Friday, February 18, 2011

Peguam Sivil ja?




Mulai tahun ini, bayaran kos guaman meningkat antara 300 dan 400 peratus iaitu daripada RM2,000 sebelum ini hingga kini boleh mencecah sehingga RM10,000, kata Presiden Majlis Peguam Ragunath Kesavan. Beliau berkata bayaran kos ini meningkat kerana tanggungjawab yang dipikul oleh peguam semakin banyak berbanding dahulu, antaranya kini kes tidak boleh ditangguh sewenang-wenangnya.



Selain itu, kes mahkamah kini perlu diselesaikan dalam masa tiga bulan, katanya kepada pemberita selepas melancarkan projek "Start" yang merupakan pengedaran buku panduan yang komprehensif mengenai cara sebuah firma guaman dikendalikan di pejabat majlis itu di sini hari ini.

"Dulu kes sivil di Mahkamah Majistret hanya membabitkan kos sebanyak RM2,000 sekarang mungkin mencecah RM8,000 hingga RM10,000, apa lagi di Mahkamah Tinggi. Tanggungjawab peguam sekarang lebih berat," katanya. Mengenai program "start", beliau berkata Majlis Peguam terpanggil untuk mengeluarkan buku tersebut yang diedarkan secara percuma kepada peguam yang memohon Sijil Amalan Guaman dan Sijil Tahunan serta peguam yang berhasrat membuka firma guaman sendiri kerana jumlah kes peguam yang dikenakan tindakan displin semakin meningkat.

"Stastistik yang diperoleh oleh Lembaga Disiplin Majlis Peguam mendapati antara 30 dan 40 peguam dikenakan hukuman setiap tahun dengan kesalahan seperti menipu pelanggan, ditipu rakan kongsi dalam sebuah firma guaman dan sebagainya," kata Kesavan.
Selain itu, Majlis Peguam juga menerima kes di mana peguam disytiharkan muflis selepas ditipu oleh rakan kongsi mereka, dan peguam Bumiputera mendakwa mereka tidak mendapat hasil keuntungan sebagai rakan kongsi tetapi namanya telah digunakan semata-mata untuk memenuhi keperluan kuota Bumiputera yang dikehendaki oleh bank, katanya.

Beliau berkata projek buku panduan "Start" itu yang membabitkan kos kira-kira RM200,000, tidak termasuk bantuan percuma oleh peguam-peguam kanan, menjelaskan perjalanan operasi sebuah perniagaan firma guaman yang membabitkan pelanggan, wang dan perjanjian di antara rakan kongsi.
"Panduan yang diberikan dalam buku ini tidak diajar di univerisiti, antaranya ialah bagaimana untuk memulakan sebuah firma guaman, pengetahuan mengenai perkara ini sangat penting kerana cabaran yang dihadapi peguam sekarang berbeza berbanding 20 dan 30 tahun lepas," katanya.

Buku itu dijual kepada orang ramai dengan harga RM50 senaskah, katanya. Mengenai kenyataan Ketua Hakim Negara Tun Zaki Tun Azmi dalam akhbar The Sun pada pada Isnin lepas, yang mengatakan bahawa penangguhan kes mahkamah akan menjejaskan ekonomi negara, Kesavan berkata semua pihak membabitkan peguam, pendakwa dan hakim perlu bekerjasama dalam menangani masalah itu.

- Kuala Lumpur, 16 Februari 2011

0 pendapat:

Post a Comment

syukran kasiran