Thursday, November 10, 2011

Si Merak Murahan


Pulang dari majlis yang meriah dan gembira, tiba-tiba matanya terpaku memandang sehelai kertas merah yang terlekat kuat di hadapan pintu masuk rumahnya. Menggigil tubuh membuah peluh dingin, hilang tawa riang, hilang bayangan usikan tadi hanya kerana kata-kata yang terpahat pada sekeping kertas merah itu.

Begitulah gambaran keadaan yang berlaku saat terbaca surah at-Takaatsur. Walaupun ia hanya mengandungi 8 ayat yang ringkas namun peringatannya dapat mengigilkan sebatang tubuh yang pasti tidak terlepas dari perhitungan kelak.  
Si Merak cantik bulunya sehingga sombongnya pada hitamnya Sang Gagak, tapi Sang Gagak tidak rugi sedikit pun kerana sayapnya lebih mahal dari bulu sombong Si Merak, 


sebagaimana yang dijelaskan dalam terjemahan surah ke-102 ini :

1.            Kamu telah dilalaikan (daripada mengerjakan amal bakti) oleh perbuatan berlumba-lumba untuk mendapat dengan sebanyak-banyaknya (hartabenda, anak-pinak, pangkat dan pengaruh),

2.            Sehingga kamu masuk kubur.

3.            Jangan sekali-kali (bersikap demikian)! Kamu akan mengetahui kelak (akibatnya yang buruk semasa hendak mati)!

4.            Sekali lagi (diingatkan): jangan sekali-kali (kamu bersikap demikian), Kamu akan mengetahui kelak (akibatnya yang buruk pada hari kiamat)!

5.            Demi sesungguhnya, Kalaulah kamu mengetahui - (apa yang kamu akan hadapi) - dengan pengetahuan yang yakin, (tentulah kamu akan mengerjakan perkara-perkara yang menjadi bekalan kamu untuk hari akhirat).

6.            (Ingatlah) demi sesungguhnya! Kamu akan melihat neraka yang marak menjulang.

7.            Selepas itu - demi sesungguhnya, - Kamu (wahai orang-orang yang derhaka) akan melihatnya dengan penglihatan yang yakin (semasa kamu dilemparkan ke dalamnya)!

8.            Selain dari itu, sesungguhnya kamu akan ditanya pada hari itu, tentang segala nikmat (yang kamu telah menikmatinya)!

Rujukan: BAHEIS, JPM dan Bahaman Makiran (Tafsir Pimpinan Ar-Rahman)

Majlis yang meriah itu ibarat dunia yang dimegahkan merangkumi harta, anak, dan kekayaan serta pangkat yang kononnya meletakkan nilai hebat diri daripada insan-insan lain, sedangkan tanpa disedari semua itu jika disaluti dengan rasa megah maka kelalaian adalah sahabat akrab yang akan menemani catatan amalannya, dan megah atau sombong itu adalah berlawanan dengan ikhlas dan qanaah yang menjadi syarat penerimaan tulus mizan Syurga Illahi.

Lebih berat lagi apabila Allah memberi  ‘’warranty’’ bahawa kelalaian itu berterusan sehingga masuk kubur,  sebagaimana tafsiran Syed Qutb dalam Kitabnya Fi Zilalil Qur’an yang menyatakan bahawa kemegahan itu dipupuk hanya untuk menjamah lubang kubur yang sempit, ibarat sudu emas ditempa untuk menyuap air kosong, oleh itu Allah mengingatkan berulang-ulang kali yang surah yang pendek ini bahawa sedar sebelum terlewat, bangun sebelum dibuai mimpi, berpaling sebelum terbenam, delete sebelum ter-setting, agar diri kita dan keluarga malah harta yang dipinjamkan bukan menjadi modal bankrupt akhirat sebaliknya saham kemewahan abadi,
Hari ini kita sudah diselubungi ketakutan saat terlihat letupan gunung berapi, bertempiaran lari menyelamat diri, sejauh mungkin langkah dibuka supaya lava hangat tidak terpalit pada kulitnya, teriakan dan tangisan tidak putus beralun, tapi apa agaknya reaksi saat dipertontonkan neraka Jahim pada ‘’ainul yaqin’’ bukan pada TV atau surat akhbar atau Youtube atau Video call dan sebagainya, sebaliknya depan mata dengan keyakinan lagi bukan mimpi atau rakaman, tepuk iman pupuk istighfar,

Allah berfirman dalam surah Al-Zalzalah
وَمَن يَعۡمَلۡ مِثۡقَالَ ذَرَّةٍ۬ شَرًّ۬ا يَرَهُ ۥ

Maksudnya:
Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya).

Jadi, segala yang dilakukan pada harta, anak, atau pangkat yang dimegahkan suatu ketika dulu menuntut jawapan dan pengakuan, malah tiada satu sudut pun ia terlepas dari ancaman soal selidik-Nya sebagaimana digambarkan dengan sekecil atom atau zarah, cuba bayangkan satu titik atas huruf ‘i’ terkandung beribu-ribu atom, inikan pula sebuah banglo besar ?
Astagfirullahal’azim…..

1 pendapat:

LadyBird said...

akak tetap gagak hitam..

Post a Comment

syukran kasiran