Thursday, October 7, 2010

Private Nuisance

Menurut kes Lord Denning M.R In Miller v Jackson (1977), intisari atau kandungan penting dalam pembuktian bagi kesalahan tort kacau- ganggu persendirian ialah ketidakwajaran seseorang menggunakan tanahnya sehingga menjejaskan keselesaan jiran yang berhampiran dengannya.

            Mahkamah mempertimbangkan kesalahan tort kacau- ganggu dengan melihat faedah yang dirasai oleh kedua- dua pihak sama ada ia boleh dianggap melebihi kadar atau sebaliknya. Di samping itu, mahkamah juga turut mempertimbangkan berdasarkan kesan yang ditanggung oleh plaintif disebabkan oleh kacau- ganggu yang dilakukan oleh defendan. Dalam kes Sedleigh- Denfield V. O’callaghan (1940), hakim Wright memutuskan bahawa keseimbangan mestilah menjaga antara hak kepada penghuni untuk melakukan sebarang aktiviti di tanah miliknya serta hak jiran untuk tidak mengganggu aktiviti tersebut. Ia sukar dibuktikan dan adalah memadai dengan melihat kepada kebiasaan penghuni dalam masyarakat tersebut. 

        Kerosakan Fizikal

Ia penting dalam menentukan niat defendan terhadap aktiviti yang dilakukan sama ada ia adalah di bawah kewajaran atau sebaliknya. Mahkamah akan cenderung kepada pertimbangan terhadap faedah atau manfaat yang dirasai oleh defendan di atas kerosakan atau kerugian yang akan ditanggung oleh plaintif berhubung dengan aktiviti yang dijalankan oleh pihak defendan. Sebagai contoh, dalam kes Halsey V. Esso Petroleum Co. Ltd (1961), esso menjalankan kilang operasi pengeluaran minyak petrol yang terletak berhadapan dengan kawasan perumahan. Plaintif mengadu akan bunyi bising dan bau asid yang merosakkan pakaian yang disidai serta keretanya. Veale J telah memutuskan perbezaan antara tindakan yang membawa kepada kacau- ganggu yang menyebabkan kerosakan material atau harta benda dengan kesan tindakan kacau- ganggu yang menyebabkan ketidakselesaan peribadi. Kerosakan material atau harta benda disebabkan kacau- ganggu mudah dibuktikan namun ketidakselesaan peribadi, Veale J berpendapat bahawa gangguan keselesaan dan keamanan adalah di tahap yang serius untuk disabitkan atas kesalahan tort kacau- ganggu. Mahkamah memutuskan bahawa kerosakan pakaian yang disebabkan bau asid dan bunyi bising dari kilang memadai sebagai faktor yang relevan dalam pensabitan kesalahan tort kacau- ganggu. Ia juga telah diputuskan dalam kes St Helen’s Smelting Co V. Tipping (1895), mahkamah memutuskan bahawa gegaran yang dihasilkan oleh defendan sehingga menyebabkan keruntuhan binaan milik plaintif memadai sebagai kacau- ganggu.

    Kerosakan Bukan Fizikal

Ia merujuk kepada hak plaintif untuk menggunakan tanah miliknya serta merasai manfaat penggunaan tersebut. Mahkamah akan memutuskan berdasarkan persaingan terhadap manfaat antara kedua pihak yang lebih cenderung kepada gangguan yang tidak munasabah. Pertimbangan mahkamah mengambil kira beberapa faktor untuk membuktikan gangguan tersebut adalah relevan sebagai tort kacau- ganggu. Antaranya ialah kepekaan/ sensitiviti yang luarbiasa, kawasan, pemilihan waktu tindakan, jangka masa aktiviti, tindakan berjaga- jaga terhadap harta, dan niat defendan.

 Kepekaan Yang Luarbiasa
Sekiranya plaintif atau harta milik plaintif mempunyai sensitiviti yang luar biasa, maka plaintif tidak seharusnya mengadu bahawa aktiviti defendan merupakan suatu kacau- ganggu terhadap diri atau hartanya yang sensitive itu. Dalam kes Robinson V. Kilvert (1889), defendan mengusahakan perniagaan membuat kotak- kotak kertas di mana proses pembuatannya melibatkan penggunaan udara panas. Plaintif yang tinggal di atas premis defendan pula mengusahakan perniagaan menjual kertas- kertas khas. Udara panas dari premis defendan telah mengakibatkan kehilangan lembapan dalam kertas- kertas plaintif. Mahkamah menolak tuntutan plaintif kerana mendapati bahawa darjah kepanasan di premis plaintif tidak menyukarkan pekerja- pekerjanya serta memberi kesan ke atas kertas- kertas biasa. Kertas- kertas khas plaintif itu didapati mempunyai sensitiviti yang luar biasa. 

                        Prinsip tersebut juga terpakai pada individu yang dianggap sensitif pada sesuatu keadaan yang pada orang biasa ia tidak mengalami masalah akan keadaan tersebut. sebagai contoh, dalam kes Health V. Brighton Corp. (1908), plaintif mengalami sensitiviti yang luar biasa pada kacau- ganggu yang berlaku namun pada situasi lain plaintif boleh sembuh bahkan pada penanaman orkid sekalipun.

 Kawasan
Kawasan dijalankan aktiviti tersebut dapat membuktikan kerelevanan kacau- ganggu yang berlaku. Tindakan yang mungkin tidak munasabah pada sesuatu kawasan tidak semestinya akan jadi tidak munasabah untuk dijalankan di kawasan lain. Dalam kes Laws V. Florin-Place Ltd (1981), mahkamah menyerahkan injunksi kepada pihak defendan untuk menutup premis miliknya yang bertentang dengan perancangan kerajaan untuk membina penempatan penduduk di kawasan tersebut. 

            Dalam kes Bliss V. Hall (1838), defendan telah menguruskan sebuah kilang selama tiga tahun. Sepanjang tempoh itu, kilang defendan telah mengeluarkan asap, baud an lain- lain bahan buangan. Plaintif yang berpindah ke sebuah rumah yang berhampiran dengan kilang defendan telah mengambil tindakan terhadap defendan. Defendan menghujahkan bahawa kilangnya itu telah berada dan beroperasi di sana sebelum plaintif berpindah ke kawasan itu. Mahkamah memutuskan dalihan defendan bahawa aktiviti itu telah dijalankan sebelum tindakan untuk menghentikannya adalah tidak relevan. Ini adalah kerana plaintif juga mempunyai hak- haknya misalnya hak kepada udara yang bersih.

  Pemilihan Waktu Kesalahan
Dalam kes Haddon V. Lynch (1911), pemilihan waktu untuk bunyikan loceng gereja pada hari- hari biasa adalah relevan pada pukul 9 pagi namun bunyi tersebut adalah sebagai salah- satu gangguan jika dilakukan pada hujung minggu kerana ia adalah cuti awam. Lazimnya pemilihan waktu kesalahan dilakukan turut dikaitkan dengan tempoh masa gangguan berlaku. Sebagai contoh, jika gangguan tersebut berlaku dalam masa yang singkat sahaja mungkin ia masih munasabah sebaliknya ia akan bertukar menjadi kacau- ganggu jika berterusan dalam masa yang panjang.

            Prinsip amnya ialah untuk mewujudkan tort kacau- ganggu, gangguan itu mestilah berterusan. Namun defendan masih boleh bertanggungan untuk gangguan yang tunggal sekiranya kerosakan fizikal berlaku kepada plaintif atas harta bendanya.

            Dalam kes Spicer V. Smee (1946), rumah plaintif yang terletak bersebelahan dengan rumah defendan yang terbakar akibat sistem pendawaian defendan yang tidak sempurna. Mahkamah memutuskan bahawa defendan bertanggungan kerana wujud suatu keadaan yang sememangnya merbahaya di premis defendan. Sistem pendawaian yang tidak sempurna merupakan satu- satunya gangguan yang dialami oleh plaintif namun disebabkan gangguan tersebut rumah atau harta milik plaintif telah mengalami kerosakan.


Tindakan Berjaga Daripada Defendan
Mahkamah juga mempertimbangkan usaha yang munasabah yang dilakukan oleh defendan dalam menggelakkan aktiviti yang dijalankannya tidak memberi gangguan kepada pihak plaintif. Dalam kes, Painter V. Reed (1930), plaintif mendakwa bunyi bising dan bau busuk daripada kuda peliharaan defendan memberi gangguan kepadanya. Mahkamah memutuskan bahawa defendan perlu menyediakan kemudahan dan cara alternatif lain digunakan seperti tidak membiarkan kudanya berada di atas konkrit atau mengurung kudanya di tempat yang khas dapat mengurangkan gangguan kepada plaintif. Namun jika defendan tidak melakukannya maka ia bertanggungan terhadap tort kacau- ganggu. 

            Namun begitu, tindakan atau aktiviti defendan yang menyebabkan gangguan kepada plaintif boleh dianggap munasabah sekiranya ianya memberi manfaat kepada masyarakat umum. Walaubagaimanapun, ini bukannya suatu kemestian.

            Dalam kes Adams V. Ursell, defendan menjalankan perniagaan menjual ikan kering dan kedainya terletak di kawsan perumahan. Apabila tindakan tort diambil ke atasnya, defendan menghujahkan aktivitinya itu mendatangkan faedah kepada masyarakat umum terutama sekali kepada mereka yang miskin, oleh itu bau yang dihasilkan oleh perniagaannya adalah munasabah. Mahkamah menolak hujahan defendan kerana keselesaan plaintif juga perlu dipertimbangkan.

Motif/ niat jenayah
Sekiranya niat jahat dibuktikan di sebalik tindakan defendan, gangguan tersebut dikira sebagai kacau- ganggu walaupun ia bersifat munasabah. Dalam kes Christie V. Davey (1893), defendan tidak menyukai kelas muzik yang dijalankan oleh plaintif yang berhampiran dengan kediamannya, oleh yang demikian, defendan sering menimbulkan bunyi bising dari kediamannya semasa kelas muzik itu dijalankan oleh plaintif. Mahkamah memutuskan bahawa tuntutan plaintif adalah munasabah kerana defendan mempunyai niat jahat terhadap gangguan yang dibuatnya.

            Suatu tindakan bersama niat yang jahat disifatkan sebagai tidak mempunyai kepentingan dan ditolak sebagai tindakan yang munasabah. Oleh itu, walaupun terdapat sedikit sahaja gangguan ia sudah memadai untuk tuntutan tort kacau- ganggu. Malahan, dalihan bahawa terdapatnya sensiviti terhadap plaintif, niat jahat tersebut lebih mengatasi faktor tersebut. dalam kes Hollywood Silver Fox Farm Ltd V. Emmett(1936). Mahkamah memutuskan tindakan defendan yang melepaskan tembakan telah menolak hujahannya bahawa musang peliharaan plaintif adalah mempunyai sensitiviti luar biasa. Sebaliknya niat jahat defendan untuk menggangu pembiakan musang plaintif telah diterima oleh mahkamah dalam hujahan plaintif. 

  Penjagaan Terhadap Manfaat Harta
Menurut Anita Stuhmcke (2005), tidak semua harta benda plaintif akan dilindungi oleh tort kacau- ganggu persendirian. Sebagai contoh, dalam kes Victoria Park Racing And Recreation Grounds Co. Ltd V. Taylor (1938).

Orang Yang Boleh Dituntut
Menurut Vera Bermingham (2002) telah menyenaraikan 3 orang yang boleh membuat tuntutan tork kacau- ganggu yang merangkumi orang yang memulakan atau menyebabkan kacau- ganggu, penghuni serta tuan tanah. Hal ini juga turut dijelaskan oleh Norchaya Talib (2006) dalam karyanya.

           Seseorang itu boleh bertanggungan bagi kacau- ganggu walaupun dia bukan penghuni ataupun tuan tanah, asalkan dia bertanggungjawab terhadap gangguan yang berlaku. Dalam kes Thompson v. Gibson (1841), mahkamah memutuskan bahawa defendan yang memulakan sesuatu kacau- ganggu akan terus bertanggungan dan  tiada hujahan yang diterima bagi menolak tanggungan tersebut. 

           Sebaliknya penghuni pula biasanya akan bertanggungan bagi semua tindakan di tanahnya selagi aktiviti berjalan di dalam pengetahuannya sama ada kacau- ganggu itu dilakukan oleh tetamu yang hadir atau kacau- ganggu itu telah wujud sebelum ia menghuni kediaman tersebut. walaupun pada umumnya, undang- undang tidak memberi tangunggan kepada majikan atas kesalahan pekerjanya namun majikan bertanggungan jika setiap kali pekerjanya menjalankan kerja dan terdedah kepada kacau- ganggu. Dalam kes Matania V. National Provincial Bank Ltd (1936), penghuni sebuah premis yang bertugas sebagai kontraktor untuk membuat perubahan pada bangunan adalah bertanggungan atas kacau- ganggu yang berlaku ke atas penghuni bangunan tersebut. 

           Seterusnya seorang pemilik tanah akan bertanggungan ke atas kacau- ganggu di dalam tiga keadaan iaitu pemilik itu membenarkan kacau- ganggu berlaku, kacau- ganggu itu berlaku sebelum hartanahnya disewakan atau pemilik bertanggungjawab untuk membaiki atau ada hak tersimpan untuk memasuki atau menjalankan kerja- kerja pembaikan. 

 Orang Yang Boleh Membuat Tuntutan

Hanya pemilik  yang sah serta berkepentingan terhadap manfaat harta atau tanah tersebut sahaja boleh membuat tuntutan terhadap tort kacau- ganggu yang berlaku padanya. Dalam kes Oldham v.  Lawson, plaintif iaitu suami isteri telah menyaman jirannya atas kacau- ganggu yang berlaku ke atas kediaman mereka, mahkamah telah memutuskan bahawa suami tidak boleh membuat tuntutan terhadap gangguan tersebut kerana bukan memiliki premis itu sebaliknya hanya bertindak sebagai pemegang lesen. Oleh yang demikian, suami tidak mencukupi syarat untuk menyaman pihak defendan. 

           Prinsip ini walaubagaimanapun telah dipersoalkan dalam kes khorasandjian 
v. bush (1993). Mahkamah telah meluaskan individu yang boleh membuat tuntutan apabila plaintif yang tinggal di rumah ibunya telah diganggu melalui pangilan daripada defendan. Mahkamah telah membenarkan injunksi kepada defendan berikutan kacau- ganggu tersebut walaupun plaintif hanya pemegang lesen di rumah ibunya.

0 pendapat:

Post a Comment

syukran kasiran