Sunday, February 13, 2011

Hak Milik Tanah-Islam


Milik atau pemilikan adalah sesuatu yang mempunyai hubungan antara manusia dengan harta yang diakui oleh syarak sebagai kurniaan Allah s.w.t kepada manusia untuk kepentingan hidup bermasyarakat. Perkara 125 The Mejelle menjelaskan perkataan milik ( al-milk ) bermaksud sesuatu yang dimiliki oleh seseorang sama ada dalam bentu barangan (‘ain/jisim) ataupun manfaat. Dari segi bahasa, Dr. Wahbah Zuhaili menyifatkan milik ialah ‘pemilikan’ dan penguasaan harta oleh manusia di samping kuasa mentadbirnya. ( Wan Asma’ Wan Abu Bakar, 2008 : 15,16 )


Hak Milik Mengikut Undang-undang Islam
Perkataan hak dalam undang-undang Islam merupakan satu ketetapan atau keputusan yang telah ditentukan oleh Allah s.w.t. Ahli-ahli fiqh Islam telah mentakrifkan hak sebagai milik (al-milk), yang meliputi harta benda, manfaat, hutang piutang dan hak-hak lain. Hak dalam undang-undang Islam terbahagi kepada dua jenis :
a)      Hak yang berkaitan dengan benda ( al-huquq al-maliyyah ) iaitu hak-hak yang berkaitan dengan benda dan yang ada hubungan dengannya seperti hak-hak yang berkaitan dengan wakaf, hak syuf’ah, hak khiyar, hak tentera terhadap harta rampasan perang, hak ahli waris dalam menerima pusaka dan sebagainya
b)      Hak yang tidak berkaitan dengan benda dan tidak ada hubungan dengannya. Hak-hak ini termasuklah hak wali mangsa dalam qisas dan hak memaafkannya atau sebagainya.
Hak milik merupakan hubungan dari segi syarak di antara manusia dan harta, yang menjadikan seseorang itu mempunyai beberapa keistimewaan, di mana ia boleh menegah orang lain daripada memilikinya. Hak milik terhadap harta membolehkan seseorang membelanja dan menggunakan harta tersebut dalam batas-batas yang telah ditentukan oleh syarak. ( Ridzuan Awang, 1994 : 223-234 )

Jenis – Jenis Hak Milik
Hak milik dalam undang-undang Islam terbahagi kepada dua jenis :
a)      Hak Milik Sempurna ( tammah )
Hak milik sempurna ialah suatu hak yang diberi kepada seseorang pemilik untuk menggunakan harta benda itu dan menikmati manfaat serta faedahnya. Orang-orang yang mempunyai hak milik sempurna sama ada harta tak alih (‘aqar) atau harta alih ( manqul ) bebas menggunakan harta yang ada dalam milikannya dan manfaat benda itu. Tiada sekatan terhadap harta tersebut melainkan sekatan-sekatan syarak dan tidak ada seorang pun boleh mengambil harta  itu melainkan dengan kerelaan pemiliknya atau dengan ketetapan hukum syarak. ( Ridzuan Awang, 1994 : 234-235 )
Hak milik ini boleh diperolehi dengan salah satu daripada sebab-sebab berikut :                 ( Ridzuan Awang, 1994 : 234-235 )
i)           Akibat daripada penguatkuasaan sesuatu kontrak seperti jual beli, hibbah dan   sebagainya

Islam memberikan kebebasan penuh kepada ummatnya dalam mengadakan kontrak asalkan perkara yang dikontrakkan itu halal. Asas penting dalam kontrak Islam adalah prinsip kerelaan kedua-dua belah pihak yang membuat kontrak untuk mewujudkan kontrak itu. Secara umumnya, kontrak dalam Islam terbahagi kepada dua iaitu kontrak yang berhubung dengan hak sesama manusia seperti kontrak jual beli dan sewa dan yang keduanya ialah kontrak yang melibatkan hak-hak Allah seperti kontrak perkahwinan dan perceraian. Kontrak sesama manusia merangkumi dua kategori akad iaitu akad al-tabbaru’ iaitu akad penyerahan secara sukarela seperti wakaf dan hibbah dan akad al-mu’awadhah  iaitu kontrak pertukaran antara pihak-pihak yang mengikat kontrak misalnya jual-beli dan sewaan. ( Wan Asma’ Wan Abu Bakar, 2008 : 17 )


ii)         Berlakunya syuf’ah ( pre-emption )
              Syuf’ah ialah hak rakan kongsi yang harta tak alihnya bersatu ( tidak boleh  dipecahkan atau dipisahkan ) dengan harta si penjual dan ia berhak mendapat manfaat hasil daripada usaha dan kos perbelanjaan yang telah dikeluarkan. Hak syuf’ah diberikan kepada rakan kongsi lama untuk mengambil bahagian yang dimiliki dengan ahli kongsi baru dengan sesuatu balasan ( membayar harga yang telah dipersetujui ) terhadap hak miliknya. Misalnya A dan B berkongsi membeli tanah untuk dijadikan ladang buah-buahan, atas sebab tertentu, B menjualkan bahagian hak miliknya kepada C. Jika A tidak bersetuju berkongsi dengan C, maka A mempunyai hak untuk membatalkan penjualan itu dan membayar harga yang sama seperti yang dibayar oleh C kepada B. Maka, tanah tersebut menjadi hak milik penuh A sahaja. ( Wan Asma’ Wan Abu Bakar, 2008 : 20-21 )
iii)       Penguasaan ke atas harta mubah seperti mengihya’kan tanah mawat
Harta mubah adalah harta yang diharuskan oleh syarak untuk dimiliki kerana ia tidak dimiliki oleh sesiapapun serta tiada tegahan syarak daripada memilikinya manakala tanah mawat pula ialah tanah yang tidak diusahakan dan tidak dimiliki. ( Wan Asma’ Wan Abu Bakar, 2008 : 102 )
iv)         Pewarisan
            Harta diwarisi daripada orang yang telah mati melalui dua cara iaitu pewarisan dan wasiat. Pemilikan harta melalui pewarisan harta bersifat milk al-tam iaitu milik penuh dan penguasaanya adalah mutlak. ( Wan Asma’ Wan Abu Bakar, 2008 : 18-19 )

Walaubagaimanapun, hak milik sempurna ini boleh dilucutkan atau diambil secara paksa daripada pemiliknya melalui keadaan-keadaan berikut :
i)              Untuk faedah umum seperti meluaskan jalanraya. Nilai pampasan hendaklah dibayar setimpal dan diambil daripada wang baitulmal
ii)          Menjual harta orang yang berhutang yang tidak akan membayar hutangnya  walaupun dipaksa
iii)       Mengambil harta tak alih melalui konsep syuf’ah

b)     Hak Milik Tidak Sempurna ( Naqisah )
Hak milik tidak sempurna ialah pemilikan yang tidak memberikan hak sepenuhnya kepada pemiliknya. Kemungkinan pemilik al-naqis hanya memiliki manfaat sahaja sedangkan harta adalah milik orang lain atau memiliki harta sahaja sedangkan manfaatnya adalah milik orang lain. Hak milik harta adalah bersifat kekal manakala hak milik manfaat pula adalah bersifat sementara sahaja. Walaubagaimanapun, kesan pemilik harta secara al-naqis menyebabkan mereka tidak boleh melakukan sesuka hati terhadap harta tersebut.
Terdapat beberapa ciri yang menentukan sesuatu itu dikatakan milk al-naqis :
a)      Pemilikan itu bersifat terbatas waktu, tempat dan sifat pemilikan
b)      Pemilik tidak boleh mewariskan harta atau hak manfaat yang dimilikinya
c)      Pemanfaat harta milk al-naqis bertanggungjawab menguruskan harta itu
d)     Apabila habis tempoh, maka harta atau hak manfaat sesuatu harta hendaklah diserahkan semula kepada pemiliknya yang sempurna ( milik penuh ). Walaubagaimanapun jika penyerahan itu menimbulkan kemudaratan kepada pemilik manfaat contohnya tempoh sewaan tanah ladang telah tamat tetapi hasilnya belum dapat dituai, maka manfaat tanah tersebut kekal di tangan pemilik manfaat dan beliau dikehendaki membayar sewaan tanah sehingga hasil tanamannya dituai.
Pemilikan tidak sempurna terbahagi kepada dua jenis :
a)      Pemilikan harta sahaja tanpa manfaat
b)      Pemilikan manfaat sahaja. Pemilikan jenis ini wujud dalam dua bentuk :
·         Pemilikan menfaat secara individu ( manfaat al-syakhsi/al-intifa’ ) yang bermaksud seseorang mendapat manfaat dari sesuatu harta kerana dia menyewa atau meminjam daripada orang lain. Milik manfaat juga berlaku ke atas harta wakaf, wasiat dan harta yang diberi keizinan oleh pemilik penuh kepada orang lain untuk menggunakan atau mengambil manfaatnya. Pemilikan jenis ini tidak bersifat mutlak, ia boleh disesuaikan dengan keadaan semasa dan tempat.
Walaubagaimanapun, pemilik manfaat hendaklah menanggung perbelanjaan menjaga harta yang diperolehi manfaatnya secara percuma. Sebaliknya jika dia mendapat manfaat melalui balasan seperti sewaan, kos penyelengaraan adalah ditanggung oleh pemilik harta itu. 

·         Pemilikan manfaat secara bersama ( hak irtifaq ). Menurut Fuqaha’, hak irtifaq berlaku dalam beberapa keadaan berikut :
                                                                 i.                                       Hak penggunaan air minum ( haq al-syurb )
                                                               ii.                                       Hak saluran air ( haq al-majra )
                                                             iii.                                       Hak membuang air kotoran atau air berlebihan ( hak al-Masil )
                                                             iv.                                       Hak lalulintas ( hak al-murur )
                                                               v.                                       Hak kejiranan ( hak al-jiwar )
                                                             vi.                                       Hak al-ta’ali

- kertas kerja hak milik ATIRATUN NABILAH BINTI JAMIL, mahasiswa Tahun 3, Jabatan Syariah.- 

0 pendapat:

Post a Comment

syukran kasiran