Thursday, October 7, 2010

Intro of tort Nuisance



Konsep kacau ganggu ialah suatu cabang undang-undang yang memberi perlindungan kepada tuan punya tanah atas penggunaan tanahnya. Kacau ganggu terbahagi kepada dua jenis iaitu kacau ganggu awam dan kacau ganggu persendirian.

            Tort kacau ganggu telah bermula pada abad ke-19 semasa revolusi perindustrian di mana tanah telah digunakan dengan meluasnya bagi aktiviti perindustrian. Aktiviti ini telah menyebabkan banyak pencemaran alam sekitar, yang dihasilkan dari debu, asap, habuk, bunyi bising, bau busuk dan lain-lain.

            Definisi kacau ganggu menurut istilah Inggeris ialah ‘nuisance’ yang bermaksud suatu tindakan yang menyebabkan ketidakselesaan yang secara khusus telah menggangu keselesaan hidup manusia yang tidak semestinya hanya menggangu tabiat hidup yang mewah malah bentuk dan tabiat hidup biasa dalam kalangan manusia biasa.

            Selain itu, kacau ganggu dalam bahasa Arab disebut sebagai mudayaqah iaitu mengganggu ketenteraman dan keselesaan orang lain. Terdapat sesetengah penulis menggunakan perkataan madarrah dan adrar bagi merujuk kepada kacau ganggu. Selain itu, terdapat juga penulis mengggunakan perkataan al-ta’asuf fi isti’mal al-haqq bagi kacau ganggu terhadap penggunaan dan penikmatan ke atas tanah atau hak-hak yang berkaitan dengannya.

Kacau ganggu adalah undang-undang tort yang melindungi daripada gangguan secara tidak langsung pihak plaintif atas penggunaan kenikmatan tanah, seperti bunyi bising yang berlebihan dan pembebasan bau yang busuk. Contohnya asap beracun yang berasal daripada pembakaran sampah secara terbuka di tanah defenden tetapi perbuatan itu mengganggu ketenteraman dan ketenangan jiran tetangga atau plaintif.
Tujuan tort kacau ganggu dibentuk adalah untuk melindungi hak kenikmatan dan keselesaan seseorang terhadap tanahnya, dan ahli masyarakat untuk menikmati harta yang dikongsi secara bersama. Selain itu, tort ini juga bertindak sebagai pengawalan kepada aktiviti-aktiviti pencemaran alam sekitar yang boleh mengakibatkan kemudaratan kepada kesihatan dan benda-benda lain .
Ringkasnya tort kacau- ganggu sering berlaku dalam sesebuah kawasan mahupun tempat kerja dan sebagainya. Kadangkala aktiviti yang dilakukan oleh jiran walaupun di tanah miliknya namun jika ia mendatangkan kacau- ganggu kepada penduduk sekeliling maka tindakan mahkamah tetap diperlukan bagi menghentikan gangguan tersebut. Hal ini sekaligus bertujuan mewujudkan suasana harmoni antara masyarakat supaya tidak mementingkan diri sendiri. Ukuran kacau- ganggu tersebut akan dibuktikan melalui tahap atau darjah kesan yang dialami sama ada kerugian atau ketidakselesaan.

            Di Malaysia, telah diketahui bahawa tiada akta khusus tentang tort kacau- ganggu namun penghakiman mengenai kes- kes yang berkaitan tuntutan kacau- ganggu boleh dibuat kepada mahkamah majistret. Hal ini kerana ia telah diperuntukkan dalam beberapa seksyen- seksyen kecil. Malahan, tort kacau- ganggu yang terdapat dalam undang- undang Islam juga tidak jauh jarak pengaplikasiannya dengan tort kacau- ganggu menurut undang- undang sivil. Hal ini telah diakui oleh Presiden Persatuan Guaman Syarie Malaysia, Tuan Zainul Rijal Bin Abu Bakar dalam kenyataan di akhbar Berita Harian keluaran 15 Ogos 2007.

0 pendapat:

Post a Comment

syukran kasiran