Friday, January 13, 2012

Suami Nusyuz (P.1)



Persoalan tentang suami nusyuz mungkin jarang diambil berat oleh banyak pihak, malah ia juga tidak dibincangkan sekerap perbincangan mengenai perihal isteri yang nusyuz. Sebelum menganjak kepada perbincangan yang lebih dalam, ada baiknya kita didedahkan tentang pengertian nusyuz dari segi bahasa ialah berhenti di tempat yang tinggi dan menonjol di muka bumi. Ia seperti suatu gambaran perasaan yang mengungkapkan keadaan jiwa  yang sombong dengan melakukan penderhakaan dan seumpamanya. Huraian definisi ini dinyatakan oleh Sayyid Qutb dalam tafsirnya.

Suami nusyuz merujuk kepada perlakuan zalim seperti tidak menunaikan hak isteri sama ada dalam giliran atau nafkah, atau bercakap serta bertindak kasar terhadap pasangannya. Saya tidak mahu menyentuh perihal isteri nusyuz meskipun perbezaan atau persamaannya. Sebaliknya, penumpuaan hanya pada pemahaman tentang kes suami nusyuz serta kesannya dari sudut perundangan secara perbandingan antara Enakmen Undang-undang Keluarga Islam yang berkuatkuasa di Mahkamah Syariah dengan Akta Memperbaharui Undang-undang yang diaplikasikan dalam perbicaraan kes mahkamah sivil.

Berpegang pada definisi tersebut, jelaslah bahawa suami nusyuz boleh menjadi alasan keretakkan rumahtangga yang perlu diselesaikan sekiranya mahu perkahwinan diteruskan dengan baik. Isteri juga mestilah bersikap toleransi dengan memberi peringatan dan nasihat dengan baik terlebih dahulu sebelum bertindak membuat aduan kepada pihak berwajib. Hal ini bagi mengambil kira keadaan yang mendorong tindakan suami sedemikian yang mungkin berdasarkan alasan yang munasabah atau tekanan yang dialaminya. Namun sekiranya ia berlarutan sehingga menggugat keamanan untuk isteri tinggal bersamanya maka menurut Imam Syafie, pengaduan untuk penyelesaian perlu dilakukan atas kuasa qadhi. Isteri tidak dibenarkan membuat tindakan sebagaimana penyelesaian yang dianjurkan kepada suami, dalam surah An-Nisa’ ayat 34.

Menurut Imam Syafie lagi, qadhi boleh mengeluarkan surat perintah kepada suami bagi menjawab tuntutan hak isteri sekiranya pengabaian hak telah benar berlaku. Malah isteri boleh menuntut hukuman takzir jika perintah tersebut tidak diendahkan oleh pihak suami. Dalam Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Selangor (seksyen 126) menjelaskan bahawa pelanggaran surat perintah mahkamah oleh suami akan membolehkan hukuman penjara tidak lebih 6 bulan atau denda tidak lebih RM1000 atau kedua-duanya.

Sekiranya keadaan nusyuz masih tidak melihatkan perubahan maka penceraian bagi kedua pihak mungkin boleh menjadi jalan terakhir selepas perlantikan perantara yang juga boleh dijadikan usaha mengembalikan keharmonian rumahtangga tersebut.

Satu kes yang perlu diambil perhatian apabila berlaku penderaan atau kecederaan fizikal akibat dipukul atau sebagainya oleh suami. Maka langkah pertama yang perlu dilakukan oleh pihak isteri adalah mendapat laporan polis serta perubatan kemudian membawa kedua-duanya bagi mendapat perintah pelindungan daripada mahkamah. Di samping itu, ia juga penting sebagai bukti dalam tuntutan cerai taklik atau fasakh kelak. Dalam subseksyen 107 (2) enakmen yang sama mensabitkan hukuman terhadap suami atas penghinaan mahkamah jika mengabaikan perintah perlindungan tersebut.

Perlu diingatkan bahawa jika isteri mahukan rundingan atau nasihat sebagai penyelesaian maka aduan perlu dilaporkan kepada Jabatan Agama dan ia adalah tindakan awal yang lebih bijak dan tidak tergesa-gesa. Isteri perlu berfikiran jauh dan elakkan tindakan emosi menguasai keputusannya.

Allah telah berfirman dalam surah An-Nisa’ ayat 19 yang bermaksud:

Dan bergaullah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik.

0 pendapat:

Post a Comment

syukran kasiran