Saturday, January 14, 2012

Bukan Hanya Cinta


Saidina Ali pernah menyatakan hasratnya menikahi puteri Abu Jahal. Fatimah az-zahra dengan fitrah wanitanya tidak rela bermadu. Apabila hal ini diadukan kepada Rasullullah, Rasullullah tidak pernah mempersoalkan iman Fatimah dan tidak mendesak puterinya supaya taat. Rasullullah malah memahami kecemburuan puterinya.
Baginda sendiri menyatakan bantahannya kepada Ali dan meminta puterinya diceraikan sekiranya Ali tetap dengan niatnya itu. Ali itu bukan calang-calang orang. Dia lelaki bertaqwa dan sentiasa adil dalam tindakannya. Apatah lagi Ali tidak pernah melakukan kekerasan kepada isterinya. Namun, Islam tetap meraikan suara hati isteri dalam hal ini. Sekiranya isteri tidak merelakan maka dia berhak minta diceraikan.

(Hadis Sahih Bukhari dan Muslim)
Novel Sebarkan cinta-Mu: m/s 186


Hadis ini menjadi nadi penceritaan dalam sebuku novel yang bukan hanya berkisar tentang kisah hidup atau kisah cinta semata sebaliknya ia penuh ilmiah dengan pelbagai skop topik kajian serta hukum bersama dalil yang kukuh. Jika Habiburahman el-Shirazy merupakan novelis seberang yang hebat, maka Fatimah Syarha merupakan saingannya yang mewakili Malaysia. Seringkali bahasa dan ungkapan yang digunakan oleh beliau menguatkan keyakinan peribadi muslimah tentang sebuah erti cinta Islami.

Istimewa hasil karyanya kali ini pula telah berjaya membuka minda yang luas tentang poligami. Benar sebagaimana yang dinyatakan bahawa seringkali alasan dan logik serta dalil yang sama diguna-pakai oleh bagi berpoligami terutamanya bagi kaum suami yang sememangnya memiliki autoriti tersebut. Sehingga presepsi para isteri telah didominasi sedemikian sedangkan hakikatnya ia mempunyai toleransi yang tidak memberat hanya sebelah pihak. Sebagaimana hadis yang dijadikan mukadimah entri ini, penjelasan mengenainya telah dihuraikan dengan baik oleh penulis bersama contoh situasi yang diadaptasi pada watak yang terdapat pada jalan ceritanya.

Menarik dan sangat menarik, saya memuji usaha Fatimah Syarha dalam menulis tentang cinta insani, malah ungkapan falsafah yang diserapkan sangat memberangsangkan sebagai sebuah prinsip cinta tanpa maksiat dan zina hati sebaliknya tulus pengorbanannya kerana Illahi, walaupun manusia dijuadahkan dengan kelemahan dan kekurangan namun kekuatan cinta telah membuktikan bahawa janji Allah kepada wanita yang baik itu pasti.

‘’ lelaki yang menawarkan cinta kepada kita, dengan cara mengiklankan kederhakaannya pada Allah, jangan diharap  dia mampu memimpin cinta itu ke syurga” –m/s 98.

Mungkin kreativiti jalan cerita yang disampaikan tidak dapat menandingi Hlovate, tapi ia adalah biasa kerana setiap karya pasti ada kelemahannya, sama seperti Hlovate yang sering menggunakan lawak dan dialog yang seakan sama dengan karyanya yang lain, apa yang menarik pada karya Hlovate adalah prinsipnya tentang cinta, kedua-duanya tidak menyokong budaya coupling dan menyimpan romantis hanya pada suami semata, disamping itu kedua-duanya mempunyai persamaan dalam usaha menerapkan gaya hidup seorang muslim. Ia sangat menarik walaupun zahirnya saya bukan peminat fanatik novel.
Namun kedua-dua penulis ini telah berjaya mendesak saya untuk tidak tinggalkan walau sehelai mukasurat untuk ditatapi.

0 pendapat:

Post a Comment

syukran kasiran