Saturday, January 11, 2014

Prosuder Sulh Mahkamah Syariah




Sulh dari istilah syara’ bermaksud suatu aqad yang dengannya tamat sesuatu pertikaian atau suatu perjanjian yang dimeterai bagi menyelesaikan perselisihan atau pertikaian di antara pihak-pihak yang beragama Islam.Ulama fiqh pula mentakrifkan Sulh sebagai satu ikatan perjanjian atau kontrak bersama untuk mencapai kompromi perdamaian antara dua atau lebih pihak yang berselisih faham atau bertikai.

Sulh telah diperuntukkan dalam Seksyen 99 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003(EUUKI) yang menyebut:-
Pihak-pihak dalam apa-apa prosiding boleh, pada mana-mana peringkat prosiding itu, mengadakan sulh bagi menyelesaikan pertikaian mereka mengikut apa-apa kaedah sebagaimana yang ditetapkan atau, jika tiada kaedah sedemikian, mengikut Hukum Syarak.

Prosedur Sulh termaktub dalam Manual Kerja Sulh JKSM dan Pekeliling Ketua Hakim MSS 1/2002 (Kod Etika Pegawai Sulh dan Manual Kerja Sulh MSS), Pekeliling Ketua Hakim MSS 9/2002 (Bidangkuasa Pegawai Sulh dan Manual Kerja Sulh MSS), Pekeliling Ketua Hakim MSS 9/2002 (Bidangkuasa Pegawai Sulh (Hakim)), Arahan Amalan JKSM 3/2002 (Pemakaian Sulh), Arahan Amalan JKSM 7/2002 (Cara menyimpan dan melupuskan catatan pegawai Sulh) dan Arahan Amalan JKSM 8/2002 (Prosedur Penyerahan Notis Sulh). Prosedur Sulh akan bermula dari pendaftaran dan akan berakhir sehingga selesai kes tersebut di Mahkamah.

Prosedur Sulh bermula dengan pendaftaran kes di Mahkamah dan ini diperuntukkan di bawah Seksyen 61 dan 62 Enakmen Pentadbiran Agama Islam No 1/2003, Seksyen 2(1), 4 dan 45 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Selangor 2003 (EUUKI).

Selepas pendaftaran, Pendaftar akan menentukan sama ada kes tersebut boleh dirujuk kepada Majlis Sulh atau dibawa terus ke Mahkamah untuk perbicaraan. Aturan 3 Kaedah-kaedah Tatacara Mal (Sulh) Selangor 2001 menetapkan Pendaftar bertanggungjawab dalam menentukan sama ada sesuatu tuntutan atau permohonan itu adalah melalui kaedah sulh atau tidak.

Tuntutan atau permohonan yang boleh diselesaikan melalui kaedah Sulh boleh diklasifikasikan kepada dua iaitu pertama, tuntutan atau permohonan menurut Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Selangor 2003 seperti tuntutan melanggar janji untuk berkahwin atau pertunangan, tuntutan berbangkit dari penceraian seperti muta’ah, nafkah, harta sepencarian, hadhanah dan nafkah anak. Kedua ialah tuntutan atau permohonan selain dari tuntutan Undang-undang Keluarga yang diperuntukkan dalam Seksyen 61(3)(b) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor 2003. 

Setelah Pendaftar mengenalpasti kes tersebut adalah kes sulh, Notis Sulh akan dikeluarkan. Dalam mengeluarkan notis tersebut, Aturan 3 Kaedah-kaedah Tatacara Mal (Sulh) Selangor 2001 (KTMS) hendaklah dipatuhi. Prosedur-prosedurnya adalah:-
(i)            Tidak memberi tarikh bicara dalam tempoh tiga bulan dari tarikh pendaftaran. Jangkamasa ini adalah untuk sesuatu penyelesaian yang melibatkan Majlis Sulh secara berkala. Sekiranya penyelesaian dapat dibuat dengan lebih cepat, persetujuan kedua-dua belah pihak boleh dibawa terus ke hadapan Hakim untuk direkodkan dan dijadikan perintah. Jika sebaliknya yang berlaku, masa tiga bulan tersebut boleh dipanjangkan tanpa terikat dengan tarikh perbicaraan yang ditentukan dengan membuat permohonan di Mahkamah bersesuaian dengan Aturan 6 KTMS, Seksyen 88 Enakmen Kanun Prosedur Mal Syariah Selangor 1991 dan Seksyen 94 Enakmen Tatacara Mal Syariah Selangor 2003.
(ii)          Menetapkan tarikh bagi sesuatu Majlis Sulh. Tarikh tersebut haruslah dalam tempoh 21 hari dari tarikh pendaftaran dan ini harus dipatuhi bagi memastikan kurangnya kes tertunggak dan aduan kelewatan kes di Mahkamah.
(iii)         Mengeluarkan notis sulh dan menyerahkannya mengikut kaedah serahan saman yang diperuntukkan dalam Seksyen 41 Enakmen Tatacara Mal Syariah Selangor 2003, kepada pihak-pihak bagi memastikan kehadiran pihak-pihak pada tarikh dan waktu tersebut. Prosedur penyerahan notis sulh ini telah disebut dalam Arahan Amalan 8 2003 yang menyatakan:-
“…bersetuju dan mengesahkan untuk menerima pakai arahan amalan berhubung dengan prosedur penyerahan Notis Sulh.Kepada pihak-pihak di dalam Majlis Sulh hendaklah mengikut prosedur dan penyerahan saman sebagaimana yang terdapat di dalam Undang-undang Tatacara Mal Mahkamah Syariah Negeri-negeri.”

Seterusnya, Majlis Sulh tersebut akan dibuat dalam majlis khusus dengan kehadiran pihak-pihak dan pengerusi sahaja tanpa wakil atau peguam syarie kecuali dengan kebenaran Pengerusi Majlis Sulh. Ini termaktub dalam Aturan 5(1) dan (3) KTMS 2001. Di dalam proses ini, pihak yang mengendalikan Majlis Sulh perlu mematuhi Manual Kerja Sulh seperti berikut:-
(i)            Kenyataan awal Pengerusi Sulh (ta’aruf);
(ii)          Pembentangan awal pihak yang bertikai;
(iii)         Perbincangan bersama;
(iv)         Pertemuan sebelah pihak;
(v)          Perundingan bersama;
(vi)         Penghakiman berasakan persetujuan; dan
(vii)        Kes diserahkan kembali.

Setelah selesai prosedur-prosedur di atas, keputusan Sulh akan ditetapkan sama ada ianya berakhir di Majlis Sulh atau perlu dibawa kepada perbicaraan. Berjaya atau tidak bukanlah ukuran utama kerana matlamat Majlis Sulh ini adalah untuk mewujudkan satu proses yang adil bagi kedua-dua pihak untuk membuat perundingan. 

Pada dasarnya, penyelesaian melalui kaedah Sulh berlaku dalam tiga bentuk iaitu ibra’, mu’awadhah dan gabungan kedua-dua kaedah tersebut. Ibra’ dan mu’awadiah ialah pemohon bersetuju untuk menggugurkan sebahagian atau keseluruhan tuntutannya tetapi digantikan atau tidak digantikan dengan perkara yang lain. 

Bagi Majlis Sulh yang berjaya persetujuannya, sama ada sebahagian atau keseluruhannya, akan dibawa ke hadapan Hakim untuk direkodkan sebagai perintah Mahkamah. Menurut Aturan 6 KTMS 2001, persetujuan tersebut hendaklah dibuat dalam bentuk Perjanjian Penyelesaian dan ditandatangani oleh pihak-pihak di hadapan Pengerusi di dalam Majlis Sulh, dan akan dibawa kepada Hakim untuk direkodkan sebagai Perintah Mahkamah. 

Bagi Majlis Sulh yang gagal pula, ia akan dibawa ke hadapan Hakim untuk proses sebutan dan perbicaraan sebelum keputusan atau perintah dibuat oleh Hakim Bicara. Menurut Aturan 7 dan 8 KTMS 2001, untuk kes seperti ini,satu laporan akan dikeluarkan kepada Mahkamah untuk tindakan selanjutnya iaitu proses sebutan dan perbicaraan seperti proses kes-kes  bukan  Sulh yang lain.

Setiap kes Majlis Sulh yang telah selesai akanmempunyai kesan di mana rekod penyelesaian itu akan menjadi pembelaan dengan cara res judicata seperti yang termaktub dalam Seksyen 94 ETMS 2003yang menyatakan bahawa:-
Jika dengan persetujuan pihak-pihak sesuatu tindakan telah diselesaikan, Mahkamah boleh pada bila-bila masa dengan persetujuan pihak-pihak itu merekodkan hakikat penyelesaian itu dengan terma-termanya, dan rekod penyelesaaian itu hendaklah menjadi pembelaan dengan cara res judicata dalam tindakan kemudiannya bagi kausa tindakan yang sama, atau bagi kausa tindakan yang pada matanya adalah sama.
Kes tersebut juga tidak boleh ditarik balik atau dirayu seperti yang diperuntukkan dalam Arahan Amalan No.5 2006:-
…yang bersetuju dan mengesahkan untuk menerima pakai arahan amalan bahawa kesan perjanjian persetujuan Sulh yang menepati kehendak Hukum Syarak yang telah direkodkan dan disahkan oleh Mahkamah tidak boleh ditarik balik dan tidak boleh dirayu oleh pihak-pihak yang terlibat dengan persetujuan tersebut.
Kaedah Sulh merupakan salah satu tindakan yang efektif kerana mempunyai pelbagai kelebihan. Antaranya ialah sulh dapat menjimatkan masa dan kos kerana pihak-pihak tidak perlu melalui prosedur biasa yang memakan masa yang lama sebelum mahkamah memberikan keputusannya.
Selain itu, sifat perundingan yang terpimpin dan tidak mendominasikan sebelah pihak juga merupakan antara kelebihan sulh. Perundingan yang dilakukan antara pihak-pihak juga melihat kepada kepentingan yang akan dicapai pada masa akan datang dan bukannya dengan mengungkit dan menyalahkan satu sama lain.
Tambahan pula, sulh ternyata lebih baik kerana ia melibatkan penyelesaian secara terbuka dan sukarela dengan keredhaan pihak-pihak tanpa wujudnya perasaan dendam antara pihak-pihak.
Akhir sekali, sulh tidak akan melibatkan apa-apa kos kerana menurut Seksyen 9 KTMS 2001, tiada apa-apa kos boleh dibenarkan bagi prosiding dalam Majlis Sulh.

0 pendapat:

Post a Comment

syukran kasiran