Saturday, January 11, 2014

nah! SAMAN untukmu



Penyampaian sesuatu saman bolehlah dilakukan melalui dua cara iaitu penyampaian saman dalam bidangkuasa dan penyampaian saman di luar bidangkuasa. Bagi penyampaian saman dalam bidang kuasa, Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah Negeri Terengganu 2003(ETMMS) telah memperuntukkan dalam Seksyen 40(1) bahawa setiap Plaintif atau pemohon dan tiap-tiap orang yang memfailkan sesuatu saman atau dokumen lain dalam mana-mana prosiding, selain seorang pegawai Mahkamah yang bertindak demikian, dan mana-mana orang lain yang diperintahkan oleh Mahkamah untuk berbuat demikian hendaklah memberi alamat bagi penyampaian di dalam negeri Terengganu.Walaubagaimanapun menurut Seksyen 40(2), sekiranya Plaintif diwakili oleh seorang peguam Syarie, maka hendaklah alamat Peguam Syarie tersebut menjadi alamat bagi penyampaian.

Untuk penyampaian saman di luar bidangkuasa pula, seksyen 52(1) ETMMS memperuntukkan bahawa Mahkamah hanya akan membenarkan penyampaian dengan cara ini jika –
(a)  Keseluruhan hal perkara tindakan itu berhubungan dengan harta tak alih yang terletak dalam Negeri Terengganu;
(b)  Apa-apa relif diminta terhadap mana-mana orang yang berdomisil atau biasanya bermastautin atau menjalankan perniagaan di Negeri Terengganu;
(c)  Tindakan itu dibawa dengan sepatutnya terhadap seseorang yang kepadanya penyampaian dibuat dengan sempurna di Negeri Terengganu, seseorang di luar negeri Terengganu ialah satu pihak yang perlu atau patut dalam tindakan itu; atau
(d)  Dalam apa-apa hal yang berbangkit daripada perkahwinan, kemastautinan salah satu pihak kepada perkahwinan itu pada masa permohonan itu ialah di Negeri Terengganu.

Berkenaan dengan kes Tengku Balqis Insyirah (Tengku), beliau telah memfailkan penceraian secara fasakh di Mahkamah Rendah Syariah Kemaman, Terengganu pada 3 Januari 2013. Suaminya, Zlatan Ibrahimovic Abdullah (Zlatan), iaitu defendan dalam kes ini, tidak lagi tinggal bersama Tengku dan telah tidak pulang ke rumah kelamin yang terletak di Terengganu sejak 2010. Suaminya kini menetap di Seri Petaling, Kuala Lumpur sejak tahun 2006 iaitu apabila dia dilantik untuk menjadi jurulatih Harimau Malaya.

Oleh sebab alamat suami Puan Tengku bukan di Terengganu, dan sebaliknya di Kuala Lumpur, timbul isu perbezaan bidangkuasa bagi penyampaian saman perceraian secara fasakh tersebut.Dengan itu, penyampaian saman tidak bolehlah dilakukan menurut Seksyen 40 ETMMS dan haruslah dilakukan secara penyampaian saman di luar bidang kuasa seperti yang diperuntukkan oleh Seksyen 52 ETMMS.
Ini adalah berdasarkan kepada Seksyen 52(1)(c) yang menyatakan bahawa mahkamah akan memerintahkan penyampaian saman di luar bidangkuasa sekiranya pihak yang perlu dan patut dalam tindakan itu berada di luar bidang kuasa dan dalam kes ini, pihak yang patut berada di Kuala Lumpur.
Oleh itu, untuk menyampaikan saman perceraian ini kepada Encik Zlatan, saman tersebut haruslah dihantar kepada Mahkamah Syariah Kuala Lumpur, iaitu mahkamah yang mempunyai bidangkuasa terhadap Encik Zlatan yang menetap di Kuala Lumpur. Saman tersebut bolehlah disampaikan melalui pos bersama dengan permintaan bertulis bagi penyampaian ini dilaksanakan oleh Hakim atau Pendaftar dari Mahkamah Syariah Negeri Terengganu. Cara penyampaian ini adalah berdasarkan apa yang tertakluk dalam seksyen 54 (1) dan (2) ETMMS.

Walaubagaimanapun, jika penyampaian saman tersebut gagal untuk disampaikan kepada Encik Zlatan, satu lagi cara penyampaian iaitu penyampaian ganti bolehlah digunakan untuk menyampaikan saman perceraian tersebut. Tetapi ini hanya boleh dilaksanakan sekiranya Mahkamah berpuas hati bahawa segala usaha yang munasabah telah dilakukan untuk menyempurnakan penyampaian saman tersebut secara kediri. Cara untuk penyampaian ganti ada diperuntukkan dalam seksyen 48 ETMMS yang menyatakan –
(1)  Jika mahkamah berpuas hati bahawa atas apa-apa alasan yang mencukupi saman atau dokumen lain itu tidak dapat disampaikan secara biasa, Mahkamah boleh memerintahkan supaya saman atau dokumen lain itu disampaikan dengan cara menampalkan suatu salinannya di papan kenyataan Mahkamah dan juga di suatu tempat yang mudah dilihat seperti di bangunan tempat terakhir Defendan itu tinggal, atau mengikut apa-apa cara lain yang difikirkan patut oleh Mahkamah.
(2)  Mahkamah boleh juga membuat perintah supaya penyampaian dibuat melalui iklan dalam mana-mana akhbar tempatan sebagaimana yang difikirkan patut oleh Mahkamah.

Dalam erti kata lain, seksyen 48 memperuntukkan bahawa sekiranya saman Puan Tengku tidak dapat diserahkan atau disampaikan dalam keadaan biasa, bolehlah ia disampaikan melalui cara-cara berikut-
(a)  Menampalkan suatu salinan saman tersebut di papan kenyataan Mahkamah Syariah Kuala Lumpur;
(b)  Menampalkan satu salinannya ditempat yang mudah dilihat di bangunan tempat tinggal terakhir Encik Zlatan; atau
(c)  Dengan cara mengiklankannya di akhbar-akhbar tempatan.

Cara penyampaian ganti ini telah banyak dipraktikkan seperti contoh dalam kes Tuminah lwn Arifin di mana Plaintif telah memfailkan tuntutan cerai ta’lik kerana telah ditinggalkan suaminya.Penyampaian Kediri tidak dapat dilakukan kerana tempat tinggal suami tidak diketahui. Saman telah diserahkan melalui penyampaian ganti dengan cara notis berkenaan dengan tuntutan berkenaan telah diletakkan di semua pejabat-pejabat kadi di seluruh negeri Johor dan juga telah diiklankan dalam surat khabar. 

Selain dari itu, kes Rukiah lwn Abu Bakar juga telah menggunakan penyampaian ganti di mana Mahkamah telah mengarahkan satu notis penyampaian ganti dibuat dengan cara mengiklankannya di akhbar tempatan.
Berdasarkan seksyen 52 dan seksyen 48 ETMMS, adalah diyakini bahawa saman Puan Tengku boleh disampaikan kepada suaminya, Encik Zlatan.

0 pendapat:

Post a Comment

syukran kasiran