Thursday, November 14, 2013

Sekilas Al-qada' di Malaysia P3





Kesimpulannya, peranan al-qada’ dalam sebuah negara merupakan nilai yang tinggi terhadap ketamadunan masyarakat.Ia bukan sahaja berfungsi sebagai pengadilan malah turut berperanan sebagai kuasa yang mengikat semua pihak tanpa mengira pangkat dan kedudukan. Di Malaysia juga terdapat institusi al-qada’ yang telah ditubuhkan dengan pengkhususan kepada perundangan syariah.Oleh kerana istilah al-qada’ diwujudkan oleh cediakawan Islam maka pelaksanaannya juga mengutamakan prinsip-prinsip Islam.
            Secara umumnya, mahkamah syariah di Malaysia terbahagi kepada tiga peringkat iaitu mahkamah rendah syariah, mahkamah tinggi syariah dan juga mahkamah rayuan syariah.Setiap mahkamah mempunyai peranan yang telah dibahagikan sepertimana dalam Senarai 2 Perlembagaan Persekutuan.Bidangkuasa setiap peringkat mahkamh terdapat dalam Bahagian IV Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor 2003.Seksyen 61 berhubung dengan bidangkuasa mahkamah tinggi, seksyen 62 tentang bidangkuasa mahkamah rendah dan seksyen 67 berkenaan bidangkuasa mahkamah rayuan. Sebagai contoh, dalam seksyen 62 menyatakan bahawa mahkamah rendah syariah berkuasa mendengar kes jenayah yang terdapat dalam Enakmen Jenayah Syariah sahaja dan hukuman tersebut tidak melebihi RM3000 atau 2 tahun penjara atau kedua-duanya sekali. Manakala dalam bidangkuasa mal pula, mahkamah rendah syariah boleh mendengar kes yang tuntutan dibawah RM100,000 atau nilai yang tidak dapat ditentukan.
            Istilah al-qada’ dalam Islam mempunyai ruang perbincangan yang luas.Ia bukan sahaja meliputi institusi kehakiman sebaliknya turut membincangkan mengenai lantikan dan perkara yang berkaitan dengan hakim. Pelantikan hakim syarie menurut Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor 2003 mestilah lantikan tersebut daripada sultan atas nasihat Majlis kemudian lantikan diwartakan.Namun bagi lantikan Ketua Hakim Syarie pula mensyaratkan perkhidmatan melebihi 10 tahun dalam bidang kehakiman syarie sebelum lantikan. Seksyen 76 Enakmen yang sama menyediakan klausa tentang pelindungan bagi Hakim Syarie dan Pegawai Mahkamah. Peruntukkan ini menegah dakwaan terhadap Hakim Syarie dan Pegawai Mahkamah atas keputusan yang dibuat dengan suci hati.
            Satu lagi istilah yang sinonim dengan al-qada’ ialah qada’ al-mazalim atau dapat difahami sebagai sebuah badan yang mengadili kes-kes berhubung dengan orang yang berpengaruh dalam masyarakat atas kezaliman yang dilakukan.Di Malaysia, ia berperanan seperti bidangkuasa mahkamah tinggi namun secara umumnya, Malaysia terbahagi kepada dua jenis perundangan iaitu kawalan persekutuan dan kawalan negeri.Bagi perundangan Syariah yang berada dibawah kawalan negeri, Mahkamah Tinggi Syariah tidak mempunyai bidangkuasa yang luas seperti syarat pelaksanaan qada’ al-mazalim.Oleh yang demikian, Mahkamah Rayuan Syariah lebih mempunyai bidangkuasa yang umum kerana dibenarkan mendengar kes-kes yang dibuat rayuan daripada keputusan Mahkamah Tinggi Syariah.Walaupun demikian, ia masih belum tepat untuk menyifatkan qada’ al-mazalim telah dilaksanakan dengan baik dalam kehakiman syarie di Malaysia. Ringkasnya, qada’ al-mazalim bukan hanya meliputi bidang kehakiman sebaliknya ia merupakan pelaksanaan yang mengadili atau bertujuan untuk menghapuskan penindasan atau kekuasaan orang berpengaruh dalam sesebuah negara.

            Walaubagaimanapun, hal tersebut bukan memperlekehkan pelaksanaan kehakiman syarie di Malaysia, sebaliknya ia menjadi wadah kelemahan yang memerlukan perhatian untuk diperbetulkan supaya institusi kehakiman syarie dapat menjadi contoh keadilan yang sempurna sekaligus menyelesaikan pertelingkahan yang berlaku.

0 pendapat:

Post a Comment

syukran kasiran