Friday, November 12, 2010

Perbicaraan Ringkas di Civil Court


Apabila kes telah dimulakan oleh orang persendirian dan Majistret berkenaan memutuskan untuk mengeluarkan saman atau waran menurut seksyen 136 KPJ, prosuder seterusnya ialah prosuder perbicaraan ringkas. Ia diamalkan di mahkamah rendah di Malaysia iaitu di Mahkamah Majistret dan Mahkamah Seksyen. Prosuder pembicaraan ringkas dibentangkan dalam bab XIX KPJ dibawah seksyen 173 sebagai peruntukkan utama. Manakala seksyen 174 sehingga seksyen 176 adalah perkara- perkara lain yeng berkaitan dengan perbicaraan ringkas.[1]

            Prosuder perbicaraan yang diamalkan dikenali sebagai prosuder perbicaraan terus. Pegawai perbicaraan dikehendaki mencatatkan keterangan saksi dengan tulisan tangannya sendiri dalam bentuk naratif.[2] Oleh kerana ia adalah seksyen utama tentang prosuder pembicaraan ringkas, makan tiap- tiap perenggan di bawah seksyen ini akan dikaji dengan terperinci.

 PROSIDING MENURUT SEKSYEN 173 KPJ

Terdapat 15 perenggan yang diperuntukkan dalam seskyen berkenaan yang menjelaskan mengenai prosiding bagi perbicaraan terus atau perbicaraan ringkas yang perlu diikuti oleh majistret- majistret. Seksyen ini disokong oleh beberapa seksyen lain seperti seksyen 136 KPJ berkenaan pengeluaran saman dan waran oleh majistret dan sebagainya.
Kehadiran Tertuduh

Menurut perenggan (a) seksyen 173 KPJ menyatakan bahawa apabila tertuduh telah menghadirkan diri ke mahkamah samada dengan cara sendirian kerana telah dijamin oleh pihak polis atau mahkamah atau dengan arahan mahkamah dengan saman menurut seksyen 136 KPJ atau diiringi oleh pihak polis kerana tiada jaminan dan dibawah tahanan polis, maka pertuduhan akan dibacakan serta diterangkan kepadanya supaya tertuduh dapat memahami sepenuhnya tuduhan dan kesalahan yang dipertuduhkan. Dalam kes Juffery Bin Hashim lwn. PP (1986) 2 M.L.J 239, perayu telah mengatakan dia tidak faham akan tuduhan kerana tidak diterangkan sepenuhnya kepada dia. Mahkamah Tinggi memutuskan kes dibicarakan semula kerana tuduhan yang terlibat bukan mudah difahami jika tidak diterangkan. Kemudian, bantahan awal oleh tertuduh atau permohonan oleh tertuduh dan pendakwa raya boleh dibangkitkan untuk pertimbangan majistret sama ada untuk menangguh, melepaskan tertuduh atau membenarkan permohonan yang dibuat.[3]

            Terdapat keadaan yang membolehkan mahkamah mengenepikan kehadiran tertuduh dalam perbicaraan. Sebagai contoh, jika tertuduh menyebabkan kekacauan maka perbicaraan boleh diteruskan tanpa kehadirannya, atau jika kesalahan itu boleh dihukum dengan hukuman denda sahaja atau penjara tidak melebihi 3 bulan maka pengakuan melalui peguam atau surat adalah sah tanpa kehadirannya.[4]

Pengakuan Tertuduh

Jika tertuduh mengaku salah, pihak pendakwa harus mengemukakan fakta- fakta kes berdasarkan kepercayaan mahkamah pada kesalahan tertuduh dan jika kesalahan adalah mudah, faktanya adalah seperti tuduhan. Setiap fakta yang dikemukan perlu mendapat pengakuan dari tertuduh kemudian pengakuan tersebut akan direkodkan oleh mahkamah sebagai satu penemuan bersalah dan meneruskan penyelesaian kes. Dan jika sebaliknya, mahkamah harus menolak pengakuan bersalah yang dilakukan oleh tertuduh pada awalnya dan menetapkan tarikh perbicaraan lain. Walaupun tertuduh mengakui fakta- fakta itu, mahkamah mesti berpuas hati bahawa fakta- fakta tersebut benar- benar menyokong tuduhan. [5]

Dalam kes PP Lwn. Mahmud (1974) 1 M.L.J 85, mahkamah telah membebaskan tertuduh kerana mengakui setiap fakta kes yang dikemukan kerana didapati tiada kesalahan tertuduh dari fakta tersebut. Dalam kes R. Lwn. Tan Thian Chye (1932) M.L.J 74, tertuduh patut mengaku bersalah atau mohon perbicaraan dengan mulut sendiri namun sebaliknya dalam keputusan kes Chia Ban Keat Lwn. Rex (1949) M.L.J 297 membenarkan perwakilan pengakuan oleh peguam kerana mahkamah lebih mengutamakan kefahaman tertuduh akibat pengakuannya serta niat mengaku salah sebagaimana dalam perenggan (b) seksyen 173 KPJ. [6]

            Kedua- dua perenggan (c) dan (d) merujuk kepada keterangan yang akan dikemukakan oleh pendakwaan sama ada oleh pengawai pendakwa atau orang persendirian seperti pengadu atau orang difikirkan mampu memberi keterangan sokongan terhadap pendakwaan tersebut. Hal ini berlaku jika enggan mengaku bersalah atau tidak mengaku bersalah. Dalam kes Majlis Privy, Adel Muhammad El Dabbah Lwn. Attorney- General For Palestine (1944) A.C 156, Lord Thankerson menyatakan bahawa tidak wujud kewajipan bagi pendakwaan untuk mengemukakan saksi namun pendakwa mempunyai budi bicara tentang saksi- saksi yang patut dipanggil untuk pihaknya dan mahkamah tidak campurtangan terhadap budi bicara tersebut. mahkamah boleh mengeluarkan saman bagi kehadiran saksi- saksi yang terlibat di mahkamah untuk memberi keterangan sebagaimana seksyen 118 KPJ. [7]

Pemeriksaan Balas Saksi

Selain itu, tertuduh juga dibenarkan untuk memeriksa balas pendakwaan terhadapnya oleh saksi- saksi yang dikemukakan menurut perenggan (e). Dalam kes Dato Mokhtar Hashim lwn. PP (1983) 2 M.L.J 232, Mahkamah Persekutuan telah memutuskan apabila prosiding pencabaran selesai, tiada perintah patut dibuat tentang kebolehpercayaan saksi itu. Ia dilakukan hanya setelah semua saksi pendakwaan dipanggil dan memberi keterangan pada akhir kes pendakwaan. Manakala dalam kes PP lwn. Abang Abdul Rahman (1982) M.L.J 346 telah diputuskan apabila sahaja seorang saksi tidak diperiksa balas maka keterangannya patut diterima termasuk mahkamah yang membicarakan kes tersebut. Setelah pendakwaan berakhir, seksyen 173 (f) hanya menjadikan pembebasan tertuduh mandatori jika setelah mengambil kesemua keterangan yang disebut, mahkamah mendapati tiada kes terhadap tertuduh telah dibuktikan (prima facie) atau jika disangkal akan memerlukan sabitan. Namun jika perbicaraan tidak boleh diteruskan atas sebab- sebab tertentu seperti saksi utama tidak dapat dikesan, dan kesalahan tersebut mampu diselesaikan diluar mahkamah maka pendakwa diharap dapat menarik balik pendakwaannya kerana mahkamah terhalang untuk mengeluarkan perintah kebebasan selagi kes pendakwaan tidak ditutup.[8]

            Terdapat dua tujuan pemeriksaan balas iaitu untuk melemahkam, membataskan atau memusnahkan kes pihak penentang dan untuk membuktikan kes pihak masing- masing dengan cara menggunakan saksi- saksi penentangnya. Selepas seorang saksi diperiksa balas oleh peguam pembela, saksi tersebut akan diperiksa semula oleh pegawai pendakwa tentang perkara yang timbul dalam pemeriksaan balas. Ia bertujuan untuk memperbaiki keterangan yang digugat oleh peguam pembela.[9]  
       
Kes Prima Facie

Seterusnya perenggan (h)(i) menyatakan bahawa jika mahkamah mendapati suatu kes prima facie telah dibuat terhadap tertuduh atas kesalahan yang dipertuduhkan, mahkamah hendaklah memanggil tertuduh untuk memasukkan pembelaannya.[10] Kes PP lwn. James Tan (1983) 2 M.L.J 173 menyokong seksyen (h)(ii) bahawa mahkamah telah memutuskan dalam kes ini, apabila fakta- fakta tidak membuktikan satu kes prima facie terhadap tertuduh atas tuduhan yang dibawa terhadapnya tetapi membuktikan satu kesalahan lain yang mana dia tidak dituduh, majistret harus meminda tuduhan tersebut melainkan beliau ada alasan yang baik untuk melakukannya.

Di samping itu, di bawah seksyen (ha)(i)(ii)(iii) turut menyatakan tentang prosiding pembelaan oleh tertuduh setelah keterangan pendakwa telah mewujudkan prima facie pada pendakwaannya terhadap kesalahan tertuduh. Maka, dalam prosiding tersebut mahkamah perlu membaca dan menerangkan tiga pilihan kepada tertuduh iaitu beri keterangan sumpah di dalam kandang saksi, beri penyataan tidak bersumpah daripada kandang tertuduh atau tetap senyap.[11]

            Seksyen 158(ii) memerlukan pindaan itu dibacakan dan diterangkan kepada tertuduh sepertimana dinyatakan dalam seksyen 173 (i) malah tertuduh juga perlu ditanya balik akan pengakuannya terhadap pindaan yang telah dibuat terhadap tuduhan padanya. Kes Lim Thuan Hong lwn. Jebsen (1885) 4 KY. 79 dan kes Singah M.Hussain lwn. PP (1973) 2 M.L.J 109 menjadikan mandatori untuk tuduhan yang dipinda dibacakan dan diterangkan kepada tertuduh.[12] 

Mahkamah boleh menjatuhkan hukuman menurut undang- undang terhadap pertuduhan tersebut jika tertuduh mengaku salah setelah pindaan dibacakan dan diterangkan kepadanya. Di samping itu, mahkamah juga perlu merekodkan pengakuan tertuduh dan memastikan bahawa tertuduh memahami jenis dan akibat daripada pengakuannya serta berhasrat untuk mengaku tanpa syarat kesalahan yang dipertuduhkan ke atasnya.[13]
 
Pembelaan Tuduhan

Sebaliknya jika tertuduh tidak mengaku salah dengan pindaan tersebut, seksyen 173 (j)(ii)(iii) membenarkan tertuduh memasukkan pembelaannya dengan kemukakan bukti atau dipanggil semula saksi- saksi pendakwaan bagi pemeriksaan balas dengan syarat jika tertuduh memilih untuk dipanggil seorang saksi maka keterangannya didengar terlebih dahulu sebelum keterangan lain.[14] Dalam kes Liew Siew lwn. PP (1969) 2 M.L.J 232, mahkamah berpendapat dalam keadaan biasa dan apabila tiada anggapan timbul, pihak pembela tiada tanggungjawab untuk memanggil kesemua atau mana- mana saksi pendakwaan sebaliknya pembelaan perlu menimbulkan keraguan yang munasabah ke atas keterangan pihak pendakwaan. Beban itu boleh dilepaskan walaupun dengan cara memeriksa balas saksi- saksi pendakwaan. Selain itu, pihak tertuduh juga mempunyai hak jika dia angin dibela oleh peguambela dan patut diberi masa mencukupi untuk berunding dengan peguamnya.[15]

            Setiap penyataan bertulis yang bersumpah atau disahkan dan menjadi tambahan kepada keterangan lisan oleh tertuduh maka mahkamah perlu memfailkannya beserta dengan rekod. Hal ini dinyatakan dalam seksyen 173 (k). Dalam proses pembelaan, tertuduh juga boleh memohon mahkamah untuk memanggil saksi- saksi sama ada untuk diperiksa, diperiksa balas, atau diperiksa semula. Malah tertuduh juga boleh memohon pengemukaan dokumen atau benda lain. Namun jika mahkamah menolak permohonan tersebut, maka alasan penolakan perlu direkodkan secara bertulis oleh mahkamah.[16]

Penggulungan Perbicaraan

Setelah pembelaan keterangan selesai, prosiding ringkas diteruskan dengan penggulungan perbicaraan yang diperuntukkan oleh seksyen 173 (m) bahawa majistret membuat satu penemuan dan jika penemuan bersalah, hukuman akan dijatuhkan terhadap tertuduh dan jika sebaliknya perintah pembebasan akan dikeluarkan oleh mahkamah kepada tertuduh.[17]

Perenggan (n) dan (o) seksyen yang sama ialah berkenaan dengan prosiding ringkas terhadap kes- kes yang dimulakan dengan saman termasuk kes- kes yang dimulakan oleh orang persendirian (pengadu). Jika dia memilih untuk tidak hadir tanpa alasan yang mencukupi, mahkamah dibenarkan untuk melepaskan tertuduh. Walau bagaimanapun, mahkamah mesti berpuas hati bahawa kesalahan tersebut adalah kesalahan yang boleh dikompaunkan. Pelepasan tertuduh tidak terjumlah kepada satu pembebasan. Di samping itu, mahkamah juga boleh meneruskan prosiding secara ex- parte atau menangguhkannya jika tertuduh yang disaman tidak hadir ke mahkamah untuk perbicaraan tanpa alasan yang mencukupi telah ditunjukkan untuk satu penangguhan.[18]


[1] Mimi Kamariah Majid. 1991. Pentadbiran Keadilan Jenayah di Malaysia. Kuala Lumpur . Penerbit Universiti Malaya. 203
[2] Teo Say Eng. 2004. Pendakwaan Jenayah di dalam Mahkamah Rendah. Hlm 59
[3] Mimi Kamariah Majid. 1991. Pentadbiran Keadilan Jenayah di Malaysia. Kuala Lumpur . Penerbit Universiti Malaya. 205
[4] Teo Say Eng. 2004. Hlm 60

[5] Mimi Kamariah Majid. 1991. Pentadbiran Keadilan Jenayah di Malaysia. Kuala Lumpur . Penerbit Universiti Malaya. 214

[6] Ibid. 214
[7]  Mimi Kamariah Majid. 1991. Pentadbiran Keadilan Jenayah di Malaysia. Kuala Lumpur . Penerbit Universiti Malaya. 221

[8] Mimi Kamariah Majid. 1991. Pentadbiran Keadilan Jenayah di Malaysia. Kuala Lumpur . Penerbit Universiti Malaya. 227
[9] Teo Say Eng. 2004. Hlm 65

[10] Kanun Prosuder Jenayah. 2010. Petaling Jaya. ILBS. Hlm 121

[11] Mimi Kamariah Majid. 1991. Pentadbiran Keadilan Jenayah di Malaysia. Kuala Lumpur . Penerbit Universiti Malaya. 237
[12] Ibid. hlm 238                                   
[13] Kanun Prosuder Jenayah. 2010. Petaling Jaya. ILBS. Hlm 122
[14] Ibid hlm 122
[15] Mimi Kamariah Majid. 1991. Pentadbiran Keadilan Jenayah di Malaysia. Kuala Lumpur . Penerbit Universiti Malaya. 240
               
[16] Ibid. hlm 247

[17] Kanun Prosuder Jenayah. 2010. Petaling Jaya. ILBS. Hlm 123

[18] Mimi Kamariah Majid. 1991. Pentadbiran Keadilan Jenayah di Malaysia. Kuala Lumpur . Penerbit Universiti Malaya.  256            

0 pendapat:

Post a Comment

syukran kasiran