Thursday, November 4, 2010

Khitbah among Custom/adat



Adat adalah kebiasaan yang dipakai sehari-hari bermula pada seorang kemudian menjadi kebiasaan pada sesebuah keluarga yang diguna pula oleh sesebuah masyarakat. Manakala sesebuah masyarakat telah biasa melakukan sesuatu peraturan sama ada terjadi dengan sendirinya pun terjadi atas muafakat maka wujudlah satu peraturan yang agak mesti dipatuhi bagi menjamin keselamatan dan kebahagiaan masyarakat. Pengertian adat adalah meliputi ketentuan-ketentuan dan ketetapan-ketetapan yang telah diambil oleh masyarakat mengenai peraturan, hukum, lembaga, resam dan sebagainya. Hukum adat umpamanya pengertiannya ialah pematuhan masyarakat kepada lembaga atau kuasa lama yang terpakai dalam masyarakat atau daerah sejak zaman berzaman. Adat, seperti undang-undang juga adalah seumpama kanun peliharaan dalam mewujudkan keperibadian tata kesusilaan masyarakat bagi bangsa dan nusa dan seperti lain-lainnya ianya tertakluk kepada undang-undang alam mengalami perubahan. Dari segi etimologi perkataan adat itu berasal daripada bahasa Arab adah yang bererti kebiasaan atau sesuatu perbuatan yang dilakukan secara berulang-ulang lalu menjadi suatu kebiasaan yang tetap dan dihormati orang, maka kebiasaan itu lambat- laun menjadi adat (Sidi Gazalba, 1967: 296).


Adat juga dikatakan sebagai peraturan yang lazim dipakai semenjak dahulukala hingga berzaman- zaman. Adat itu merupakan cara atau sistem yang sudah menjadi kebiasaan,diamalkan oleh sesuatu masyarakat manusia, ia merupakan juga hukum-hakam dan perlembagaan sebagai pegangan atau panduan masyarakat itu. Pantang larang dan suruh arah yang tradisional termasuk dalam adat (Muhammad Ariff Ahmad, 1993: 1).


Adat seperti dikemukakan terdahulu adalah peraturan hidup sehari-hari. Sebagai peraturan hidup dengan sendirinya adat mengikat orang perseorang dan masyarakat untuk tunduk dan mematuhinya. Kalau tidak demikian, adat itu sendiri hanya akan menjadi semboyan di bibir yang tidak punya erti dan fungsi apa-apa termasuk dalam pertunangan yang kebanyakannya dipengaruhi oleh adat sesebuah komuniti.



PERTUNANGAN DALAM ADAT MELAYU
Adat orang Melayu sememangnya berkaitrapat dengan adab sopan dan santun samada dalam perlakuan dan tindakan menghadapi pelbagai situasi. Hal ini termasuklah pertunangan yang menurut adat resam Melayu yang turut mengaplikasikan pelbagai langkah supaya majlis berjalan baik dan gembira bagi kedua- dua pihak yang terlibat.

Lazimnya, ia dilaksanakan dengan ringkas dan sesuai dengan tidak melakukan pembaziran dalam perbelanjaan seperti pertama, menghantar tanda langsung dilakukan upacara akad nikah sekali pada masa yang sama. Kedua, menghantar tanda atau belanja sekali sebagai tanda pertunangan telah dirasmikan iaitu tidak menyatukan adat menghantar belanja dengan adat majlis akad nikah. Adat yang kedua adalah sebenarnya menurut adat resam Melayu lama.

Menghantar tanda yang dimaksudkan ialah memasang atau menyarungkan cincin ke jari manis bakal pengantin dan yang dikatakan meminang itu ialah menghantar sirih pinang atau disebut juga sirih dara selengkap syarat mengikut adat kebiasaan sesuatu tempat itu sendiri. perlu diiingatkan bahawa sewaktu bakal mertua akan menyarungkan cincin tandanya itu, pihak perempuan hendaklah menghulurkan jari manis tangan kanannya sebagai penghormatannya atas pemberian tersebut yang menandakan bahawa antara mereka kini telah terikat teguh perjanjian dalam menghadapi rumahtangga yang bakal dibina. Sekiranya pihak perempuan sewaktu menerima pemberian cincin tanda itu menghulurkan jari manis tangan kirinya kerana perbuatan tersebut boleh dianggap sebagai tiada adab sopan. (H.M Sidin, 1964: 31)

Seterusnya, dalam adat resam Melayu juga mengadakan walimah atau kenduri ‘selamat bertunang’ dengan menjemput sanak saudara, sahabat- handai dan orang- orang yang patut dijemput disesuatu tempat itu. (H.M Sidin, 1964: 32)

Merujuk kepada persediaan bagi pihak lelaki di dalam majlis pertunangan tersebut antaranya ialah pertama, wang mas kahwin dan belanja yang terisi di dalam batil dan cepu bertudung daripada perak atau tembaga putih. Kedua, sebentuk cincin permata intan atau menurut kemampuan sebagaimana yang telah dijanjikan terlebih dahulu diletakkan di dalam cembul, kotak perak dan sebagainya. Ketiga, tapak sirih atau puan perak yang berisi selengkapnya sirih dara menurut adat. Keempat,  pakaian pengantin selengkapnya seperti kain baju, selendang, kasut dan sebagainya yang terisi di dalam sesuatu tempat misalnya talam perak atau tembaga yang bertudung. Hantaran ini dikehendaki secara permuafakatan dahulu daripada pihak perempuan samada menghendaki ‘serba satu’ atau atas kemampuan dan keikhlasan pihak lelaki sahaja. Kelima, bunga rampai dan satu atau dua perenjis air mawar yang diletakkan di dalam dua tempat dulang perak atau tembaga. Keenam, beberapa jenis kuih- muih dan buah- buahan yang diletakkan di atas piring beralas talam bertudung. Kemudian, barang- barang tersebut diarak ke rumah pihak perempuan. (H.M Sidin, 1964: 32)

Di dalam adat ini, pihak perempuan juga perlu menyediakan terlebih dahulu tepak atau puan tempat sirih yang berisi selengkapnya, bunga rampai dan lain- lain lagi menurut kemampuannya sebagaimana yang dilakukan oleh pihak lelaki. Seterusnya majlis pertunangan diteruskan dengan ucapan sapaan daripada wakil pihak lelaki dengan menyatakan tujuan kedatangan mereka kemudian disambut dengan sapaan daripada wakil pihak perempuan sebagai aluan kedatangan rombongan sebelum barang- barang hantaran dibawa masuk ke dalam kecuali tepak sirih dan bunga rampai yang harus ditinggalkan. (H.M Sidin, 1964: 33)

Namun, pada masa kini terdapat sesetengah adat yang diubahsuai mengikut peredaran zaman tanpa mengenepikan adat yang menjadi amalan orang- orang Melayu pada masa dahulu. Walaupun demikian, proses perlaksanaannya masih dikekalkan.


PERTUNANGAN DALAM ADAT MANDAILING
Bagi masyarakat Mandailing, perkahwinan adalah salah satu peristiwa yang sangat penting dalam kehidupan. Perkahwinan bukan sahaja menyangkut kehidupan pasangan pengantin, akan tetapi seluruh keluarga. Pada umumnya, perkahwinan didahului dengan lamaran. Namun demikian, lamaran ini mengikat apabila tuhor atau mas kahwin diberikan.

            Patobang hata merupakan istilah yang digunakan merujuk kepada pertunangan atau peminangan secara rasmi bagi masyarakat Mandailing. Pada acara patobang hata ini pihak lelaki yang diwakili kahanggi dan anak boru harus terlebih dahulu manopot kahanggi. Manopot kahanggi maksudnya adalah menjumpai anak boru dari keluarga pihak perempuan. Manopot kahanggi ini diperlukan membantu keluarga pihak lelaki untuk menyatakan tujuan mereka dengan membimbing mereka untuk menyampaikan segala maksud dan tujuan agar berjalan sesuai dengan rencana. (Anon, 2005: 273)

            Dalam acara patobang hata ini pihak keluarga lelaki akan menyampaikan hasratnya dengan kata- kata yang benar menunjukkan kesungguhan dan keinginan yang amat sangat dan biasanya disampaikan dengan perumpamaan dalam bahasa Mandailing. Contohnya lopok ni tobu sisuanon yang bermaksud meminta si gadis mereka untuk penerus keturunan, titian batu na so ra buruk yang bermaksud meminta mereka untuk menjalin hubungan kekeluargaan selamanya. Setelah acara patobang hata atau cara pinangan secara rasmi telah diterima, acara selanjutnya adalah manyapai batang boban iaitu beban yang harus dipikul oleh pihak lelaki. Setelah selesai acara patobang hata maka ditentukan masa untuk acara selanjutnya iaitu perkahwinan atau menulak sere. (Anon, 2005: 274)

            Dalam adat Mandailing dilihat tidak mengutamakan hadiah atau barangan yang berupa hantaran semasa pertunangan berlangsung sebaliknya ia lebih mementingkan isi perjanjian antara dua pihak yang akan berkahwin. Hal ini kerana isi perjanjian tersebut diulang dalam beberapa acara di samping disaksikan oleh ahli keluarga kedua belah pihak.


PERTUNANGAN DALAM ADAT JAWA
Umumnya proses perkahwinan dalam adat Jawa dibahagikan kepada 3 tahap iaitu tahap pembicaraan, tahap kesaksian, dan tahap siaga. Dalam adat Jawa, pertunangan termasuk dalam tahap kedua iaitu tahap kesaksian yang pertama. Ia merupakan tahap peneguhan pembicaraan yang disaksikan oleh pihak ketiga yang terdiri daripada warga kerabat dan jiran- jiran.

Srah srahan iaitu menyerahkan seperangkat perlengkapan sarana untuk melancarkan pelaksanaan acara sampai hajat terakhir. Untuk itu diadakan simbol- simbol barang- barang yang mempunyai erti dan makna secara khusus seperti cincin, seperangkat busana putri, perhiasan, makanan tradisional, buah- buahan, daun sirih, dan wang. Malahan, menurut adat Jawa lagi setiap barangan tersebut mempunyai makna tersirat sekaligus mengatur perjanjian sebelum ijab kabul perkahwinan berlangsung. Sebagai contohnya, cincin emas yang dibuat bulat tidak ada putusnya, membawa maksud agar cintanya abadi tidak putus sepanjang hidup, seperangkat busana putri bermakna masing- masing harus pandai menyimpan rahsia terhadap orang lain dan daun sirih pula membawa makna bersatu hati berbulat tekad tanpa harus mengorbankan perbedaan. (Drs. HR. Sumarsono: 25)

            Seterusnya, peningsetan iaitu lambang kuatnya ikatan pembicaraan untuk mewujudkan dua pihak yang merupakan pasangan pengantin dengan ditandai dengan tukar cincin antara kedua calon tersebut. Tatacara pelaksanaan pemasangannya sesuai dengan adat yang berlaku yang penting ada saksi- saksinya. Adapun yang hadir dalam acara itu selain dimohon doa restunya juga untuk menjadi saksi walaupun terdapat petugas khas yang dilantik sebagai saksi dalam acara yang dipanggil ‘tembaga miring’. Majlis diakhiri dengan penetapan tarikh untuk ijab dan kabul kedua pihak yang merupakan pasangan pengantin mengikut persetujuan wakil kedua pihak keluarga bakal pengantin tersebut. (Drs. HR. Sumarsono: 26)


PERTUNANGAN DALAM ADAT BETAWI
Tanda putus atau pertunangan berupa apa saja namun ia lazimnya berupa cingkeram atau sebentuk cincin belah rotan. Tanda putus ertinya calon menantu telah terikat dan tidak dapat lagi diganggu oleh pihak lain. Masyarakat Betawi akan menyegerakan proses pernikahan sebagaimana yang dituntut oleh Islam. Lazimnya, jarak seminggu diberikan sebelum pelaksanaan akad nikah diadakan. Malahan, masyarakat Betawi juga sering memilih hari jumaat untuk melaksanakan akad nikah memandangkan keadaan semasa dan keistimewaan hari jumaat dalam Islam. (Yahya Andi Saputra, 2008: 46)

            Pada acara tanda putus atau pertunangan, utusan yang datang menemui keluarga calon menantu adalah orang- oramg dari keluarga yang sudah diberi kepercayaan dan berkebolehan. Di samping itu, pada acara tanda putus juga dibincangkan tentang mahar, wang belanja diperlukan semasa pernikahan, hidangan, tarikh melangsungkan majlis, serta barangan hantaran. Mahar atau mas kahwin akan menjadi perkara pokok perbincangan. Ia akan dinyatakan oleh wakil pihak menantu secara kiasan dan pihak utusan akan segera memahami permintaan tersebut termasuk masalah yang berkaitan kerana pihak utusan tersebut telah terlatih sejak awal. (Yahya Andi Saputra, 2008: 47)

            Seusai acara tanda putus atau pertunangan, kedua belah pihak menunggu dan mempersiapkan keperluan pelaksanaan acara akad nikah. Masa ini dimanfaatkan juga untuk memelihara calon menantu yang disebut dengan piare calon none penganten dan orang yang memelihara disebut tukang piare penganten atau ada juga yang menyebut dukun penganten. Walaupun sesetengah tidak dinyatakan oleh Islam namun adat masyarakat Betawi seolah lebih mendekati Islam. (Yahya Andi Saputra, 2008: 48)


PERTUNANGAN SECARA PERBANDINGAN
Di dalam upacara pertunangan, pihak lelaki akan membawa brang-barang hantaran ke rumah pihak perempuan. Kebiasaannya hantaran itu berbentuk makanan dan pakaian melainkan sirih junjung yang menjadi salah satu kemestian bagi masyarakat Melayu. Di dalam upacara ini juga, si perempuan akan didandan untuk menyambut bakal ibu dan bapa mertua dan seterusnya menyarungkan cincin di jari manis tangan kanan. Sekiranya semasa merisik cincin belum diberi, maka semasa bertunang pihak lelaki akan membawa dua bentuk cincin kepada perempuan tersebut. Selepas itu pihak perempuan akan menetapkan hantaran untuk perkahwinan berdasarkan tahap dan kedudukan wanita tersebut. 
Di sisi Syarak upacara di atas bukanlah upacara pertunangan kerana upacara pertunangan yang sebenarnya mengikut Syarak ialah upacara merisik di sisi adat. Upacara di atas tidak bercanggah dengan Syarak selagi mana ia tidak dianggap suatu kemestian, sebaliknya ia akan menjadi suatu perkara bid’ah yang bercanggah dengan Syarak.

Di sisi Syarak, tunang lelaki atau perempuan bebas samada mahu memberikan hadiah kepada tunangnya atau pun tidak. Berkenaan dengan cincin pertunangan, Syeikh Atiyyah Soqor menegaskan bahawa adat tersebut di ambil daripada warisan orang bukan Islam yang mana kedua-dua pihak meminta si lelaki dan si perempuan memakainya. Sekiranya cincin yang dipakai itu ditanggalkan, mereka menganggap perbuatan tersebut sebagai tanda pertunangan diputuskan. Perkara ini adalah bercanggah dengan Islam dan wajib dihapuskan (Haji Nik Azran 311:2006).

PERTUNANGAN DALAM UNDANG- UNDANG
Bagi orang- orang beragama Islam, mana- mana tindakan kemungkiran janji hendaklah dibawa ke Mahkamah Syariah sebagaimana menurut Akta Perlembagaan (pindaan) 1988 yang mengatakan mahkamah- mahkamah sivil tidak mempunyai bidangkuasa berkenaan apa- apa perkara dalam bidangkuasa Mahkamah Syariah. Dalam kes Nafsiah lwn Abdul Majid (No.2) Supra, n.7 telah mengambil tindakan di mahkamah sivil dan berjaya mendapatkan gantirugi kerana kemungkiran janji untuk berkahwin. Dalam kes Hamzah bin Musa lwn Fatimah Zaharah bte  Mohammad Jalal (1982) 1 MLJ 361, Hakim Mohamad Zahir berpendapat mahkamah mahkamah sivil dan Mahkamah Syariah ada bidangkuasa untuk mendengar suatu kes kemungkiran janji untuk berkahwin merujuk kepada kes sebelumnya. (Mimi Kamariah, 1992: 26)

            Akibat kemungkiran janji untuk berkahwin oleh orang- orang Islam antaranya Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984, Seksyen 15. (Pertunangan). Jika seseorang telah mengikat suatu pertunangan mengikut Hukum Syarak, sama ada secara lisan atau secara bertulis, dan sama ada secara bersendirian atau melalui seorang perantaraan, dan kemudiannya enggan berkahwin dengan pihak yang satu lagi itu tanpa apa-apa sebab yang sah manakala pihak yang satu lagi bersetuju berkahwin dengannya, maka pihak yang mungkir adalah bertanggungan memulangkan pemberian pertunangan, jika ada, atau nilainya dan membayar apa-apa wang yang telah dibelanjakan dengan suci hati oleh atau untuk pihak yang satu lagi untuk membuat persediaan bagi perkahwinan itu, dan yang demikian boleh dituntut melalui tindakan dalam Mahkamah.

            Dalam kes Aishah lawan Jamaluddin (1978), pihak lelaki telah mungkir janji untuk berkahwin dengan pihak perempuan. Aishah menuntut pembayaran mas kahwin berjumlah RM25, belanja kahwin RM800 dan mendakwa dia berhak untuk terus menyimpan cincin pertunangan. Kadi Besar Kedah ketika menjadi hakim bagi kes berkenaan telah membuat keputusan dengan memerintahkan pihak Jamaluddin untuk membayar ganti rugi mengikut perjanjian pertunangan dan Aishah juga berhak untuk terus menyimpan cincin pertunangan yang dihadiahkan kepadanya. Selain itu, hakim juga memerintahkan supaya Jamaluddin membayar kos baju pengantin kepada Aishah yang telah disiapkan untuk perkahwinan dan juga RM400 sebagai pembayaran untuk membaiki rumah yang dilakukan khusus bagi persediaan majlis perkahwinan. (Siti Shamsiah Mohd. Sufi, 2010: 19 Febuari)

Manakala dalam kes Salbiah Othman lawan Haji Ahmad Abdul Ghani (2002), pihak perempuan sebagai pihak yang telah dimungkiri janji untuk berkahwin telah membuat tuntutan ganti rugi keaiban dan ganti rugi perbelanjaan yang merangkumi persiapan untuk pertunangan dan persiapan untuk perkahwinan. Dalam tuntutan Salbiah terhadap ganti rugi keaiban, Mahkamah Tinggi Syariah Seremban telah menolak permohonan beliau kerana percaya bahawa mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa untuk membicarakan tuntutan atau permohonan ini dan Mahkamah Tinggi Sivil adalah forum yang lebih layak untuk membicarakannya. Ini disebabkan hal tersebut berkaitan dengan ganti rugi am kerana keaiban, tohmahan masyarakat, penderitaan, tekanan jiwa dan sebagainya. Walau bagaimanapun, pihak mahkamah telah meluluskan permohonan Salbiah terhadap sebahagian tuntutannya yang merangkumi kos baju pengantin, tempahan persalinan, tempahan langsir dan cadar, deposit khemah dan katil serta kos jemputan yang merangkumi barangan runcit dan basah. (Siti Shamsiah Mohd. Sufi, 2010: 19 Febuari)

Seksyen 15 Enakmen Keluarga Islam 1984 di Selangor memperuntukkan jika seseorang telah mengikat pertunangan secara sah namun telah memutuskannya tanpa persetujuan dua pihak maka pihak yang mungkir adalah bertanggungan memulangkan pemberian- pemberian pertunangan, jika ada atau nilainya dan membayar apa- apa wang yang telah dibelanjakan dengan suci hati oleh pihak yang stau lagi untuk membuat persediaan perkahwinan, dan yang demikian boleh dituntut melalui tindakan mahkamah. (Bahagian Pendakwaan Syariah Negeri Selangor, 2003: 19)

RUJUKAN:
Drs. HR. Sumarsono. Tata Upacara Pengantin Adat Jawa. Penerbitan Narasi.


Gazalba, Sidi. 1967. Pengantar Kebudayaan Sebagai Ilmu Kehidupan Sosial Kebudayaan Kebudayaan, Bersahaja Transisi, Moderen, Islam. Kuala Lumpur: Pustaka Antara.

Hj.i Nik Azran Bin Muhamed Et Al. Panduan Lengkap Kehidupan Muslim. Cetakan 2006.Terbitan Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (Pmram)

H.M. Sidin. 1964. Asal- Usul Adat Resam Melayu. Kuala Lumpur. Penerbitan Pustaka Antara.

Siti Shamsiah Mohd. Sufi. 2010. Tuntut ganti rugi jika mungkir janji kahwin. Utusan Malaysia, arkib. 19 febuari.

Yahya Andi Saputra. 2008. Upacara Daur Hidup Adat Betawi. Penerbit Wedatama Widya Sastra.

1 pendapat:

skyjamil said...

dari segi hukum syarak, mazhab hanafi membenarkan pulangan semula barang jika belum dimusnahkan atau masih sempurna, manakala, bagi maliki pula merujuk kepada pihak yang memungkiri pertunangan, jika kemungkiran berlaku dipihak lelaki maka tuntutan pemulangan barang tidak diterima, bagi syafi'i pemulangan akibat kemungkiran boleh dituntut sama ada pada barang yang telah dimusnahkan atau masih sempurna, jika barang telah dimusnahkan maka ia perlu dinilaikan dan dibayar berdasarkan nilaian tersebut.

Post a Comment

syukran kasiran