwa melalui keterangan saksi- saksi.
3) Iqrar secara lisan
Yang Dituduh semasa ditahan atas kesalahan minum minuman memabukkan mengakui bahawa beragama Islam. Malah tidak pernah menafikan status tersebut sepanjang perbicaraan dijalankan.

Keputusan kehakiman
Telah diputuskan, disabitkan kesalahan itu dan dihukum ke atas tiap orang yang dituduh penjara enam bulan bulan dan disebat enam kali. Mengikut pandangan mahkamah, hukuman yang dijatuhkan ke atas dua yang dituduh adalah munasabah memandangkan mengikut hukum syarak bahawa kesalahan yang dilakukan dikehendaki dan jika sabit dihukum dengan hukuman hadd iaitu sebat 40 kali mandatory. Hukuman yang dijatuhkan tidak lebih daripada hukuman takzir mengikut peraturan undang- undang yang sedang berkuatkuasa pada masa kini.

kes batalkan perkahwinan


KES SAAD BIN SYAFIE  lwn  SARIMAH BINTI SAAD DAN SEORANG LAGI
Mahkamah Kadi Besar Daerah Alor Setar, 31 Oktober 1992
(kes sivil no.929/92)
Fakta kes
Di dalam kes ini, pihak yang menuntut membuat permohonan untuk membatalkan perkahwinan anak perempuannya iaitu Sarimah binti Saad (Kena Tuntut Pertama) dengan Mohamad Khir bin Zakaria (Kena Tuntut Kedua). Pernikahan ini telah diadakan di Pekan Siam, Thailand. Yang Menuntut telah menyatakan beberapa alasan supaya pernikahan tersebut dapat dibatalkan atas pertimbangan bidangkuasa mahkamah. Alasan berikut ialah (1) Haji Saad sebagai wali nasab tidak mewalikan perkahwinan tersebut. (2) tidak cukup jarak dua marhalah. (3) pasangan telah berkahwin dan mempunyai empat orang anak. (4) pasangan tidak mendapat kebenaran isteri tua untuk berpoligami. (5) semua ahli keluarga tidak dapat menerima pernikahan tersebut. (6) kemampuan anak bermadu tidak tahan lama. Mahkamah telah mengambil kira peta yang dikemukakan oleh yang menuntut sebagai bukti kepada penafian jumlah jarak dua marhalah yang merupakan syarat untuk menggunakan wali hakim bagi menggantikan wali nasab.

Isu berbangkit
1)      Penggunaan wali hakim sebagai ganti wali nasab
Wali hakim sah digunakan sekiranya wali nasab yang masih ada menyerahkan hak tersebut dan pernikahan tersebut di tempat yang jauh iaitu 2 marhalah atau lebih. Sebaliknya wali nasab dalam kes ini iaitu ayah Yang Kena Tuntut (1) enggan mewalikan perkahwinan tersebut. Malah Haji Saad sebagai wali nasab telah menafikan bahawa wali hakim yang digunakan adalah hakim yang diiktiraf. Pernikahan tanpa wali yang sah adalah batal kerana jelas melanggar rukum nikah.

2)      Taraf pernikahan Yang Kena Tuntut
Pernikahan tersebut menimbulkan keraguan kerana selain daripada masalah wali yang digunakan, persetujuan isteri tua untuk berpoligami juga diabaikan oleh Yang Kena Tuntut (2). Kemampuan Yang Kena Tuntut (2) tidak dapat dipastikan dengan baik kerana Yang Kena Tuntut (2) telah mempunyai isteri serta anak seramai 4 orang. Hal ini perlu dipastikan terlebih dahulu kerana syarat utama poligami adalah bagi lelaki yang mampu dan tidak menganiya atau sentiasa bersikap adil dalam keluarga.

Ulasan Undang- undang Keterangan Islam
  1. Iqrar melalui tulisan
Pihak Yang Menuntut telah mengemukakan peta sebagai eksibit mahkamah yang bertanda TI iaitu peta hitungan kilometer jalanraya Kedah- Perlis dan telah tercatat jarak jauh antara Alor Setar dengan Padang Besar ialah sejauh 78 kilometer. Sedangkan 2 marhalah dalam hokum syarak bersamaan 96 kilometer atau 60 batu.
  1. Iqrar melalui lisan
Haji Saad sebagai ayah kandung kepada Yang Kena Tuntut (1) mengakui bahawa beliau tidak mewalikan pernikahan tersebut untuk diadakan oleh wali hakim tersebut. Beliau juga menyakini bahawa seluruh ahli keluarga tidak menerima pernikahan tersebut serta mengakui pernikahan anaknya itu tidak akan bertahan lama dalam keadaan bermadu.

Keputusan kehakiman
Hakim Sheikh Azmi bin Ahmad  menghukumkan bahawa permohonan pihak Yang Menuntut (Haji Saad) diterima dan pernikahan dibatalkan mengikut permohonannya. Dengan itu, seksyen 9  Enakmen Islam Negeri Kedah 1979 boleh dipakai dalam permohonan