Wednesday, November 2, 2011

Markas Gunung Semanggol


13 SEPTEMBER 2011- tarikh keramat ini telah membuktikan Allah sentiasa memerhatikan serta mengetahui apa yang terselindung di sebalik sanubari hamba-Nya walau sedalam mana ia tersorok, tetap jua dibawah pengetahuan-Nya, telah lama saya memendam hasrat untuk menjejakkan kaki ke bumi sejarah besar yang dimiliki oleh Maahad Ehya’ As-syariff, rasa kagum akan semangat perjuangan yang pernah berkubu di sana meruntun hati kecil berbisik halus untuk melihat jelas keadaannya, mendesak pandangan untuk sentiasa mengintai indah walau pancaindera yang kecil tidak mampu menggapai aura kemuliaan gah namanya, walau langkah lambat mendapat seru namun hasrat dan impian tidak pernah pudar untuk ke sana,

Akhirnya, impian termakbul, doa terkabul, langkah teratur mengiringi senyuman syukur menyambut redha seruan takdir, hadirnya diri bukan sekadar pelawat namun terpikul satu tanggungjawab besar pada pejuang-pejuang muda yang sedang diproses dalam markas keimanan mengaut barakah sejarah pelopornya, sungguh kerdil diri tidak layak menggenggam walau seurat tali tanggungjawab itu namun tetap jua digagahi agar sempurna amanah terlatih ummah, tidak hanya mengharap sebutir pengalaman tapi turut cuba menikmati indah pemandangan sejarah yang pernah terpatri suatu ketika dulu, moga diri ini terpilih oleh-Nya untuk menjadi generasi klon perjuangan mereka yang lalu,

Struktur peta yang masih tidak dicemari kuat mengimbau kenangan lalu yang pernah singgah suatu ketika dulu pada tanah itu seolah ia telah sebati dengan perjalanan hidup seorang insan yang masih kecil dan kini ia telah dewasa untuk meniru langkah gaya serta mempertahankan nilai kenangan yang tidak terbayar dek emas segunung, tidak setaraf berlian serumpun, atau mutiara se-paun, segalanya kalah untuk menandingi butir-butir kenangan yang terlakar di bumi barakah ini, bisanya masih terasa namun sengatannya telah tumpul, bisa itu hanya kerana pati sejarah yang terbuku sedang sengatan itu ibarat semangat pejuang muda markas ini masih lesu dibuai arus kelalaian dan kerakusan perasaan kebudakan yang belum terbebas dari kematangan umur mereka,

Walau setiap telinga telah terhidang keluhuran sejarah juang bumi itu, namun kerakusan dunia lalaian ciptaan sendiri menghalang penghayatan bermakna di jiwa-jiwa muda pejuang-pejuang kecil ini, mereka terus melayani bisikan kecil yang tersinggah daripada mendengar laungan jeritan setiap sudut yang berkumandang menuntut semangat lalu tidak terkubur sebagai sejarah semata, tapi menjadi pemangkin pengeluaran produk juang muda alaf baru,

Diriku tetap bangga dan bibir hatiku tetap tersenyum girang kerana setiap langkahku teratur kemas di bumi itu, walau pejuang muda itu tidak melihat langkah juang yang ku kutip namun mataku, kaki ini, malah jari kecilku jua terus meraba aura pejuangan yang tertinggal pada debu-debu bangunannya, pada lebat dedaunan pohonannya, pada pasak rerumputnya serta pada sebuah gerbang yang tersemat gah namanya yang menjadi saksi asli sejarah itu, sungguh aku kagum!

Wahai pejuang muda kesayanganku,
Bangkitlah dari lena, bangunlah dari lalai, berdirilah pada kerajinan, tidurkanlah malas dan alasan, sungguh benar katamu, diriku tidak layak mendodoikan semangat itu kerana langkahku jua baru bertatih, maafkan lemahnya diri, ampunkan daifnya nafsi, manakan bisa seekor rajawali berguru dengan seekor merpati, manakan enggang mahu terbang bersama sang pipit, tapi sayapmu patah, kakimu tercalar, matamu terpanah, diriku ingin membalut sayap itu, menyapu calar jahil yang terpalit, mencabut panahan yang tersusuk agar engkau bisa mengepak dan terbang bebas dengan girang kelak ke destinasi raudhah pejuang kesayangan illahi selamanya….

0 pendapat:

Post a Comment

syukran kasiran