Thursday, April 14, 2011

intiza' Milkiyyah


Pengertian tajuk adalah sinonim dengan Akta Pengambilan Tanah 1960 yang berkuatkuasa dalam perundangan berkaitan tanah di Malaysia yang merujuk kepada pengambilan balik tanah oleh pihak berkuasa atas sebab dan alasan tertentu, walaupun perbuatan tersebut adalah bertentangan dengan prinsip jaminan hak milik harta terhadap tuan punya melainkan pengambilan tersebut dengan keizinan tuan punya tanpa sebarang paksaan munasabah. sebagaimana firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 188:

وَلَا تَأۡكُلُوٓاْ أَمۡوَٲلَكُم بَيۡنَكُم بِٱلۡبَـٰطِلِ وَتُدۡلُواْ بِهَآ إِلَى ٱلۡحُڪَّامِ لِتَأۡڪُلُواْ فَرِيقً۬ا مِّنۡ أَمۡوَٲلِ ٱلنَّاسِ بِٱلۡإِثۡمِ وَأَنتُمۡ تَعۡلَمُونَ


walaupun demikian, syarak tidak menyebelahi sepenuhnya jaminan tersebut terutamanya berhubung dengan kes-kes tertentu yang melibatkan pencampuran hak orang lain ke atas hak milik tuan punya.. antara alasan yang membolehkan pengambilan balik tanah  secara paksaan seperti pengambilan balik tanah untuk memenuhi tujuan umum atau menyelesaikan maslahah ammah, contohnya usaha pembinaan masjid, sekolah, jalan raya, hospital, dan seumpamanya. Di samping itu, orang yang berhutang juga dibenarkan pengambilan balik tanahnya sebagai bayaran kepada hutang-hutangnya selain dari alasan pengambilan balik dengan sebab syuf'ah

syuf'ah bermaksud bergabung dari segi bahasanya, namun dari segi istilah ia membawa maksud hak untuk memiliki secara paksa. dengan hak ini seorang rakan kongsi berhak memiliki bahagian yang dijual oleh bekas rakan kongsinya kepada pihak lain, sebagai contoh, dua orang yang berkongsi memiliki sebidang tanah, namun salah seorang telah menjualkan bahagiannya kepada pihak lain, maka pemilik tanah yang masih ada boleh mengambil bahagian tersebut secara paksa kepada pembeli dengan harga yang sama yang ditawarkan oleh bekas rakan kongsinya. dalil yang mengharuskan syuf'ah adalah merujuk kepada Hadith Jabir r.a bahawa Rasullullah s.a.w pernah bersabda yang bermaksud:

"Rasullullah s.a.w telah menghakimi berdasarkan syuf'ah bagi harta yang belum dibahagikan, namun setelah ditandakan sempadan dan dibahagikan jalan maka tiada lagi syuf'ah."
(Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)

hak syuf'ah tidak berkuatkuasa pada semua hak yang terdapat dalam harta yang dikongsi pemilikannya namun hak syuf'ah terdapat pada perkara-perkara yang disebut dalam kontrak menurut Syafi'i, malah dalam kes jalan raya yang terangkum dalam harta pemilikan juga menimbulkan perselisihan antara fukaha', menurut Syafi'i tiada hak syuf'ah pada jalan yang dilalui oleh orang awam kerana hak milik awam bermaksud tiada pemilik atas harta tersebut, namun jika jalan tersebut merupakan jalan yang dimiliki dan terdapat perbelanjaan yang munasabah ke atas jalan tersebut maka sabit hak syuf'ah ke atasnya tanpa mengenepikan penilaian kepentingan jalan tersebut pada awam.

kembali kepada perbincangan tajuk, pengambilan balik tanah atas maksud awam akan dibayar pampasan oleh perbendaharaan negara atau baitul mal tanpa mengabaikan syarat-syarat yang harus dipatuhi semasa pengambilan balik dilakukan, antara syarat yang disusun bagi intiza' milkiyyah ialah pelaksanaan oleh kerajaan atau pemerintah, maslahah ammah yang menjadi tujuan pengambilan balik tanah adalah benar wujud dan dapat dibuktikan oleh pihak yang berkewajipan, seterusnya syarat berkaitan dengan bayaran pampasan kepada tuan punya milik tanah yang diambil balik haknya, bayaran pampasan merupakan ganti kepada tuan punya milik tanah atas kerugian yang ditanggung berhubung dengan manfaat yang diambil dari tanah miliknya, oleh yang demikian, nilai bayaran pampasan mestilah berlandaskan keadilan dan memadai dengan mutu tanah yang diambil, di samping itu, bayaran tersebut mestilah dibuat dengan kadar segera tanpa penangguhan yang munsabah dan keizinan tuan punya.

sebagaimana dalam kes Jarir bin Bajalli pada zaman Saidina Umar, tindakan pengambilan balik tanah milik Jarir yang pernah diberikan oleh Saidina Umar disusuli dengan bayaran pampasan yang munasabah kepada Jarir, lalu persetujuan antara kedua pihak melayakkan pengambilan tanah tersebut. di samping itu juga, bayaran pampasan yang akan dibayar boleh ditentukan dengan nilai pasaran semasa bagi tanah tersebut, nilai pampasan yang dibayar msetilah tidak kurang daripada nilai pasaran semasa bagi tanah, malah pendapat pakar hartanah juga boleh dijadikan sebagai idea yang munasabah dalam menentukan nilai bayaran pampasan kepada tuan punya milik,

satu keperluan bagi pihak yang ingin mengambil balik tanah untuk membuat penyataan atau keterangan berhubung dengan pengambilan balik tanah, sama ada mengenai kewujudan tahap maslahah tersebut, sejauh mana pengambilan tersebut boleh menyelesaikan masalah yang timbul di samping hasilnya bermatlamatkan maslahah ammah, oleh yang demikian, tuan punya milik tanah boleh menimbulkan sebarang persoalan berhubung dengan niat kerajaan akan pengambilan balik tersebut.

jelasnya, ia adalah selaras dengan konsep melaksanakan kemudaratan yang lebih ringan untuk mengelakkan kemudaratan yang lebih berat dalam kaedah-kaedah fiqh, jadi pengambilan balik tanah dalam Islam bukan bersifat penganiayaan sebaliknya ia adalah salah satu bentuk keindahan Islam yang tidak mengajar umatnya untuk bersikap mementingkan diri,
sekian,

0 pendapat:

Post a Comment

syukran kasiran