Friday, November 12, 2010

Prosiding Pencabaran sivil


PROSIDING PENCABARAN
Peranan seseorang saksi dalam sesuatu prosiding di mahkamah samada prosiding sivil mahupun jenayah adalah sangat penting. Namun adakalanya, kredibiliti saksi di dalam sesebuah perbicaraan diragui dan perkara ini boleh dicabar oleh pihak pendakwa mahupun pihak yang memanggil saksi itu sendiri. Sekiranya diyakini saksi tersebut memberi kesaksian palsu di dalam sesebuah perbicaraan, maka pihak pendakwaan boleh memanggil saksi berkenaan bagi melalui   suatu prosiding yang dikenali sebagai prosiding pencabaran.
  
Mencabar Kebolehpercayaan Saksi

Saksi merupakan pihak yang paling penting di dalam sesuatu perbicaraan. Oleh itu, adalah amat penting untuk memastikan bahawa saksi-saksi yang dipanggil untuk memberi keterangan di mahkamah bercakap benar. Hakim Besar Thompson di dalam kes Public Prosecutor lwn. Mohamed Ali telah memberikan panduan, iaitu :

Apabila seorang saksi polis menyatakan sesuatu yang tidak mungkin, ianya terlebih dulu hendaklah diterima. Jika dia menyatakan seekor kambing melompat ke bulan, tentunya keterangan tersebut tidak boleh diterima, tetapi jika ia menyatakan seekor kambing merayau-rayau di sepanjang jalan utama di Kuala Lumpur, maka bukanlah justifikasi dengan ujian ringkas bagi tidak mempercayai keterangannya.

Seksyen 155 Akta Keterangan memperuntukkan bahawa mana-mana pihak boleh mencabar kredibiliti saksi pihak lawan dan juga saksi sendiri.

 Alasan Mencabar Kebolehpercayaan Saksi
Menurut Seksyen 155 AK, kebolehpercayaan seseorang saksi boleh dicabar melalui salah satu daripada tiga cara, iaitu :

(a) dengan keterangan yang diberikan oleh orang yang menyatakan bahawa mengikut pengetahuan mereka tentang saksi itu mereka percaya saksi itu tidak boleh dipercayai;

(b) dengan membuktikan bahawa saksi itu telah disogok, atau telah menerima tawaran sogokan, atau telah menerima apa-apa dorongan rasuah yang lain untuk memberikan keterangannya;

(c) dengan membuktikan pernyataan dahulu yang tidak selaras dengan mana-mana bahagian keterangannya yang boleh disangkal;

Jika pihak yang memanggil saksi berkenaan ingin mencabar kebolehpercayaan saksi tersebut, kebenaran mahkamah harus diperolehi terlebih dahulu.

Pernyataan Terdahulu
Seksyen 155 AK tidak boleh dibaca secara berasingan, sebaliknya ia perlu dibaca bersama dengan seksyen 145 (1) dan seksyen 145 (2) AK.

Seksyen 145 (1) memperuntukkan bahawa seseorang saksi boleh diperiksa balas mengenai pernyataan-pernyataan terdahulu yang dibuatnya secara tulisan, manakala seksyen 145 (2) AK pula memperuntukkan seseorang saksi yang tidak konsisten dalam memberikan keterangan lisannya.

            Dalam kes Pendakwaraya lwn. Kang Ho Soh, mahkamah memutuskan pernyataan-pernyataan terdahulu yang dilakukan boleh diterima masuk untuk mencabar kebolehpercayaan saksi dan ini termasuklah pernyataan yang dibuat semasa perbicaraan dalam perbicaraan.

Manakala dalam kes Pavone lwn. PP (1986), peguambela memohon agar seorang saksi polis dicabar oleh mahkamah kerana dalam pembicaraan asal untuk kesalahan, saksi itu telah menggunakan perkataan ‘candu’, bukan ‘opiat’ seperti yang didakwanya. Oleh itu, dalam kes ini, seorang ahli kimia boleh dipanggil untuk menentukan samada terdapat perbezaan yang penting antara perkataan-perkataan ‘candu’ dan ‘opiat’.

Jika perbezaan didapati penting, maka kebenaran untuk memeriksa balas patut diberikan. Tujuan pemeriksaan balas ialah untuk menguji kebenaran keterangan yang diberikan oleh saksi itu dalam pemeriksaan utama.[4]
Selain itu, pemeriksaan balas dijalankan untuk membantu mahkamah mendapatkan kebenaran dan pada masa yang sama ia juga akan menghapuskan atau mengurangkan bahaya mahkamah daripada membuat satu keputusan yang salah.

Kanun Prosedur Jenayah tidak menyebut tentang pencabaran saksi kecuali dalam seksyen 113 yang menyatakan jika seseorang yang dituduh mengemukakan dirinya sebagai seorang saksi, mana-mana pernyataan yang dibuat olehnya kepada polis boleh digunakan semasa pemeriksaan balas untuk tujuan mencabar kejujurannya.

Proses Mencabar Kebolehpercayaan Saksi
Panduan mengenai proses mencabar kebolehpercayaan seseorang saksi telah diberikan dalam kes Muthusamy lwn. Public Prosecutor [5] yang mana mahkamah akan membaca pernyataan yang telah dibuat terlebih dahulu samada terdapat perbezaan yang ketara antara keterangan yang telah diberikan kemudiannya. Ia bertujuan untuk mengelak masa mahkamah daripada terbuang jika mahkamah kemudiannya mendapati tidak terdapat percanggahan antara dua pernyataan yang dibuat oleh saksi berkenaan.[6]

            Menerusi kes Yusoff bin Sidin lwn. Public Prosecutor [7], Hakim Sharma menyatakan bahawa cara yang betul untuk mencabar kredibiliti seseorang saksi bukanlah sekadar menanya saksi tersebut samada dia telah membuat satu pernyataan yang bercanggah dengan pernyataan yang dibuat kepada pegawai penyiasat. Menurut mahkamah, jawapan yang diberikan oleh saksi atas soalan yang ditanya tidak boleh diterima sebagai keterangan. Sebaliknya, cara yang boleh dilakukan adalah dengan menarik perhatian saksi berkenaan kepada bahagian di dalam pernyataan yang ingin digunakan bagi mencabar kebolehpercayaan saksi tersebut. Selain itu juga, saksi hendaklah diberikan peluang untuk dia membuat penjelasan.


Hakim Taylor dalam kes Muthusamy lwn. PP menyatakan:
Perbezaan-perbezaan boleh dibahagikan kepada empat kelas:
a)                  Perbezaan kecil, yang tidak terjumlah kepada perselisihan;
b)                  Perselisihan yang jelas;
c)                  Perselisihan yang serius;
d)                 Pertentangan yang penting,

Perbezaan-perbezaan kecil biasanya diakibatkan oleh perbezaan dalam tafsiran dan cara pernyataan diambil dan kadangkala perbezaan dalam mengingat semula.

Jikalau terdapat perbezaan yang kecil, mahkamah akan terus membuat keputusan, dan sekiranya terdapa perbezaan yang material, maka mahkamah akan benarkan saksi itu ditanya samada dia telah membuat pernyataan itu. Jika saksi berkenaan menafikan bahawa dia telah membuat pernyataan yang menjadi isu, perkara itu mestilah digugurkan atau dokumen itu mestilah dibuktikan dengan memanggil penulis pernyataan berkenaan. Jika penulis tidak dapat dipanggil, dokumen itu boleh dibuktikan dengan cara lain bahawa saksi itu telah membuat pernyataan tersebut.

Dokumen yang hendak dikemukakan bagi tujuan mencabar kebolehpercayaan saksi hendaklah dibuktikan. Dalam kes Krishnan & Anor lwn. PP[8], Mahkamah Persekutuan menyatakan bahawa pembuktian dokumen berkenaan boleh dilakukan dengan memanggil pegawai pencatat pernyataan tersebut. Pihak yang ingin mencabar kebolehpercayaan saksi berkenaan haruslah membuktikan bahawa saksi berkenaan telah membuat pernyataan itu. Jika dokumen asal tidak dapat dikemukakan, salinan kepada dokumen tersebut boleh digunakan.[9]

Jika saksi berkenaan mengakui bahawa dia telah membuat pernyataan tersebut maka kedua-dua percanggahan pernyataan itu mestilah diterangkan kepadanya oleh mahkamah terutama sekali tentang perbezaan material yang wujud antara kedua-dua pernyataan. Jika saksi berkenaan berjaya menjelaskan kewujudan percanggahan antara dua pernyataan yang telah dibuatnya, maka kredibilitinya akan selamat. Walau bagaimanapun, mahkamah tidak akan membuat keputusan mengenai prosiding mencabar kebolehpercayaan ini sehinggalah di peringkat akhir kes pendakwaan atau pembelaan. 

Dalam kes Dato Mokhtar Hashim lwn. PP [10], Mahkamah Tinggi telah mencabar kejujuran seorang saksi pendakwa, iaitu Abdullah Ambek pada akhir prosiding pencabaran.[11] Hakim Abdoolcader menyatakan:

“Apabila kejujuran seorang saksi dipohon untuk disoal di bawah peruntukan seksyen 145 dan 155( c ) AK, kejujurannya akan dinilai secara keseluruhannya dengan keterangan yang lain pada peringkat yang sesuai untuk pendakwaan atau untuk pembelaan, menurut kes masing-masing. Tiada perintah serta-merta yang berbentuk ringkas boleh atau patut dibuat seperti yang telah dilakukan dalam kes ini…”

Kenyataan Beramaran
Pernyataan beramaran di Malaysia secara amnya boleh didapati di dalam Kanun Prosedur Jenayah (Akta 593). Antara statut yang mempunyai peruntukan yang spesifik mengenai pernyataan beramaran ini di Malaysia adalah seperti seksyen 37A(1)(b) Akta Dadah Berbahaya 1952, seksyen 75 Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960, dan sebagainya.

            Seksyen 113 Kanun Prosedur Jenayah membenarkan pernyataan tertuduh yang dibuat kepada polis digunakan untuk mencabar kejujurannya. Dalam kes Krishnan & Anor lwn. PP, kes yang tidak dilaporkan, iaitu kes Lim Ba Ba & Anor lwn. PP telah dirujuk. Pihak pendakwa telah mencabar kejujuran tertuduh dengan menggunakan pernyataan beramarannya yang direkodkan di bawah seksyen 37A, Akta Dadah Berbahaya, yang bersamaan dengan seksyen 113 KPJ.
Bantahan telah dikemukakan oleh peguambela dalam kes ini yang menyatakan bahawa pernyataan yang bercanggah tersebut tidak sepatutnya ditunjukkan kepada hakim pembicaraan. Setelah mengadakan voir dire, hakim pembicaraan menyatakan bahawa pernyataan beramaran adalah dibuat secara sukarela dan hal ini boleh diterima. Oleh itu, dalam kes Krishan ini, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa Seorang hakim patut ditunjukkan pernyataan sebagai langkah pertama dalam prosedur pencabaran.

            Mahkamah kemudian membincangkan peringkat manakah pembuktian satu pernyataan beramaran patut dilakukan untuk tujuan mencabar kejujuran seseorang saksi. Mahkamah berpendapat ianya boleh dilakukan samada sebelum atau selepas saksi dicabar. Tetapi kelemahannya ialah pernyataan beramaran ini boleh diputuskan sebagai tidak boleh diterima. Dalam keadaan ini, segala usaha untuk mencabar kejujuran saksi akan lenyap dan membuang masa.[12]

            Sementara kesukarelaan pernyataan yang dibuat oleh tertuduh harus dipastikan sebelum ia boleh digunakan untuk mencabar kejujuran tertuduh. Dalam kes Dato Mokhtar Hashim, pihak pendakwa telah memohon supaya saksinya, iaitu Abdullah Ambek dicabar kejujurannya. Pihak pembela telah membantah terhadap kemasukan pernyataan yang dibuat oleh saksi itu semasa penahanan dengan mendakwa ia dibuat tanpa kerelaan. Namun, bantahan ini ditolak oleh hakim pembicaraan atas tiga alasan iaitu saksi itu sendiri mengaku telah membuat pernyataan tersebut dan sekarang dia hanya menafikan kebenarannya. Kedua, pernyataan telah dimasukkan ke dalam kes ini bukan sebagai keterangan dalam pembicaraan utama tetapi hanya sebagai pernyataan untuk mencabar kejujuran saksi. Dan alasan yang ketiga, pernyataan tersebut boleh diterima atas budi bicara mahkamah.


[1] (1962) MLJ  257.
[2] (1992) 1 MLJ 360.
[3] Mimi Kamariah Majid. 1991. Pentadbiran Keadilan Jenayah di Malaysia. Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya. Hlm. 193.
[4] Ahmed Ibrahim. 2007. Sistem Undang-undang di Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Hlm. 290.
[5] (1948) MLJ 57.
[6] Mimi Kamariah Majid. 1991. Pentadbiran Keadilan Jenayah di Malaysia. Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya. Hlm. 194.
[7] (1971) 1 MLJ 203.
[8] (1981) 2 MLJ 121.
[9] Jal Zabdi Mohd Yusoff. 2004. Pengenalan Undang-undang Keterangan di Malaysia. Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya. Hlm. 260.
[10] (1983) 2 MLJ 232.
[11] Jal Zabdi Mohd Yusoff. 2004. Pengenalan Undang-undang Keterangan di Malaysia. Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya. Hlm. 261.

[12] Mimi Kamariah Majid. 1991. Pentadbiran Keadilan Jenayah di Malaysia. Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya. Hlm. 198.

0 pendapat:

Post a Comment

syukran kasiran