Monday, October 25, 2010

Wasiat organ?

laporan mengenai pendermaan organ menyingkap mengenai Akta Tisu Manusia yang diperkenalkan pada tahun 1974. Mungkin tidak ramai kalangan kita tahu mengenai kewujudan akta tersebut. Biarpun telah lebih 30 tahun ia digubal namun perihal akta itu amat jarang dibangkitkan. Mungkin ada keperluan yang perlu ditambah di dalam akta tersebut berikutan perkembangan dunia teknologi maklumat dan komunikasi yang semakin pesat.
Selain itu, wartawan Utusan Malaysia, NORAINI ABDUL RAZAK dan AZLINARIAH ABDULLAH turut mengetengahkan tentang Pusat Sumber Transplan Negara serta panduan kepada orang ramai yang berhasrat untuk mendermakan organ mereka.
APABILA membicarakan mengenai isu pendermaan organ di negara ini, Akta Tisu Manusia 1974 (Akta 130) antara statut utama menjadi rujukan.

Akta yang mengandungi lima seksyen itu meliputi semua negeri di Malaysia.

Seksyen (1) dan 2(1) membicarakan wasiat yang dibuat oleh seseorang sama ada secara bertulis atau lisan di hadapan dua saksi atau lebih ketika beliau akan menghembuskan nafas terakhir.
Wasiat tersebut berkenaan pendermaan tubuhnya atau mana-mana anggota untuk digunakan sesudah kematiannya bagi maksud terapeutik, pelajaran atau penyelidikan perubatan.

‘‘Wasiat tersebut adalah sah di sisi undang-undang selagi ia tidak ditarik balik,’’ kata Wan Roslili Abd. Majid, Pegawai Penyelidik Pusat Syariah, Undang-Undang dan Sains Politik, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dalam tulisannya di majalah bulanan Visi edisi Januari 2006.
Visi ialah majalah terbitan IKIM.

Beliau seterusnya berkata, permintaan atau wasiat itu membawa maksud ia boleh dilaksanakan menurut kandungannya tanpa melampaui kadar yang telah ditetapkan oleh individu yang berwasiat.
Seandainya wasiat menyebut mata didermakan, maka hanya mata dipindahkan untuk didermakan tanpa mengambil anggota-anggota tubuh yang lain.
Seksyen 2(1) Akta Wasiat 1959 (Akta 346) memberi maksud ‘wasiat’ sebagai deklarasi (pengumuman) yang diniatkan untuk memberi kesan undang-undang terhadap niat atau hajat pembuat wasiat atas sesuatu kuasa dan juga penyusunan melalui wasiat atau permintaan tentang kedudukan seseorang sebagai penjaga, penjagaan dan pendidikan terhadap mana-mana kanak-kanak.

Seksyen 2(2) pula menyatakan bahawa akta tersebut tidak bersangkutan dengan wasiat yang dibuat individu beragama Islam yang kuasa wasiatnya tetap tidak akan dipengaruhinya oleh apa-apa perkara dalam akta itu.
Sementara itu beliau turut menyebut mengenai pemindahan bahagian-bahagian badan bagi maksud terapeutik, pelajaran atau penyelidikan perubatan; eksperimen atau penyelidikan sendiri, di mana pada pandangannya perlu diambil kira.
Rawatan penyelidikan dan penyelidikan saintifik (kajian penyelidikan, klinikal dan penyelidikan klinikal) perlu dibezakan, ujar beliau.
Rawatan penyelidikan merupakan prosedur dalam kaedah pencegahan, diagnosis atau rawatan bagi sesuatu penyakit.
Eksperimen saintifik pula merupakan usaha yang dibuat atas seseorang dengan berlandaskan tujuan asal untuk menentukan perkara akan berlaku terhadap individu terbabit.
Objektif dasarnya lebih cenderung untuk mendapatkan maklumat atau penemuan baru daripada rawatan itu sendiri.
Eksperimen ini kadangkala dijalankan ke atas individu sihat, contohnya memasukkan tiub jantung.
Pada tahun 1964, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengumumkan Deklarasi Helsinki di mana ia menerangkan etika sebagai sesuatu yang berbeza daripada garis panduan eksperimen dijalankan ke atas manusia.
Dokumen ini turut mengenal pasti perbezaan kedua-dua eksperimen.
Selebihnya, ia menggariskan beberapa dasar sebagai prinsip umum dan dalam bahagian berasingan membincangkan pula persoalan penyelidikan klinikal digabungkan dengan ‘perhatian profesional’ serta diikuti penyelidikan klinikal bukan rawatan.

Seksyen 2(2) dan (3) Akta Tisu Manusia 1974 (Akta 130) seterusnya menjelaskan : ‘‘Tanpa menyentuh seksyen kecil yang tersebut di atas, orang yang memiliki dengan sah di sisi undang-undang badan seseorang yang mati itu boleh membenar dipindahkan mana-mana bahagian dari badan yang tersebut itu untuk digunakan bagi maksud-maksud yang tersebut di atas jika, setelah membuat apa-apa penyiasatan munasabah yang praktik, ia tiada apa-apa sebab bagi mempercayai :
* Bahawa si mati itu telah menyatakan bantahan terhadap badannya diuruskan sedemikian selepas kematiannya; atau
* Bahawa suami isteri atau mana-mana waris si mati yang masih hidup semasa si mati membantah terhadap badan itu diuruskan sedemikian.
Tiada apa-apa kebenaran boleh diberi di bawah seksyen ini berkenaan dengan seseorang yang diamanahkan bagi maksud hanya untuk dikebumikan atau disemadikan.’’

Tertakluk pada seksyen kecil (2) dan (3) ini juga, pemindahan dan penggunaan anggota tubuh mengikut sesuatu kebenaran yang diberi menurut Seksyen 2 adalah sah di sisi undang-undang. Ini dijelaskan dalam Seksyen 3 (1).
Sehubungan itu, dalam Seksyen 3 (2) dijelaskan bahawa pemindahan organ atau bahagian tubuh itu hanya boleh dijalankan oleh seorang pengamal perubatan yang berdaftar penuh di bawah Seksyen 14 Akta Perubatan 1971 (Akta 50) dengan disertai sekurang-kurangnya seorang lagi pengamal perubatan, juga berdaftar penuh.
Seksyen 14 tersebut menerangkan tertakluk pada peruntukan-peruntukan akta ini, tiada seseorang pun berhak didaftarkan penuh sebagai seorang pengamal perubatan di bawah akta ini melainkan jika:
* Ia telah didaftarkan sementara di bawah Seksyen 12;
* Ia membuktikan telah mematuhi peruntukan-peruntukan Seksyen 13.
* Permohonan pendaftaran penuh hendaklah dibuat mengikut peruntukan-peruntukan akta ini dan peraturan di bawahnya.
* Walau apa pun peruntukan yang berlawanan terkandung dalam akta ini, sesiapa pun boleh didaftarkan penuh di bawah seksyen ini tertakluk kepada apa-apa sekatan dan syarat mengikut sebagaimana ditetapkan oleh menteri, dengan syarat bahawa orang yang memohon pendaftaran di bawah seksyen kecil ini mempunyai kelulusan yang mana menteri berpuas hati, selepas berunding dengan majlis, adalah mencukupi.’’
Bagi maksud perbandingan dan pemerhatian, jika diteliti, secara umum undang-undang pemindahan organ Sepanyol yang merupakan negara peneraju di dunia dalam pendermaan organ, didapati bahawa undang-undang tersebut memiliki banyak persamaan dengan undang-undang di negara Barat lain.
Meskipun undang-undang pemindahan organ itu dianggap keizinan, namun menurut dikri berikutnya, saudara mara bagi penderma berpotensi akan mendermakan organnya mestilah ditemui bagi menentukan hasrat penderma (orang yang meninggal dunia) itu berhubung pendermaan organ. Jika perkara ini tidak diketahui, saudara mara rapat boleh menandatangani pemberian kuasa, selepas perbincangan secara dalaman diadakan, jika perlu.
Meneliti Undang-Undang No.7 bagi tahun 1983, Kuwait, pula yang menyentuh tentang pembedahan pemindahan buah pinggang menunjukkan bahawa pendermaan buah pinggang oleh seseorang yang masih hidup dibenarkan dan turut menetapkan beberapa syarat supaya tidak menjejaskan kehidupan serta kesihatan penderma.
Undang-undang yang sama juga membenarkan buah pinggang diwasiatkan dan menentukan syarat-syarat diperlukan.
Memperkatakan tentang Akta Tisu Manusia 1974 (Akta 130) dan hubungannya dengan perkembangan pendermaan organ di negara ini, beliau berkata, terdapat persoalan yang menarik dibahaskan beberapa pihak.
Antaranya ialah undang-undang dan kaitannya dalam meningkatkan jumlah penderma organ di kalangan rakyat di negara ini.
Boleh dikatakan bahawa purata penderma di negara ini sangat minimum berbanding kadar di negara-negara Eropah.
Dalam satu interviu sebelum ini, Presiden Persatuan Transplantasi Malaysia, Datuk Dr. Zaki Morad mendedahkan bahawa purata penderma hanya 0.6 bagi setiap sejuta rakyat.
Kadar di sesetengah negara Eropah ialah 30 hingga 35 penderma bagi setiap sejuta rakyat.
Justeru, selain kempen dalam pelbagai bentuk dan medium, akta ini juga boleh dijadikan satu lagi kaedah bagi mencapai matlamat meningkatkan jumlah penderma organ.
..........................................................................................................................................


satu persoalan penting yang bermain di fikiran ana setelah membaca artikel tersebut iaitu kadar yang dibolehkan mengikut syariat adalah 1/3, jadi bagaimana organ tersebut dinilai bahawa tidak melebihi 1/3?

yang kedua, apa yang dimaksudkan oleh seksyen 2(2) Akta Tisu Manusia 1974?

lagi satu, bagaimana dengan peruntukkan wasiat sedia ada bagi orang Islam di Selangor, Melaka, Negeri Sembilan berhubung isu ini?

terakhir...respon perundangan syariah negeri lain pada isu ini?

0 pendapat:

Post a Comment

syukran kasiran