Wednesday, November 3, 2010

Realiti Poligami




Poligami membawa maksud perkahwinan lebih daripada seorang isteri dalam sesuatu masa. Lawan istilah poligami ini ialah monogami, iaitu berkahwin dengan seorang isteri sahaja. Walau bagaimanapun, Drs Sidi Ghazalba berpendapat lawan poligami ialah poliandri, iaitu perkahwinan seorang perempuan dengan beberapa orang lelaki
.
Amalan poligami telah mula dipraktikkan sebelum kedatangan Islam lagi iaitu sejak zaman Jahiliyyah, bahkan ia juga merupakan sebahagian amalan tradisi kehidupan masyarakat Rom, Yunani dan Yahudi yang dilakukan secara tidak teratur dan tanpa batas. Sesungguhnya amalan poligami ini menjadi kebanggaan dan ukuran yang menentukan ketinggian darjat dan kehormatan seseorang.

Kedatangan agama Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w telah merubah amalan poligami yang ada dengan menghadkan bilangan isteri yang boleh dikahwini iaitu tidak melebihi empat orang isteri sahaja dan tertakluk kepada syarat-syarat yang ketat. Di dalam Islam, Poligami hanyalah sebagai amalan yang dibenarkan dengan bersyarat dan bukanlah kebenaran secara mutlaq atau sebagai amalan yang wajib dilakukan 


PENSYARIATAN POLIGAMI DALAM ISLAM

Pensyariatan Poligami dalam Islam adalah berdasarkan al-Quran, ayat 3 Surah al-Nisa’ yang bermaksud : 

“ Dan jika kamu takut tidak berlaku adil terhadap perempuan-perempuan yatim (apabila kamu berkahwin dengan mereka) maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenaan daripada perempuan-perempuan lain: dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja, atau (pakailah) hamba-hamba perempuan yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat (untuk mencegah) supaya kamu tidak melakukan kezaliman.”

Ayat ini diturunkan selepas berlakunya Perang Uhud yang telah mengorbankan banyak orang Islam dan menyebabkan isteri mereka menjadi janda serta anak-anak  kehilangan kasih sayang seorang bapa. Ini menunjukkan bahawa poligami disyariatkan untuk memenuhi keperluan-keperluan individu dalam masyarakat dan sebagai jalan penyelesaian masalah masyarakat dalam keadaan-keadaan tertentu 

Berdasarkan ayat 3 Surah al-Nisa’ ini juga menunjukkan bahawa hukum poligami adalah harus jika tidak mendatangkan kemudaratan dan penganiayaan ke atas isteri yang dikahwini. Sekiranya suami tidak dapat berlaku adil dan akan memudaratkan isteri, maka mereka diarahkan beristeri hanya seorang sahaja. Di sini jelas menunjukkan bahawa keharusan berpoligami adalah berkait rapat dengan keadilan pihak suami dalam melaksanakan tanggungjawab dalam semua aspek rumah tangga. Keadilan di sini bukan sahaja berkaitan kemampuan suami dari segi kewangan untuk menyara lebih dari seorang isteri tetapi hendaklah berlaku adil dalam pelbagai aspek termasuk memberi bimbingan dan menjadi teman kepada isteri-isteri


Walau bagaimanapun, untuk berlaku adil dalam soal cinta dan kasih sayang adalah sukar kerana ia di luar kemampuan manusia sebagaimana yang telah dijelaskan oleh Allah s.w.t dalam ayat 129 surah al-Nisa’ yang bermaksud : 

“ Dan kamu sekali-kali tidak dapat berlaku adil antara isteri-isteri kamu walaupun kamu sangat ingin berbuat demikian, kerana itu janganlah kamu terlalu cenderung dengan melampau-lampau (berat sebelah kepada isteri yang kamu sayangi) sehingga kamu biarkan isteri yang lain seperti benda yang tergantung (di awang-awangan); dan jika kamu memperbaiki (keadaan yang pincang itu) dan memelihara diri (daripada perbuatan zalim) maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.”


Ayat ini jelas menunjukkan bahawa pihak suami boleh berlaku adil dari segi material, namun mustahil bagi suami untuk berlaku adil dari segi kasih sayang kepada isteri-isterinya. Rasulullah s.a.w sendiri sering berdoa supaya Allah s.w.t tidak mencelanya dalam soal penggiliran kerana beliau sendiri mengaku tidak dapat berlaku adil khususnya dalam soal kecenderungan hati terhadap mana-mana isteri.


PERKEMBANGAN UNDANG-UNDANG POLIGAMI DI MALAYSIA

Semua negeri di Malaysia mempunyai peruntukan khusus tentang amalan poligami dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam masing-masing. Sebelum penyeragaman Akta dan Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam negeri-negeri dilaksanakan, prosedur permohonan poligami di beberapa buah negeri didapati tidak seragam.

Ketidakseragaman Akta atau Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam mengenai poligami di negeri-negeri telah disalahgunakan oleh golongan-golongan tertentu. Peruntukan mengenai izin atau tidak daripada isteri ada terkandung dalam Seksyen 23 Akta 303, Pulau Pinang 1985, Johor 1990, Negeri Sembilan 1984, Seksyen 17 dalam Undang-Undang Keluarga Islam Kedah 1979, Pahang, Selangor dan Melaka. Namun begitu, bagi Enakmen Keluarga Islam Negeri Kelantan, Terengganu dan Perak tidak memperuntukan bahawa pandangan isteri diperlukan untuk menentukan layak atau tidak seseorang suami itu berpoligami.


Syarat utama untuk berpoligami di dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga di negeri Kelantan, Terengganu dan Perak hanyalah perlu mendapat kebenaran bertulis daripada Qadi atau Hakim Syar’ie dan keputusan terletak pada kebijaksanaan Hakim sepenuhnya. Manakala syarat-syarat lain seperti kemampuan suami dari segi kewangan, keizinan atau pandangan isteri pertama sama ada patut atau perlu tentang perkahwinan yang dicadangkan dan suami boleh berlaku adil terhadap semua isteri adalah tidak diperuntukan dalam prosedur poligami di tiga buah negeri ini.


Penyeragaman Akta dan Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam negeri-negeri berdasarkan Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan yang dipersetujui oleh Majlis Raja-Raja pada bulan Mac 2001 telah membawa kepada beberapa pindaan penting dalam peruntukan undang-undang tentang poligami di kebanyakkan negeri di negara ini. Secara keseluruhannya, pindaan yang dibuat tertumpu pada penambahbaikan dari sudut prosedur permohonan poligami dan memberikan lebih perlindungan kepada isteri-isteri yang sedia ada. Pindaan ini dilihat sebagai usaha memperkemas undang-undang poligami sedia ada dan menjaga kebajikan semua pihak terutama kepada isteri-isteri dan anak-anak dari teraniaya  


PROSEDUR PERMOHONAN POLIGAMI MENURUT ENAKMEN UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM (NEGERI SELANGOR)

Sesungguhnya Hukum Syarak telah memberi kebenaran kepada lelaki Islam untuk berkahwin dengan empat orang isteri dalam satu-satu masa, namun terdapat peruntukan di dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Selangor telah meletakkan beberapa syarat kepada lelaki sebelum mereka dibenarkan berpoligami.

Seksyen 23 (1) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Selangor memperuntukan : 

“ Tiada seorang pun lelaki semasa wujudnya suatu perkahwinan boleh, kecuali dengan mendapat kebenaran terlebih dahulu secara bertulis daripada Mahkamah, membuat akad nikah perkahwinan yang lain dengan perempuan lain.”

Berdasarkan peruntukan di atas, lelaki yang ingin berpoligami hendaklah terlebih dahulu mendapat kebenaran bertulis daripada Hakim Syarie. Sekiranya kebenaran ini tidak diperolehi maka perkahwinan itu tidak boleh didaftarkan kecuali setelah Mahkamah memutuskan bahawa perkahwinan itu sah menurut Hukum Syarak. Perkara ini telah dinyatakan dalam Seksyen 23 (2) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Selangor iaitu : 

“ Tiada Perkahwinan yang diakadnikahkan tanpa kebenaran di bawah (1) boleh didaftarkan di bawah Enakmen ini melainkan jika Mahkamah berpuas hati bahawa perkahwinan sedemikian adalah sah mengikut Hukum Syarak dan Mahkamah telah memerintah supaya perkahwinan itu di daftarkan tertakluk kepada seksyen 124.”  

Seksyen 4 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Selangor juga telah menyatakan bahawa permohonan untuk mendapatkan kebenaran poligami hendaklah dikemukakan kepada Mahkamah mengikut cara yang telah ditetapkan dan disertai dengan suatu iqrar.

Antara isi kandungan ikrar atau akuan ini ialah :
1)      Menyatakan alasan-alasan mengapa perkahwinan yang dicadangkan itu dikatakan patut dan perlu;
2)      Pendapatan pemohon pada masa itu;
3)      Butir-butir komitmennya dan kewajipan serta tanggungan kewangannya yang patut ditentukan;
4)      Bilangan orang tanggungannya termasuk orang yang akan menjadi tanggungannya berikutan dengan perkahwinan yang dicadangkan;
5)      Sama ada izin atau pandangan isteri atau isteri-isterinya sedia ada terhadap perkahwinan yang dicadangkan itu telah diperolehi atau tidak.

Manakala Seksyen 23 (5) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Selangor menyatakan, apabila Mahkamah menerima permohonan kebenaran berpoligami, Mahkamah hendaklah memanggil pemohon, isteri atau isteri-isterinya sedia ada, wali kepada bakal isteri, dan mana-mana orang lain yang difikirkan oleh Mahkamah boleh memberi keterangan mengenai perkahwinan yang dicadangkan itu supaya hadir semasa permohonan itu didengar. Pendengaran permohonan diadakan secara tertutup 
Berdasarkan Seksyen 23 (5) (a) (b) (c) dan (d) Mahkamah perlu berpuas hati terhadap empat perkara sebelum memberi kebenaran berpoligami iaitu :
(a)    bahawa perkahwinan yang dicadangkan itu adalah patut dan perlu, memandang kepada, antara lain, hal-hal seperti kemandulan, keuzuran jasmani, tidak layak dari segi jasmani untuk persetubuhan, sengaja ingkar mematuhi perintah untuk pemulihan hak-hak persetubuhan, atau gila di pihak isteri atau isteri-isteri yang sedia;
(b)   bahawa pemohon mempunyai kemampuan yang membolehkan dia menanggung, sebagaimana dikehendaki Hukum Syarak, semua isteri dan orang tanggungannya, termasuk orang yang akan menjadi orang-orang tanggungannya berikutan dengan perkahwinan yang dicadangkan itu;
(c)    bahawa pemohon akan berupaya memberi layanan yang adil kepada semua isterinya menurut Hukum Syarak; dan
(d)   bahawa perkahwinan yang dicadangkan tidak akan menyebabkan darar syari’e kepada isteri atau isteri-isteri sedia ada.


Dalam memenuhi perkara pertama dan kedua, pihak suami perlu mengemukakan bukti bertulis seperti laporan perubatan tentang ketidakupayaan isteri serta penyata gaji yang menunjukkan beliau layak dari segi kewangan untuk menanggung kesemua isteri dan anak-anak. Perkara ketiga dan keempat memerlukan keterangan pihak suami sendiri atau dikemukakan dua saksi lelaki untuk mengesahkan keupayaan pihak suami untuk memberikan layanan yang adil dan saksama kepada semua isteri.

Beban pembuktian syarat-syarat permohonan poligami ini adalah terletak pada suami dan dia perlu membuktikannya bukan sekadar secara lisan di hadapan Hakim tetapi juga seperti yang telah dinyatakan, disokong dengan dokumen bertulis dan saksi-saksi yang dapat mengesahkan kedudukan dan keterangannya.
Berdasarkan kes Aishah binti Abdul Rauf lwn Wan Mohd Yusof bin Wan Othman yang mana Jawatankuasa Rayuan telah membenarkan rayuan si isteri dan kebenaran yang diberikan oleh Mahkamah Syariah diketepikan. Jawatankuasa Rayuan tidak berpuas hati sama ada keperluan-keperluan dalam perenggan (a), (c), dan (d) telah dibuktikan. Menurutnya keempat-empat keperluan ini sama penting dan hendaklah dibuktikan secara berasingan. Pemohon juga tidak memberi apa-apa alasan mengapa dia patut berpoligami dan dengan itu gagal memenuhi syarat dalam perenggan (a). Menurut Jawatankuasa jika satu syarat tidak dipenuhi, ini mencukupi untuk menolak permohonan. Jawatankuasa Rayuan juga mendapati bahawa Hakim gagal memberi penjelasan atas keterangan pemohon yang mana beliau telah berpuas hati bahawa pemohon berupaya berlaku adil. Jawatankuasa Rayuan telah memutuskan bahawa keempat-empat syarat itu tidak bertentangan dengan al-Quran kerana ia mempastikan keadilan dalam berpoligami yang dituntut sebagai wajib oleh al-Quran.

Seterusnya berdasarkan Seksyen 23 (6) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Selangor telah memperuntukan supaya satu salinan permohonan dan akuan berkanun yang telah dinyatakan di atas hendaklah diserahkan bersama dengan saman kepada tiap-tiap isteri sedia ada. Sebagaimana yang kita ketahui, bahawa sebelum ini seorang isteri tidak akan mengetahui bahawa suaminya telah berkahwin untuk kali kedua atau seterusnya. Namun melalui peruntukan yang ada sekarang membolehkan mereka mengetahui niat suami untuk berkahwin lagi melalui saman dan permohonan yang diserahkan kepada mereka. Akhir sekali, jika terdapat mana-mana pihak yang tidak berpuas hati dengan apa-apa keputusan Mahkamah maka rayuan boleh dibuat ke atas keputusan itu  


-hasil karangan kak fazidatul akma, student syariah tahun 3, UKM-

2 pendapat:

Anonymous said...

naper mahkamah memerlukan kbnaran isteri pertama..jika isteri pertama tdk setuju bagaimana

Unknown said...

rasanya enakmen nih dibuat oleh orang perempuan.. enakmen nih bukan membela hak isteri pertama.. tp menggalakkan istri pertama dijandakan.. membuatkan suami sakit mental .. pikir2kan

Post a Comment

syukran kasiran