Tuesday, November 12, 2013

"Tak Mau Cerai, I Ada Fasakh

Dalam Manual undang-undang keluarga islam (Monir yaakob.2006) telah diringkaskan fasakh ialah  tindakan merombak atau memutuskan hubungan perkahwinan antara suami dan isteri yang dilakukan oleh kadi atas sebab-sebab tertentu tanpa ucapan talak. Malah, fasakh juga ditakrifkan sebagai membatalkan akad perkahwinan atau menyekat kelangsungannya.
           
                        Pendapat kedua imam malik dalam menjelaskan tentang fasakh menyatakan bahawa sebab putusnya perkahwinan tersebut menjadi syarat utama dalam mensabitkan fasakh ataupun talak. Dalam situasi suami dan isteri tidak mahu memutuskan perkahwinan namun perkahwinan menjadi tidak sah jika sebab tersebut masih dikekalkan. Sebagai contoh, mengahwini perempuan susuan atau berkahwin dalam masih iddah. Maka pembatalan perkahwinan merujuk kepada keadaan dan sebab tersebut adalah fasakh. Ia dijelaskan oleh Ibnu Rusyd dalam kitabnya Bidayatul mujtahid jilid 2.
Secara ringkasnya, fasakh didefinisikan sebagai pembatalan perkahwinan yang mana boleh dituntut sama ada oleh pihak suami atau pun pihak isteri. Fasakh tidak termasuk pembubaran perkahwinan kerana ia didasarkan oleh sebab tertentu yang dibolehkan syarak. (Siti zalikhah md.nor. 2005) Oleh yang demikian, fasakh merupakan pembatalan perkahwinan yang tidak mengurangkan bilangan talak dan memerlukan kadi untuk berijtihad daripada alasan dan sebab yang dikemukakan seperti dalam kes suami mengabaikan nafkah kepada isteri.
Di samping itu, fasakh juga boleh berlaku sejak awal perkahwinan atau setelah perkahwinan berlaku berdasarkan kepada alasan-alasan yang dibenarkan oleh syarak seperti kecacatan (aib) daripada suami atau isteri yang menghalang nikmat perkahwinan dan seumpamanya.
Seksyen 2 enakmen undang-undang keluarga islam Selangor 2003 telah ditafsirkan tentang fasakh menyatakan bahawa:
“ fasakh ertinya pembubaran nikah disebabkan oleh sesuatu hal keadaan yang diharuskan oleh hukum syarak mengikut seksyen 53”
Merujuk kepada seksyen 53 pula dalam enakmen yang sama menyenaraikan alasan-alasan dibenarkan tuntutan fasakh difailkan antaranya termasuklah:
Pihak yang menuntut perlu mengenal-pasti alasan yang lebih kuat bagi menyokong permohonannya, malah borang khusus yang disediakan perlu dilengkapkan dengan lampiran bukti seperti laporan kesihatan daripada doktor dan seumpamanya. Tuntutan fasakh tidak dirujuk kepada jawatankuasa pedamai atau hakam.(Siti zalikhah md.nor.2006). Peruntukkan ini merupakan salah satu alternatif yang boleh bertujuan untuk memberi ruang kepada pihak isteri terutamanya untuk membatalkan perkahwinan jika berlaku situasi suami tidak mahu menceraikannya dalam keadaan yang dianggap wajar akan menggugat keamanan dalam rumahtangga sekiranya tetap bersama.
Secara umumnya, hak fasakh dalam undang-undang syariah di Malaysia diberikan kepada isteri kerana suami mempunyai hak untuk melafazkan talak. (Najibah mohd zin.2007). setelah diringkaskan berdasarkan seksyen 53 enakmen undang-undang keluarga islam Selangor 2003 terdapat tiga alasan utama yang membenarkan fasakh iaitu nafkah, aib pasangan atau kecacatan, darar yang dilakukan kepada pasangan dan perkahwinan yang bercanggah dengan kerelaan.
Walaupun demikian, hakim mempunyai budi bicara untuk tidak membubarkan perkahwinan  jika pihak yang menuntut mempunyai alasan dan dapat membuktikannya dengan kukuh. Hal ini berlaku apabila perkahwinan itu masih boleh diselamatkan atau kesalahan yang dilakukan adalah disebabkan oleh kecuaian dan bukan penafsiran para ulama’ bahawa ketidak-mampuan suami atau isteri untuk melaksanakan tanggungjawab dan hak pasangannya. Oleh yang demikian, adalah wajar bagi hakim untuk mengeluarkan perintah pelaksanaan hak dan tanggungjawab dengan baik atau memenuhi tuntutan setakat yang telah cuai dari pihak yang kena tuntut. (Najibah mohd zin. 2007)
Kesimpulannya, peruntukan yang diaplikasikan dalam perundangan keluarga islam di Malaysia adalah selaras dengan hukum syarak yang disepakati oleh para ulama’ berkenaan fasakh dalam perkahwinan. Namun terdapat beberapa yang ditinggalkan dari dimasukkan dalam peruntukkan seksyen 53 tersebut. Antaranya, merujuk kepada aib pasangan dalam seksyen 53 (1)(e)(f) yang menyatakan bahawa kecacatan seperti mati pucuk serta penyakit yang dibenarkan fasakh.
Dalam fiqh manhaji mazhab al-syafi’i (Dr.mustafa al-khin. 2009) menyatakan beberapa lagi aib atau kecacatan yang dibenarkan fasakh namun tidak dimasukkan dalam peruntukan semasa. Antaranya yang dikenal-pasti ialah rataq, qiran dan zakar yang terputus. Walaupun demikian, permohonan fasakh di Malaysia tidak menyekat untuk difailkan jika sesuatu hukum tersebut terdapat dalam perbahasan syarak. Ia dibenarkan sebagai permohonan yang boleh dihakimi menerusi seksyen yang sama
Kebanyakkan kes yang difailkan  berhubung dengan tuntutan fasakh adalah disebabkan oleh nafkah. Isteri lazimnya membuat tuntutan pembubaran perkahwinan melalui fasakh kerana  tidak menerima nafkah daripada suami dalam tempoh yang lama atau melebihi alasan yang dibolehkan fasakh sebagaimana dalam seksyen 53 enakmen undang-undang keluarga Islam Selangor (EUUKI) 2003.  
            Terdapat empat klausa yang berkait-rapat dengan pemberian nafkah oleh suami dan isteri iaitu seksyen 53 (1)(a)(b)(c)(d) yang menyatakan bahawa:
“…………………………………………………” (jksm atau e-syariah column bahan rujukan)
Seksyen 53 (1)(b)(d) menyebut secara langsung tentang nafkah sekaligus menekankan pembahagian nafkah kepada dua yang merangkumi nafkah zahir dan nafkah batin. Tempoh pelanggaran bagi nafkah zahir adalah lebih singkat berbanding pelanggaran nafkah batin. Tempoh tiga bulan adalah minimum untuk membolehkan tuntutan fasakh difailkan di mahkamah syariah disebabkan pelanggaran pemberian nafkah oleh suami mahupun isteri. Seksyen ini memberi hak tuntutan kepada pihak suami dan isteri dan ia dinyatakan secara jelas dalam peruntukkan meskipun lazimnya kes yang difailkan daripada pihak isteri.
Nafaqah dari segi bahasa berasal daripada infaaq iaitu memberi belanja dan ikhraaj yang bermaksud mengeluarkan belanja. Manakala dari segi istilah pula ia bermaksud semua keperluan manusia seperti makanan, minuman, pakaian dan tempat. (Imam taqiyuddin Abu Bakar. 1993) .Nafkah hanya merujuk kepada perbelanjaan kepada perkara yang baik (makruf) sahaja. (Dr.mustafa al-khin. 2009)
Berhubung dengan tempoh penangguhan nafkah telah menimbulkan beberapa pendapat daripada para ulama’. Tangguhan masa tiga hari merupakan pendapat terkuat sebaliknya menurut pendapat qadim, tiada tempoh yang diperlukan melainkan kuasa tersebut diberikan kepada untuk memutuskan ketidak-mampuan suami menyediakan nafkah untuk pihak isteri atau seumpamanya. Oleh itu, jumhur ulama berpendapat fasakh disebabkan kegagalan suami dalam memberikan nafkah kepada isterinya adalah sesuatu yang harus bersama beberapa sebab. (Mat saad abd rahman.2006) Bersandarkan firman Allah s.w.t
“surah al-baqarah ayat 231” .(quran explorer.com)
            Seterusnya merujuk kepada kadar nafkah yang perlu diberikan adalah bergantung kepada adat dan kemampuan suami. (Najibah md zin.) Berikutan itu, mazhab hanafi telah menolak tuntutan fasakh atas alasan pemberian nafkah kerana sekiranya suami adalah seorang yang miskin maka tidak menjadi kezaliman kepada isteri atas kemiskinannya yang menjadi alasan penangguhan nafkah. Sebaliknya jika seorang suami yang kaya maka telah dibolehkan kepada isteri untuk menjual harta suami bagi memenuhi keperluan kadar nafkah tersebut. (Mat Saad abd rahman. 2006)
            Dalam kes yang dianalisa, penangguhan kadar nafkah telah berlanjutan sehingga menyukarkan pihak isteri untuk menjalani kehidupannya. Malah suami juga sering bertindak menggantung tidak bertali serta menyediakan keperluan yang tidak mencukupi kepada isteri. Penangguhan pemberian nafkah tersebut juga tidak mempunyai alasan atau sebab yang menghalangnya daripada menyediakan nafkah sewajarnya kepada pihak tanggungan. Oleh yang demikian, mahkamah telah menerima tuntutan pembubaran perkahwinan dan mengarahkan pembayaran nafkah dilakukan bermula daripada tarikh ia terhenti. Bagi kes yang ditolak pula disebabkan oleh pihak menuntut tidak dapat membuktikan dengan yakin bahawa suami berada luar kecuaian dalam memberi nafkah kepadanya.
            Allah s.w.t telah berfirman
“surah al-talaq ayat 7”
Ringkasnya, ulama’ telah sepakat bahawa hukum pemberian nafkah adalah wajib bagi seorang suami kepada isteri dan tidak diwajibkan daripad isteri kepada suami. (dr. Muhd fauzi Muhammad. 2000). Dan pemberian nafkah adalah berterusan selagi mana isteri masih dalam ketaatan kerana syarat bagi kewajipan pemberian nafkah ialah isteri merelakan diri untuk istimta’ dalam keadaan yang dibenarkan syarak dan bersetuju untuk mengikut suami untuk tinggal di rumah yang ditentukan oleh suami. (Dr.mustafa al-khin. 2009).
Merujuk kepada analisa daripada kes-kes berhubung fasakh yang diperolehi terdapat beberapa kaerdah keterangan yang digunakan dalam membuktikan alasan-alasan yang menuntut dalam perbicaraan didepan hakim mahkamah syariah. Antara kaedah keterangan yang digunakan termasuklah saksi, bayyinah dan juga qarinah atau bukti yang sah.
            Lazimnya, mengemukakan saksi merupakan kaedah keterangan yang paling mengikat keputusan hakim untuk menerima pembubaran perkahwinan. Dalam satu kes yang dilaporkan (JH.(1410)JLD VII BHG 1) mahkamah telah menangguhkan perbicaraan kerana ketidak-hadiran pihak yang dituntut untuk memberi perintah hadir buat kali kedua. Namun pihak yang dituntut tidak juga menghadirkan diri, lalu pihak yang menuntut telah mengemukakan dua orang saksi yang terdiri daripada juru nikah yang menikahkan mereka selaku ahli qariah juga serta jiran terdekat yang mampu menjadi saksi pengabaian nafkah serta kehidupan pihak yang menuntut.
            Dalam seksyen 83 enakmen keterangan mahkamah syariah negeri Selangor 2003 telah dijelaskan mengenai keterangan melalui saksi serta syarat penerimaan saksi tersebut. Seksyen 46 dalam enakmen yang sama pula menyatakan mengenai keterangan lisan atau bayyinah, dan seterusnya seksyen 5 berkenaan qarinah. Hal ini secara tidak langsung membenarkan kaedah keterangan tersebut juga digunakan dalam pembuktian dalam perbicaraan tuntutan fasakh.
            Bagi kes fasakh, standard pembuktian yang diperlukan  tidaklah perlu mencapai tahap syahadah dan memadai ia diberi melalui bayyinah atau qarinah jika keterangan yang ada boleh menyokong kes tersebut. Hal ini kerana adalah mustahil bagi suami untuk memanggil dua orang saksi untuk menyaksikan pukulan tersebut. (Najibah mohd zin.2007). keupayaan untuk membuktikan penganiayaan tersebut semakin terhalang jika penganiyaan dari sudut mental. Oleh itu dalam mazhab maliki, jika isteri membuat aduan berulang kali maka ia wajar dirujuk kepada hakam bagi membuat penyiasatan terperinci.(Wahbah az-zuhaili.) oleh itu, mahkamah perlu menerima dakwaan pihak yang menuntut dengan baik walaupun tidak dapat mengemukakan sebarang keterangan bagi menyokong tuntutannya.
            Pandangan mazhab maliki telah diterima dalam pelaksanaan di mahkamah mesir yang melantik hakam untuk menyiasat dakwaan oleh pihak yang menuntut jika tiada keterangan dapat dikemukakan. Walaupun demikian, pembubaran perkahwinan tersebut tidak diputuskan melalui fasakh sebaliknya dilaksanakan dengan lafaz talaq jika kesalahan daripada pihak suami. Jika kesalahan daripada pihak isteri pula, maka perkahwinan tersebut akan dibubarkan melalui khulu’ atau tebus talaq (najibah mohd zain. 2007)
           
Dalam seksyen 3 enakmen keterangan mahkamah syariah negeri Selangor telah diberi tafsiran tentang istilah bayyinah iaitu
bayyinah ertinya keterangan yang membuktikan sesuatu hak atau kepentingan dan termasuklah qarinah
Oleh yang demikian, bayyinah adalah keterangan yang berupaya menjadi bukti kepada pelanggaran hak atau kepentingan pihak yang bertelingkah.
            Umumnya, penganiayaan terhadap isteri seperti deraan atau pukulan oleh suami biasanya tidak mempunyai saksi melainkan mereka yang tinggal bersama didalam rumah tersebut iaitu anak-anak. Walaupun demikian, menurut hukum syarak pula menegah anak-anak menjadi saksi kepada ibubapa. Hal ini sekaligus meletakkan keterangan anak tersebut sebagai keterangan pensyaratan bayyinah dan bukan syahadah. (JH(2002)JLD XV.BHG II) . Keadaan ini dianggap sebagai darurat yang menerima konsep keterangan anak-anak kepada ibubapa dalam pembuktian dakwaan alasan fasakh walaupun ia tidak disabitkan sebagai keterangan penyaksian.
            Mahkamah melihat tahap darar yang berlanjutan serta sebab pengabaian tanggungjawab tersebut oleh suami. Darar yang dimaksudkan adalah luas yang merangkumi tindakan suami yang menyakiti isteri sama ada menerusi kata-kata ataupun perbuatannya, memaksa isteri melakukan perkara haram dan tindakan enggan menyetubuhinya tanpa alasan yang mengharuskannya. (Abdul Monir yaakob. 2006)
            Dalam kitab fiqh al-islam wa adilatuh menerangkan bahawa Mazhab hanafi, syafi’i dan hanbali tidak mengharuskan tuntutan fasakh disebabkan darar yang berlaku kerana meneliti kuasa hakim untuk mengeluarkan perintah larangan terhadap perbuatan tersebut berterusan dilakukan. Hakim atau kadi berkuasa memberi hukuman yang wajar bagi kesalahan tersebut. Walaupun demikian, mazhab maliki mengharuskan fasakh disebabkan darar yang dapat dibuktikan sahaja. Jika darar tersebut tidak dapat dibuktikan maka hakim perlu menolak pembubaran perkahwinan melalui fasakh yang  dituntut. (wahbah az-zuhaili.)

Nusyuz dalam fiqh manhaji al-syafi’i menyatakan pengertiannya adalah menderhaka. (dr.mustafa al-khin. 2009)  Sebagaimana firman Allah s.w.t:
“surah al-nisa ayat 34”
Hukum nusyuz adalah haram (dr.haji mohd radzuan Ibrahim. 2006) dan ia turut menghalang isteri daripada mendapat nafkah dan juga hak giliran. Walaupun demikian, nusyuz tidak membubarkan perkahwinan malah isteri masih berhak mewarisi harta peninggalan suami. (siti zalikhah md.nor. 2005)
            Daripada kes fasakh yang pernah direkodkan, mahkamah berupaya menolak pengakuan nusyuz daripada pihak isteri kerana meneliti sebab berlakunya nusyuz tersebut. Dalam jurnal isu-isu syariah mengatakan bahawa syarat yang mewajibkan isteri untuk taat kepada suami apabila tanggungjawabnya dijalankan dengan adil dan tidak bertentangan dengan hukum syarak. (zainul rijal abu bakar. 2008)
            Seksyen 60 (2) enakmen keluarga islam negeri Selangor 2003 berkenaan penolakan hak nafkah terhadap isteri yang nusyuz iaitu:
“seksyen 60 (2) –jksm website or e-syariah”
            Sekiranya isteri telah bertaubat untuk mentaati kembali kepada suami atau nusyuz isteri disebabkan oleh pelanggaran tanggungjawab suami terhadap isteri maka dakwaan nusyuz boleh ditolak oleh mahkamah dan menggangap ia sebagai tindak-balas untuk mempertahankan diri daripada kemudaratan yang lebih buruk terhadap dirinya. Sebagaimana yang disarankan secara hukum syarak bagi menghadapi isteri nusyuz dengan menasihatinya, kemudian memisahkannya daripada tempat tidur dan terakhir memberi pukulan yang bertujuan untuk mendidik.
            pukulan yang mendidik tidak mengharuskan pihak suami untuk mencederakan tubuh badan isteri sehingga ia memberi kemudaratan kepada kehidupannya. Keadaan seumpama itu menepati darar yang diharamkan syarak terhadap isteri yang merangkumi kata-kata dan perbuatan yang menganiayakan isteri untuk hidup bahagia sebagaimana matlamat tuntutan perkahwinan dalam islam.
            Ringkasnya, nusyuz tidak berlaku atas dua faktor iaitu jika ia bertindak untuk mempertahankan diri daripada kemudaratan yang lebih berat dan suami tidak menjalankan tanggungjawab dalam perkahwinan serta mengabaikan hak-hak isteri tanpa alasan yang dibenarkan syarak.
  
Kesimpulannya, tuntutan fasakh adalah sebahagian daripada alternative yang membela pihak isteri terutamanya untuk membubarkan perkahwinan dibawah kuasa hakim mahkamah syariah. Di Malaysia, fasakh biasanya dilakukan oleh pihak isteri kerana suami mempunyai kuasa talak yang lebih mudah untuk dihakimi dalam perbicaraan. Namun bagi pembuktian alasan kes fasakh ia memerlukan keterangan yang kuat untuk menyokong alasan dakwaan tersebut.
            Terdapat beberapa alasan yang membenarkan fasakh namun jarang difailkan dalam amalan mahkamah syariah di Malaysia walaupun peruntukkan tentangnya telah lama ada di dalam perundangan semasa. Antaranya, fasakh disebabkan oleh aib suami atau isteri, dan perkahwinan yang dibatalkan pada usia baligh. Pada kebiasaannya, kes-kes perkahwinan yang dapat dibubarkan melalui fasakh adalah dibawah alasan pengabaian nafkah dan penganiayaan terhadap isteri.
            Umumnya, pihak isteri yang menghadapi penganiayaan dan penderaan secara fizikal perlu segera membuat laporan kesihatan daripada pihak berkenaan sebelum kecederaan tersebut menjadi pulih. Hal ini bagi mengukuhkan alasan serta pembuktian dakwaannya kelak. Begitu juga dengan pihak isteri yang dianiaya secara mental perlu menjelaskan dengan yakin tahap kemudaratan tersebut terhadap mindanya serta pengaruh buruk terhadap kehidupannya.
  
  
RUJUKAN
Dr.mustafa al-khin. Dr.mustafa al-bugha. Dr.ali al-syarbaji terj. Dr.zulkifli mohammad al-bakri.2009. al-fiqh al-manhaji mazhab al-syafie. Darul syakir enterprise. Selangor.
Abdul monir yaakob. Siti shamsiah md supi. 2006. Manual undang-undang keluarga islam. IKIM. Kuala lumpur.
Dr. muhd fauzi Muhammad. 2000. Undang-undang keluarga dalam empat mazhab. Jil.1. Pembentukan keluarga. Synergymate.sdn.bhd. semenyih.
Dr. haji mohd radzuan Ibrahim. 2006. Munakahat: undang-undang dan prosuder. DRI publishing house. Ampang.
Siti zalikhah md.nor. 2005. Siri undang-undang dan masyarakat: jka sudah habis jodoh. Dewan bahasa dan pustaka. Kuala lumpur.
Ibnu rusyd terj. M.A Abdurrahman. A. haris abdullah. 1990. Bidayatul mujtahid jilid 2. Penerbitan asy-syifa’. Semarang.
Imam taqiyuddin abu bakar bin Muhammad alhusaini. 1993. Kifayatul akhyar (kelengkapan orang soleh) bahagian kedua. Pustaka nasional pte ltd. Singapura.
Wahbah az-zuhaili terj. (tahun). Fiqh al-islami wa adillatuhu. Penerbitan. Tempat.
Zainul rijal abu bakar. Mohamad isa abd ralip. Nurhidayah muhd hashim. 2008. Isu-isu syariah di Malaysia: ke arah meletakkan hak kepada yang berhak siri 2. Pusat penerbitan university (UPENA). UITM shah alam.
Enakmen undang-undang keluarga islam negeri Selangor 2003.
Enakmen keterangan mahkamah syariah negeri Selangor 2003

0 pendapat:

Post a Comment

syukran kasiran