Friday, November 12, 2010

Perbicaraan Ringkas Syariah


Prosedur ini bertujuan menerangkan kaedah pengendalian proses permulaan perbicaraan kes Jenayah di Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah-Mahkamah Rendah Syariah. Prosedur ini digunapakai di Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah-Mahkamah Rendah Syariah untuk sebutan/perbicaraan semua jenis kes jenayah.

Seksyen 94 Bahagian IV - Prosiding Pendakwaan Bab X – Perbicaraan, menyatakan bahawa Hakim Syarie hendaklah mengikut prosuder seperti berikut semasa perbicaraan kes jenayah dijalankan di bawah bidangkuasa mahkamah tersebut:
(a) apabila orang yang dituduh menghadirkan diri atau dibawa ke hadapan Mahkamah, maka pertuduhan yang mengandungi butir-butir kesalahan yang dia dituduh itu hendaklah dirangka, dibaca serta diterangkan kepadanya, dan dia hendaklah ditanya sama ada mengaku salah atas pertuduhan itu atau minta dibicarakan;

(b) jika tertuduh itu mengaku salah atas pertuduhan itu sama ada pertuduhan asal atau yang dipinda, maka pengakuan itu hendaklah direkodkan dan dengan itu dia boleh disabitkan atas kesalahan tersebut;
Dengan syarat bahawa sebelum direkodkan pengakuan salah itu Mahkamah hendaklah menentukan orang yang dituduh itu faham akan maksud dan akibat daripada pengakuannya itu dan dia mengaku, tanpa bersyarat, terhadap kesalahan yang dipertuduhkan, dan dia membuat pengakuan salah itu sekurang-kurangnya tiga kali di hadapan Hakim dan tidak menarik balik pengakuan itu:

Dengan syarat lagi bahawa di dalam kes zina pengakuannya itu hendaklah dibuat sekurang-kurangnya empat kali;

(c) jika tertuduh itu enggan mengaku salah atau tidak mengaku salah atau meminta dibicarakan, Mahkamah hendaklah terus mendengar keterangan pengadu (jika ada) dan mengambil semua keterangan yang dikemukakan bagi menyokong pendakwaan itu;

(d) jika Mahkamah fikirkan perlu, ia hendaklah mengambil daripada pengadu atau orang lain nama-nama orang yang mungkin mengetahui tentang kenyataan kes itu dan yang mungkin boleh memberi keterangan bagi pihak pendakwaan, dan hendaklah memanggil mereka itu untuk memberi keterangan di Mahkamah sebagaimana yang difikirkan perlu oleh Mahkamah;

(e) tertuduh itu atau Peguam Syarienya hendaklah dibenarkan menyoal balas semua saksi bagi pihak pendakwa melalui Hakim;

(f) jika, selepas daripada mengambil semua keterangan tersebut, Mahkamah berpendapat bahawa tidak ada kes terhadap tertuduh itu, yang boleh menyebabkan sabitannya, Mahkamah hendaklah mencatatkan perintah pembebasan;

(g) tiada apa-apa dalam perenggan (f) boleh disifatkan menghalang Mahkamah daripada melepaskan tertuduh pada mana-mana peringkat perbicaraan jika, atas alasan yang direkodkan oleh Mahkamah, pertuduhan itu sama sekali tidak berasas;

(h) jika setelah mengambil keterangan itu, Mahkamah berpendapat ada alasan untuk menganggap bahawa tertuduh itu telah melakukan kesalahan seperti yang dipertuduhkan itu, tertuduh hendaklah dipanggil untuk membela dirinya dan memberi keterangannya, dan hendaklah pada bila-bila masa apabila membuat pembelaannya dibenarkan memanggilkan semula dan menyoal balas mana-mana juga saksi melalui Hakim;

(i) jika tertuduh itu memberi apa-apa pernyataan bertulis Mahkamah hendaklah memfailkan pernyataan itu bersama-sama dengan rekodnya;

(j) jika tertuduh itu memohon kepada mahkamah supaya mengeluarkan saman untuk meminta kehadiran mana-mana saksi (sama ada ia telah atau belum diperiksa berkenaan dengan kes itu sebelumnya) untuk tujuan diperiksa atau untuk menunjukkan sebarang dokumen atau barang lain, Mahkamah hendaklah mengeluarkan proses melainkan jika ia berpendapat permohonan yang seumpamanya itu patut ditolak atas alasan bahawa ianya dibuat dengan tujuan mengganggu atau melambatkan atau menjejaskan matlamat keadilan; dan alasan itu hendaklah direkodkan secara bertulis;

(k) (i) jika Mahkamah berpendapat tertuduh tidak bersalah, maka Mahkamah hendaklah merekodkan perintah pembebasan;

(ii) jika Mahkamah berpendapat tertuduh bersalah atau jika pengakuan salahnya telah direkodkan dan diterima, Mahkamah hendaklah menjatuhkan hukuman mengikut undang-undang;

(l) apabila prosiding yang telah dijalankan itu berpunca daripada aduan yang dibuat dengan jalan ikrar di bawah seksyen 72 dan pada hari yang ditetapkan untuk pembicaraan kes itu pengadu tidak hadir, Mahkamah boleh atas budibicaranya, walau apapun yang diperuntukkan terdahulu daripada ini, membebaskan orang yang dituduh itu pada bila-bila masa juga sebelum memanggilnya untuk membela diri.[1]

Selangor telah memiliki Enakmen Kanun Prosuder Jenayah Syariah 1991 yang lebih komprenhensif dan lengkap namun ianya kebanyakannya adalah penerimapakaian atau pengubahsuaian peruntukan- peruntukan yang terdapat dalam KPJ yang dipakai oleh mahkamah- mahkamah sivil di Malaysia.[2]

Kes- Kes Prosiding Jenayah Syariah
 Kes seorang yang bernama Ma’iz datang kepada Rasullullah s.a.w dan mengaku telah berzina tetapi Baginda tidak terus menerima pengakuan tersebut lantas Baginda bersabda:
“mungkin kamu hanya menciumnya, mungkin kamu memegangnya sahaja, atau mungkin kamu meramasnya sahaja.”

Begitu juga dengan riwayat seorang perempuan (Syirahah al-Hamadiyah) telah mengaku berzina kepada Saidina Ali r.a, tapi Saidina Ali menjawab:
“boleh jadi dia meniduri kamu ketika kamu lena? Mungkin dia memaksa kamu? Boleh jadi wali kamu telah mengahwinkan kamu sedangkan kamu tidak mengetahuinya?

           Komen- komen dari Rasullullah s.a.w dan Saidina Ali r.a terhadap pengakuan salah kedua- dua penzina itu jelas menunjukkan wujudnya satu tatacara bahawa seorang hakim tidak seharusnya menerima terus pengakuan salah oleh tertuduh dalam tuduhan jenayah. Sebaliknya budi bicara dan penghakiman perlu dibuktikan bahawa pengakuan tersebut adalah tulen sama ada dari segi kefahamannya, kesan dan lain- lain.


[1] Laman Web Rasmi Portal e-Syariah. Enakmen Kanun Prosedur Jenayah Syariah Selangor 1991

[2] Prof.Madya Dr. Hashim  Mehat. 1995. Prosuder Jenayah Di Mahkamah Syariah. Hlm 3.

0 pendapat:

Post a Comment

syukran kasiran