Friday, February 18, 2011

Tahdid al-Milkiyyah.


Batasan Hak Milik Dan Memiliknegarakan Hartanah menurut Islam
Membataskan menghadkan hak milik bermaksud kerajaan menetapkan had yang paling maksimum yang boleh dimiliki oleh seseorang terhadap harta sama ada harta alih ataupun harta tak alih yang mana seseorang itu tidak boleh memiliki harta melebihi jumlah yang telah ditetapkan. Dalam istilah undang-undang tanah Islam, ia dikenali sebagai tahdid al-milkiyyah. 

Memiliknegarakan harta atau di dalam undang-undang Islam ia dikenali sebagai al-ta’mim pula bermaksud memindahkan hak milik harta yang dimiliki oleh seseorang atau sesebuah badan dan sebagainya kepada pemilikan negara dengan membayar pampasan kepada tuan punya harta itu. Sekiranya pampasan tidak dibayar, ia dikira sebagai musadarah dan bukannya ta’mim. 

Menurut Islam, terdapat dua pendapat yang membincangkan mengenai isu ini, pendapat yang pertama tidak membenarkan sama sekali tahdid al-milkiyyah dan ta’mim. Pendapat ini didokong oleh Abu Al-A’ala al- Maududi dan golongan ini bersandarkan kepada dalil – dalil daripada al-Quran, al-Hadith, amalan para sahabat serta kaedah-kaedah am. Antara hujah pendapat ini ialah dalam surah an-Nisa ayat 20:


dan jika kamu hendak mengambil isteri (baharu) menggantikan isteri (lama Yang kamu ceraikan) sedang kamu telahpun memberikan kepada seseorang di antaranya (isteri Yang diceraikan itu) harta Yang banyak, maka janganlah kamu mengambil sedikitpun dari harta itu. Patutkah kamu mengambilnya Dengan cara Yang tidak benar dan (yang menyebabkan) dosa Yang nyata?

Ayat ini melarang dan menegah  Tahdid al-Milkiyyah yang lebih kecil dan lebih ringan apatah lagi yang lebih besar daripada itu.
Antara kaedah-kaedah umum yang digunakan oleh golongan ini adalah
a)      Islam telah mewajibkan zakat sebagai jaminan sosial masyarakat Islam
b)      Islam tidak menetapkan kadar banyak atau sedikit apa-apa pemilikan harta
c)      Tahdid al-Milkiyyah merupakan suatu rampasan yang ditegah oleh Islam

Menurut pendapat kedua yang didokong oleh Syeikh Ali al-Khafif yang mengemukakan pendapatnya di dalam muktamar pertama di Azhar, pada bulan Syawal 1383H ialah pemerintah Islam mempunyai hak dan kuasa membatasi dan memiliknegarakan sesetengah harta. Golongan pendapat kedua ini berhujah juga dengan menggunakan al-Quran dan al-Hadith. Antara dalil yang menjadi hujah golongan kedua ini adalah daripada surah al-An’am ayat 12 

Bertanyalah (Wahai Muhammad): "Hak milik siapakah Segala Yang ada di langit dan di bumi?" katakanlah: "(Semuanya itu) adalah milik Allah. ia telah menetapkan atas dirinya memberi rahmat. Demi Sesungguhnya ia akan menghimpunkan kamu pada hari kiamat Yang tidak ada sebarang syak padanya". orang-orang Yang merugikan diri sendiri (dangan mensia-siakan pengurniaan Allah), maka mereka (dengan sebab Yang tersebut) tidak beriman.

Mengikut Muhammad Abdul al-Jawwad, tahdid al-milkiyyah atau al-ta’mim bukanlah matlamat akhir kerajaan tetapi kedua-duanya adalah merupakan wasilah untuk memastikan tercapainya maslahah ‘ammah bagi kerajaan dan rakyat.
 

0 pendapat:

Post a Comment

syukran kasiran