Thursday, November 14, 2013

Qada' Al-Mazalim P2






PENGERTIAN
            Mazalim membawa maksud ketidakadilan, penindasan dan salah-laku dan Qada Al-Mazalim ataupun juga dikenali sebagai Wilayah Mazalim bermaksud kekuasaan tertinggi kehakiman yang mengadili kes-kes mazalim yang dilakukan oleh individu yang memiliki pengaruh dan kuasa dalam negara yang mana kehakiman biasa tidak dapat menanganinya. Manakala Ibnu Khaldun memberi gambaran bahawa ia adalah suatu jawatan gabungan dari pengaruh kekuasaan dan peradilan kehakiman. Jawatan untuk Qada Al-Mazalim dikenali sebagai  wali al-mazalim, sahib al-mazalim, nazir al-mazalim, qadi al-mazalim.
            Kepentingan Qada Al-Mazalim dapat dilihat dari dalil Al Quran Surah An-Nissa Ayat 59 yang berbunyi:

“Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu.Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat.Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.”

            Dalil tersebut jelas menunjukkan bahawa selain Allah dan Rasulullah, para pemerintah, kerajaan atau pegawai berkuasa juga patut ditaati bagi memastikan pemerintahan Negara berjalan dengan lancar dan tidak berlakunya kucar-kacir akibat tidak mematuhi undang-undang dan sistem kenegaraan yang sedia ada.Walau bagaimanapun, tidak mustahil untuk pihak yang berkuasa untuk menyalah gunakan kuasa yang dimiliki mereka dan oleh sebab itu, Qada Al-Mazalim perlu diwujudkan untuk memastikan tidak berlakunya penindasan oleh pihak berkuasa terhadap masyarakat awam.
            Konsep Qada Al-Mazalim boleh dibandingkan dengan Mahkamah Tinggi yang terdapat di Malaysia di mana sekiranya pihak berkuasa bertindak membatasi kuasa yang diberikan oleh mereka, maka orang yang mengalami penindasan tersebut atau tidak berpuas hati dengan tindakan pihak berkuasa yang membuat keputusan yang melebih bidang kuasanya maka suatu tindakan undang-undang “ultra vires” boleh difailkan di Mahkamah Tinggi terhadap pihak berkuasa tersebut untuk membolehkan Mahkamah menyemak keputusan atau tindakan pihak berkuasa tersebut.

SYARAT-SYARAT QADI AL-MAZALIM
            Syarat-syarat untuk seseorang menjadi Qadi Al-Mazalim adalah sama seperti seorang hakim biasa. Syarat-syarat yang lebih seperti yang diperkatakan oleh al-Mawardi adalah “… ianya tinggi kuasanya, terlaksana perintahnya, besar haybahnya, jelas iffahnya (bersusila dan bersopan santun), kurang tamaknya dan teramat wara.Di samping itu, menurut suatu sumber[1], 2 syarat tambahan untuk Qadi Al-Mazalim adalah lelaki dan mujtahid kerana jenis kezaliman yang dilakukan oleh kerajaan memerlukan qadi tersebut memerlukan qadi tersebut berhadapan dengan isu-isu baru yang dibangkitkan oleh kerjaan.

BIDANG KUASA QADI AL-MAZALIM
Bidangkusa seseorang Qadi Al-Mazalim adalah amat luas dan meliputi banyak aspek.Adalah menjadi tanggungjawab utama seorang Qadi Al-Mazalim untuk memastikan tidak berlakunya penindasan oleh pegawai-pegawai kerajaan terhadap orang awam. Qadi Al-Mazalim tidak perlu menunggu aduan untuk dibuat tentang penzaliman oleh pegawai-pegawai kerajaan tetapi boleh mengambil langkah initiatif untuk memeriksa sama ada penzaliman berlaku seperti kes-kes tindakan melampau pegawai-pegawai kerajaan dalam mengutip cukai seperti kharaj, jizyah, ‘usyur dan zakat harta. Sekiranya berlakunya penzaliman, Qadi Al-Mazalim boleh menasihati atau memecat pengawai yang bertindak zalim.
            Saidina Umar bin Al-Khattab ialah seorang Khalifah yang amat menitikberatkan peranan yang dimainkan oleh seorang Qadi Al-Mazalim dan kata-kata yang pernah diungkapkan oleh Saidina Umar adalah :
           
Mana-mana pegawai aku yang menzalimi siapa sahaja, kemudian sampai berita kezalimannya itu kepadaku, kalau aku tidak merubahkan (basmikan) kezalimannya maka bererti aku menzalimi.”

            Saidina Umar juga ialah Khalifah pertama yang melantik seorang yang khusus untuk melaporkan berita-berita mengenai pegawai-pegawainya dan memastikan laporan sebarang kezaliman sampai kepadanya[2].
            Selain itu, bidangkuasa Qadi Al-Mazalim turut meliputi pemerhatian terhadap kerja-kerja perkeranian yang dilakukan oleh kerani-kerani jabatan kerajaan bagi memastikan kerja-kerja yang dilakukan berjalan dengan lancar.Qadi Al-Mazalim turut memiliki kuasa untuk mengembalikan harta yang dirampas secara zalim kepada tuannya dan tanah tersebut boleh dirampai oleh pegawai kerajaan ataupun individu yang berpengaruh.
            Di samping itu, bidangkuasa Qadi Al-Mazalim juga termasuk meneliti harta-harta wakaf yang am’dan khas, meneliti ke atas pelaksanaan apa yang terhenti dari keputusan-keputusan yang dibuat oleh para hakim, meneliti apa yang tidak terdaya dilakukan oleh muhtasib dan meneliti di antara dua pihak yang bertikai dan membuat keputusan ke atas mereka.
            Dalam suatu artikel yang bertajuk “Mechanism for Protection and Enforcement of Human Rights In Islam[3]”, konsep institusi Al-Mazalim telah diperkatakan memelihara keadilan di antara pemerintah dengan yang diperintah dan melindungi hak asasi yang diperintah.







PERBEZAAN QADA AL-MAZALIM DENGAN HAKIM-HAKIM YANG LAIN

1.      Hakim Mazalim mempunyai kegerunan yang lebih dan kekuatan kuasa yang tidak ada pada hakim-hakim lain. Kegerunan dan ketakutkan ini diperlukan nagi mencegah pihak-pihak yang bertikai dari terus ingkar mengingkari dan menghalang orang-orang yang zalim dari terus berlaku zalim. Sebagai contoh, sekiranya berlaku kezaliman dalam sebuah negeri oleh pemerintahnya, Hakim Mazalim in boleh  menasihati pemerintah tersebut supaya tidak lagi melakukan kezaliman. Dan sekiranya pemerintah tersebut tidak berubah dan masih berlaku zalim, Hakim Mazalim boleh memecat pemerintah tersebut daripada takhtanya. Antara Hakim Mazalim yang pernah ada ialah Saidina Umar Al- khattab, beliau sentiasa memantau tindakan gabenor-gabenor dan pegawai-pegawai kerajaan “ mana-mana pegawai aku yang menzalimi sesiapa sahaja, kemudian berita kezalimannya itu sampai kepadaku dan aku tidak merubahkan kezalimannya berertu akulah yang menzalimi.”

2.      Dalam menghakimi kes-kes kezaliman boleh mengeluarkan dari kesempitan wajib kepada harus. Ini kerana, dalam beberapa situasi atau perkara, meletakkan hukum wajib menyebabkan kesukaran dan kesulitan dalam menghakimi atau mengadili kes.  Maka, apabila seorang Nazir atau Hakim dibenarkan untuk keluar daripada kesempitan wajib dalam mendengar sesuatu kes,  akan menyebabkan dan  membenarkan perbincangan berkenaan kes berkenaan dilakukan dengan lebih luas bidang.

  1. Boleh menggunakan sesuatu yang boleh menakutkan dan membongkarkan sebab-sebab berdasarkan petanda atau petunjuk. Petanda-petanda ini boleh menjadi bukti, dan dengan itu beliau dapat sampai kepada pengetahuan orang yang menegakkan kebenaran. Bidang kuasa ini hanya ada pada hakim Mazalim dan tidak ada pada hakim-hakim lain. Hakim Mazalim berkuasa dalam mencari bukti-bukti dan melakukan pembongkaran dalam meneliti sesebuah kes.

  1. Mengambil tindakan terhadap mereka yang nyata melakukan kezaliman atau permusuhan kerana beliau mempunyai kedudukan dan kuasa sedangkan hakim-hakim yang lain tidak boleh melakukan sedemikian. Tindakan ini biasanya berkait dengan Gabenor-gabenor atau pegawai-pegawai kerajaan yang menyalah gunakan kuasa atau perampasan harta oleh kerajaan yang zalim dengan melakukan kekejaman kepada tuan-tuangnnya. Hakim Mazalim juga boleh mengambil tindakan kepada individu-individu yang mempunyai kekuatan dan menindas mereka-mereka yang lain atau harta-harta mereka.

  1. Hakim Mazalim juga boleh melambatkan proses mengeluarkan hukuman atau menangguhkan sebuah prosiding ketika berlaku kesamaran dalam kes-kes yang ditelitinya. Al-Faqih Abu Ya’ la al Hanbali dalam membincangkan  bidang kuasa hakim Mazalim berkata, “Menghakimi di antara yang bertikai dan menghukumkan diantara yang berbalah, maka beliau tidak harus keluar dalam penghakiman diantara mereka itu factor dan tuntutan kebenaran, dan beliau tidak harus menghukum diantara mereka itu dengan sesuatu yang tidak dihukum oleh apara hakim dan Kadi”.Dengan kata lain, Hakim amzalim tidak boleh menghukum sewenag-wenangnya. Kerana itulah, Hakim Mazalim boleh menyiasat dengan lebih dalam dan lanjut akan sebab-sebab dan keadaan pihak-pihak yang bertikai. Sekiranya pihak-pihak bertikai dihakimi oleh hakim biasa, mereka tidak mempunyai kuasa untuk menangguhkan pemutusan hukuman dan perlu segera memberi keputusan.

  1. Nazir Mazalim boleh mengembalikan pihak-pihak yang bertikai kepada pendamaian melalui orang-orangnya yang diamanahkan agar menyelesaikan perbalahan diantara mereka secara  berdamai dengan saling redha meredhai. Pendamaian ini boleh dilakukan walaupun tanpa kerelaan pihak-pihak yang bertikai. Bagi hakim-hakim biasa, mediasi seperti ini hanya dibenarkan apabila ada bersetujuan dan kerelaan pihak-pihak yang bertikai kepada pendamaian ini.

  1. Selain itu, beliau boleh mendengar keterangan kesaksian orang-orang yang ‘mastur’ atau golongan yang tidak diketahui kedudukan samada fasiq atau adil. Nazir Mazalim biasanya merupakan mereka yang berpengalaman dan biasa dalam mentafsir reaksi dan tindakan seseorang saksi. Dalam mendengar kesaksian-kesaksian mereka, apa jua keputusan yang diberikan akan dikira adil.

  1. Nazir Mazalim juga boleh menuntut para saksi bersumpah ketika beliau meragui kedudukan mereka apabila mereka apabila mereka melakukan sumpah dengan pilihan sendiri. Beliau juga boleh meminta untuk menambahkan atau memperbanyakkan bilangan saksi bagi menghilangkan atau membuang segala keraguan atau prasangka yang timbul, sedangkan para hakim tidak dibenarkan untuk berbuat sedemikian.

  1. Boleh memulakan dengan memangil para saksi dan mengemukakan soalan tentang perbalahan pihak-pihak bertikai. Peraturan amnya, para hakim dan kadi perlu meminta pendakwa mengemukakan saksi dan keterangan. Mereka tidak boleh mendengan kesaksian dan keterangan tersebut tanpa diminta oleh Pendakwa. Namun, bagi hakim Mazalim, beliau boleh memanggil mana saksi dalam sebuah pertikaian dan meminta  mereka memberikan keterangan.


[1]An Introduction to the Islamic Judiciary. Artikel boleh didapati di http://khilafah.com/index.php/the-khilafah/judiciary/466-an-introduction-to-the-islamic-judiciary
[2]Sistem Kehakiman Islam oleh Prof Abd Al Karim Zaidan
[3]Mechanism for Protection and Enforcement of Human Rights In Islam by R.K Salman, Shamrahayu A Aziz. Article boleh didapati di http://rksalman.com.ng/publications/mechanisms_for_protection_and_enforcement_of_human_rights_in_islam.pdf

0 pendapat:

Post a Comment

syukran kasiran