perkongsian email dari pensyarah
Warga DLSA yang dirahmati ALLAH SWT sekalian
Saya merujuk kepada soalan yang dibangkitkan oleh Nor Azniza berhubung bidangkuasa Mahkamah bagi perakuan kematian yang membolehkan pembahagian harta pusaka diagihkan di Mahkamah Tinggi Sivil atau pejabat tanah...
Ketika disoal, saya memberikan pandangan bahawa perakuan kematian yang dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah hanyalah berbidangkuasa untuk membenarkan sesuatu permohonan perceraian disebabkan anggapan kematian dan mendapatkan sijil faraidh, manakala perakuan daripada Mah.Tinggi Sivil adalah perlu bagi pengesahan kematian yang membolehkan harta pusaka diagihkan, dan untuk mendapatkan surat LA...Tempoh anggapan kematian di Mah. Syariah adalah 4 tahun manakala tempoh anggapan kematian di Mahkamah Sivil adalah 7 tahun..berikutan itu, saya merujuk kepada satu kes di Mahkamah Tinggi iaitu Re Ridzuan Ibrahim [2002] 4 AMR 4318...

Untuk makluman anda semua, pada tahun 2000-an, Mahkamah Syariah Negeri Terengganu pernah mengeluarkan perintah anggapan kematian bagi pembahagian harta pusaka, tapi dicabar di peringkat yang lebih tinggi...kesnya pula, setakat yang saya tahu tidak dimasukkan ke dalam jurnal...walaubagaimanapun, sekiranya setelah merujuk kepada Mahkamah Syariah di sesebuah negeri yang menyatakan bahawa perintah anggapan kematian yang dikeluarkan di Mah. SYariah negeri tersebut berkuasa untuk membuat pembahagian harta pusaka, maka anda semua bolehlah memfailkan kes tersebut...Ini kerana mungkin bidangkuasa di setiap negeri berlainan di antara satu sama lain....
untuk rujukan awal anda semua berkenaan kes  Re Ridzuan Ibrahim
  
PERAKUAN KEMATIAN DAN PEMBAHAGIAN PUSAKA

Walaupun perintah bagi perakuan kematian di Mahkamah Syariah berkuasa untuk membubarkan sesuatu perkahwinan namun perintah tersebut sama sekali tidak boleh digunakan bagi memfailkan permohonan pembahagian harta pusaka si mati di Mahkamah Tinggi (Sivil), Pejabat Tanah dan Galian ataupun untuk mendapatkan surat kuasa mentadbir.  Hal ini kerana hanya surat perakuan kematian yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi (Sivil) sahaja yang sah digunakan untuk membuat tuntutan harta pusaka si mati.

Walaupun begitu, perintah yang dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah boleh digunakan sebagai bukti kematian si mati bagi mendapatkan sijil faraidh[1] di Mahkamah Syariah. Perbezaan peranan yang dimainkan oleh perakuan kematian di Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil dapat dilihat menerusi penghakiman Y. Arif Heliliah Mohd Yusof, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, di dalam kes Re Ridzwan Ibrahim.[2]

Di dalam kes ini, Pemohon iaitu Ridzwan Ibrahim merupakan cucu saudara kepada Allahyarham Sheikh Mohamed Sheikh Ali. Allahyarham telah berpindah dari Malaysia dan menjadi warganegara Arab Saudi pada tahun 1957 yang kemudiannya telah meninggal dunia di Hijaz pada tahun 1973. Oleh kerana tiada sebarang dokumen kematian yang dimiliki oleh Pemohon, maka Pemohon telah memohon kepada Mahkamah untuk mendapatkan perintah anggapan kematian si mati bagi membolehkan harta pusaka si mati dibahagikan kepada waris-waris yang berhak.

Setelah meneliti afidavit yang dikemukakan oleh Pemohon dan bidangkuasa Mahkamah Tinggi (Sivil), maka Y. Arif Hakim di dalam kes tersebut memutuskan bahawa Mahkamah Tinggi (Sivil) berbidangkuasa untuk mengeluarkan perintah anggapan kematian kepada Pemohon walaupun bidangkuasa yang sama turut diperuntukkan di Mahkamah Syariah. Ini kerana perintah yang dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah hanya berotoriti bagi membubarkan perkahwinan dan pengeluaran sijil faraidh semata-mata.

Adalah perlu ditekankan bahawa walaupun sesuatu perkahwinan boleh dibubarkan menerusi peruntukan anggapan kematian, namun sekiranya seseorang isteri tidak sanggup menunggu sehingga empat tahun bagi mendapatkan perintah pembubaran, maka isteri tersebut mempunyai remedi untuk membubarkan perkahwinannya menerusi fasakh[3] ataupun ta’liq kerana ditinggalkan oleh suami serta kegagalan suami untuk memberi nafkah zahir dan batin kepadanya melebihi tempoh empat (4) bulan.



[1] Sijil faraidh merupakan perintah Mahkamah Syariah yang mengandungi perakuan tentang penentuan orang-orang yang berhak kepada bahagian harta pusaka dan kadar yang diperolehi oleh waris-waris tersebut melalui pembahagian faraidh.
[2] [2002] 4 AMR 4318.
[3] Seksyen 52 (1)(a)(b) dan (d), Akta 303 dan seksyen 53 (1) (a)(b) dan (d), Enakmen 2, Tahun 2003 (Negeri Selangor).