Sunday, November 17, 2013

Fikir Bukan Peram





PINTU IJTIHAD DITUTUP

Revolusi pemikiran yang menghalang untuk berijtihad sememang pernah berlaku bermula pada abad ke-3H. Hal ini kerana beberapa faktor yang mendorong para cendiakawan Islam memutuskan untuk tidak berijtihad atau mengeluarkan hukum baru. Dalam usaha mempertimbangkan antara maslahat dan mafsadah yang bakal berlaku pada masa akan datang maka para cendiakawan bertungkus-lumus menyelesaikan masalah yang timbul. Pintu ijtihad ditutup bermaksud keupayaan ijtihad yang tidak lagi berfungsi sebagai pencetus wacana pemikiran umat Islam. Ia disimpulkan melalui penjelasan yang diolah oleh Dr.Ibrahim Abbas Al-Dzarwy dalam teori ijtihad dalam hukum Islam.

                Serangan terhadap dunia Islam meliputi pelbagai sudut termasuk usaha untuk mencemarkan kemuliaannya seperti munculnya golongan fasik yang ekstrem, serangan meruntuhkan pemerintahan Islam, serta pemerintah yang sering menyalahi sifat kepimpinan yang ditekankan dalam Islam. Kucar-kacir yang berlaku telah menyibukkan para ulamak untuk membanteras supaya ia tidak berleluasa sehingga menyebabkan ajaran Islam tercemar. Oleh yang demikian, para ulamak menyelesaikan masalah yang timbul dengan mengambil pendekatan berdasarkan hujahan imam mazhab yang berlaku sebelumnya. Perkara ini disokong oleh Abdul Karim Al-Khatib dalam karyanya berkenaan ijtihad sebagai sebuah potensi dinamis yang mampu menggerakkan Islam. (Abdul Karim AL-Khatib. 2005)

                Abdul Karim Al-Khatib menambah lagi bahawa penghalangan untuk memutuskan ijtihad pada masa itu bukan kerana ijtihad itu salah dan alasan yang digunakan adalah tidak kukuh untuk menyifatkan pintu ijtihad telah tertutup pada zaman seterusnya. Oleh yang demikian, pemutusan ijtihad tidak berlaku dan ia dipersetujui oleh para ulamak masa kini. Walaubagaimanapun, revolusi pemikiran yang memutuskan ijtihad itu telah memberikan impak yang besar pada pembangunan ijtihad pada masa kini. Selain daripada pemecahan negara pemerintahan Islam kepada yang lebih kecil, para ulamak juga sukar untuk bermusyawarah dan berijtihad untuk membentuk pembangunan minda Islam yang lebih selari dengan perubahan semasa.

                Abdul Halim El-Muhammady  menjelaskan bahawa ijtihad terbahagi kepada beberapa jenis antaranya ijtihad al-mutlaq yang merujuk kepada ijtihad yang dilakukan secara langsung dan tidak terikat dengan pendapat imam-imam tertentu. Sebagai contoh, ijtihad yang dilakukan oleh imam mazhab yang terdiri daripada Imam Hanafi, Imam Maliki, Imam Syafi’I dan Imam Hanbali. Kedua, ijtihad al-muhtasib iaitu ijtihad yang terikat kepada imam tertentu seperti penggunaan Istihsan oleh Abu Yusuf yang terikat kepada Imam Hanafi selaku gurunya. Ketiga, ijtihad al-madhhab pula ijtihad yang berasaskan kepada mazhabnya di samping dapat memahami sumber dan dasar pengambilan hukum tersebut. Dan yang terakhir adalah ijtihad al-fatwa yang berfungsi sebagai pemindah pendapat imamnya untuk digunakan sebagai fatwa.
                Hasil daripada pembahagian tersebut, hakikatnya ijtihad masih wujud pada dua jenis iaitu ijtihad al-madhhab dan ijtihad al-fatwa. Oleh yang demikian, tuduhan bahawa pintu ijtihad tertutup adalah tidak tepat. Allah telah berfirman:
Bermaksud:  Jika kamu berselisih dalam sesuatu perkara maka kembalilah kepada Allah dan Rasul-Nya
                                                                                                                                                                (Surah al-Nisa’ 4:59)
Dalam Tafsir Al-MIshbah oleh M.Quraish Shihab mengaitkan ayat tersebut dengan kesinambungan pada ijtihad sebagai hasil daripada ketaatan kepada Allah dan Rasul-Nya. Ketaatan yang mendominasi jiwa seorang hamba meliputi seluruh aspek kehidupan termasuk larangan dan tuntutan. Dalam kitab yang sama menekankan bahawa kadar ketaatan kepada Allah dan Rasul-Nya tiada penolakan berbanding suruhan “taatilah” pada ‘Ulil Amri” yang perlu jika tidak menyanggahi sumber asas pengambilan solusi daripada perselisihan yang wujud.

                Oleh yang demikian, potensi dinamis ijtihad sebagai hukum Islam tidak pernah ditutup sebaliknya ia menjadi perlahan dan tidak aktif kerana implikasi yang diterima daripada keruntuhan pemerintahan Islam sehingga para ulamak sukar untuk menerapkan nilai-nilai pemikiran Islam pada umat kini . Pengalikasian ijtihad sentiasa digalakkan oleh Nabi s.a.w sebagaimana hadis Muaz bin Jabal ketika beliau diutuskan menjadi wakil di Yaman. Sebagaimana hadis yang diriwayat oleh Ahmad dan Abu Daud:

Maksudnya:
“Bagaimanakah nanti engkau akan memutuskan hukum apabila dibawa kepada engkau sesuatu permasalahan? Muaz menjawab:’ Saya akan memutuskan hokum berdasarkan Kitab Allah S.W.T.’ Nabi bertanya lagi,’ Sekiranya kamu tidak mendapati didalam Kitab Allah?’ Jawab Muaz.’ Saya akan memutuskan berdasarkan Sunnah.’ Tanya Nabi lagi,’ Sekiranya engkau tidak menemui didalam Sunnah?’ Muaz menjawab,’ Saya akan berijtihad dan saya tidak akan mengabaikan perkara tersebut. Nabi pun menepuk dada sambil bersabda,’ Segala puji bagi Allah yang telah member taufiq kepada utusan Rasulullah S.A.W. ke arah sesuatu yang diredhainya.”
(Riwayat Ahmad dan Abu Daud)

                Pembangunan ijtihad dapat melahirkan ramai pemikir yang mampu menyelesaikan masalah semasa dengan adil dan tepat menurut hukum syarak. Hal ini telah dibuktikan dalam sejaran yang membentuk generasi ilmuwan Islam dalam pelbagai kemahiran berikutan penjanaan aplikasi daya fikir yang ditekankan dalam konsep ijtihad. Dalam keadaan semasa, para hakim merupakan golongan yang banyak melakukan ijtihad dalam memutuskan kes-kes yang didengarnya sepertimana bidangkuasa yang diletakkan pada seorang hakim syarie selaku ketua mahkamah syariah di Malaysia.         
                               


0 pendapat:

Post a Comment

syukran kasiran