Sunday, September 26, 2010

for lawyer to be part 1



PEGUAM SYARIE : CABARAN DAN PENYELESAIANNYA

Apabila kita memperkatakan Peguam Syarie, bererti kita akan memperkatakan tentang seseorang yang menjadi peguam membela anak guamannya di Mahkamah Syariah di dalam kes-kes yang Mahkamah Syariah mempunyai bidangkuasa. Peguam Syarie akan memberikan khidmat guamannya kepada pelanggan untuk memenuhi harapan dan permintaan mereka. Pelanggan atau anak guaman biasanya mengharapkan perkhidmatan sepenuhnya dari peguamnya. Tujuan utamanya ialah agar ia boleh memenangi kesnya atau jika sabit kesalahan agar hukuman yang akan dijatuhkan menjadi ringan. Umumnya, pelanggan atau anak guaman mengharapkan khidmat Peguam Syarie untuk kepentingan sama ada di dalam kes-kes jenayah ataupun sivil di dalam mana-mana peringkat mahkamah yang membicarakan kesnya. Itulah harapan dan tujuan pihak-pihak yang menggunakan khidmat peguam. Apabila kalah atau tujuan tersebut tidak tercapai mereka akan merasa kecewa dan bersusah hati.

Kalau demikian seolah-olah Peguam Syarie adalah berkhidmat untuk membela anak guamannya tanpa mengira sama ada mereka itu benar atau salah. Adakah benar anggapan itu dan apakah pandangan Islam terhadap profesion guaman ini? Inilah persoalan yang selalu ditimbulkan dan diperbincangkan oleh umat Islam. Secara langsung persoalan di atas adalah merupakan cabaran terhadap profesion ini. Sebelum kita menjawab persoalan tersebut ada baiknya kita melihat sikap Islam terhadap keadilan dan kezaliman.
Islam Mengkehendaki Keadilan

Allah mengutus Nabi Muhammad s.a.w. adalah sebagai rahmat untuk sekalian alam dengan membawa agama Islam yang terdiri dari akidah, syariah dan akhlak. Syariah atau undang-undang Islam adalah bertujuan untuk menegakkan keadilan mutlak. Keadilan yang tidak memiliki bangsa, agama, warna kulit dan seterusnya. Islam menghendaki agar hak diberikan kepada yang berhak. Seseorang itu dibenarkan mempertahankan haknya dari dicabul, merampas hak orang lain bererti zalim. Islam tidak pernah bertolak ansur di dalam menegakkan keadilan.

Firman Allah bermaksud:
“Dan sesungguhnya kami telah mengutus Rasul-rasul kami dengan membawa bukti-bukti dan mukjizat yang jelas nyata dan kami telah menurunkan bersama-sama mereka kitab suci dan keterangan yang menjadi neraca keadilan, supaya manusia dapat menjalankan keadilan”.
(Surah Al-Hadid: 25)

Ayat ini dengan jelas menyatakan bahawa rasul-rasul termasuklah Rasullullah s.a.w diutus untuk menegakkan keadilan yang dituntut oleh Allah, bersama mereka kitab suci dan ajaran-ajaran serta keterangan dari Allah, Rasullullah s.a.w adalah diperintahkan agar berlaku adil. Keadilan tidak boleh ditolak ansurkan.

Firman Allah bermaksud:
“Katakanlah (Wahai Muhammad): Aku beriman kepada segala kitab yang diturunkan oleh Allah dan Aku diperintahkan supaya berlaku adil di antara kamu.” (Surah As-Syura: 15)

Perintah di atas walaupun ditujukan kepada Rasullullah s.a.w tetapi ianya juga meliputi kita semua, tanpa kecuali. Ini termasuklah hakim, pendakwa, peguam dan seterusnya. Keadilan yang wajib ditegakkan adalah meliputi semua aspek dan bidang, termasuklah disegi undang-undang, pembahagian kekayaan, tindak-tanduk dan seterusnya, ini termasuklah dari segi mendengar perbicaraan, memutuskan kes-kes, mengemukakan fakta, keterangan dan pengolahan dan pembentangan kes-kes semasa perbicaraan. Berlaku adil dalam semua tindakan adalah menjadi tuntutan Islam.

Firman Allah bermaksud:
“Dan sempurnakanlah segala sukatan dan timbangan dengan adil. Kami tidak memberatkan seseorang dengan kewajipan melainkan sekadar kesanggupannya dan apabila kamu menyatakan sesuatu maka hendaklah kamu berlaku adil.” (Surah Al-An’am: 152)

Melalui ayat tersebut, Allah dengan jelas memerintah kita agar berlaku adil dalam semua perkara dan memberikan hak kepada yang berhak dan semua hak hendaklah disempurnakan. Hinggakan di dalam timbang menimbang sekalipun. Allah menegaskan, apabila kamu menyatakan sesuatu hendaklah kamu berlaku adil. Ini bermakna, di dalam mengeluarkan kata-kata, memberikan pendapat, menyampaikan pandangan kita hendaklah berlaku adil. Persoalan yang timbul ialah, adakah kita telah menghayati arahan ini, di dalam kontek persoalan yang sedang kita bincangkan ini, adakah pelanggan kita benar-benar mengemukakan kesnya kerana ingin menuntut keadilan? Peguam-peguam, termasuklah Peguam Syarie bertindak membantu dan membela pelanggan mereka adakah kerana ingin menegakkan keadilan, cara mereka membela adakah adil, kata-kata yang mereka gunakan adakah adil? Cara mereka mengemukakan soalan-soalan ini perlu diselesaikan oleh kita bersama, bukan melalui hujah dan logik tetapi melalui penghayatan terhadap akhlak Islam, berpegang kepada ajarannya dan melaksanakan tugas dengan amanah dan adil seperti yang dituntut oleh Allah. Di dalam ayat yang lain pula Allah berfirman maksudnya:

“Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu menjalakan sesuatu urusan dengan hutang-piutang yang diberi tempoh hingga ke suatu masa tertentu, maka hendaklah kamu menulisnya dan hendaklah seorang penulis di antara kamu menulisnya dengan adil.” (Surah Al-Baqarah: 282)

Ayat ini dengan jelas memerintah apabila seseorang itu bertugas membuat catatan atau dikehendaki untuk menulis, maka hendaklah ia melakukannya dengan adil. Ternyata keadilan yang dituntut oleh Islam amat luas dan menyeluruh hinggakan di dalam aspek tulis-menulis, catat-mencatat dan surat-menyurat hendaklah dilakukan dengan adil. Di dalam hubungan ini, peguam-peguam mempunyai tanggungjawab yang berat, mereka hendaklah berlaku adil, cermat dan amanah di dalam menjalankan tugas mereka di dalam surat-menyurat, catatan dan tulisan mereka. Seperti yang dimaklumi seseorang peguam banyak menggunakan catatan dan surat menyurat di dalam menjalankan tugas , adakalanya sebagai wakil, surat menyurat dan catatan mereka mempengaruhi perjalanan kes. Hak seseorang pelanggan boleh terjejas jika peguamnya tidak adil, cermat dan amanah di dalam urusan surat-menyurat, catatan tulisannya. Demikianlah juga denga hak pihak yang satu lagi akan terjejas jika peguam yang mewakili lawannya tidak adil, amanah dan cermat di dalam tulisan dan catitannya.
Memang tepat ingatan Allah agar kita berlaku adil di dalam membuat catatan dan tulisan kerana peranan tulisan dan catatan ini amat penting dalam menegakkan keadilan. Tentulah peguam-peguam tidak terlepas dari ingatan ini tambahan pula peranan surat menyurat, catatan dan tulisan di dalam sesuatu guamana adalah penting dan tidak boleh dielakkan. Di dalam ayat yang lain Allah berfirman maksudnya:

“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya) dan apabila kamu menjalankan hukum di atas manusia, Allah menyuruh kamu menghukum dengan adilnya.” (Surah An-Nisa’: 58)

Ayat ini dengan tegas memerintahkan agar kita menjaga, menyimpan dan menyempurnakan amanah dan menyerahkannya kepada yang berhak. Allah juga memerintahkan kita agar menghukum manusia dengan adil, tanpa mengira perbezaan bangsa, agama, kebudayaan warna kulit dan seterusnya. Jika dilihat tugas dan peranan peguam terhadap pelanggannya di satu pihak dan mahkamah di pihak yang lain, ternyata ayat ini mempunyai hubungan yang rapat dengan mereka. Peguam bertindak untuk kepentingan pelangganya, ia berusaha untuk memenuhi hasrat mereka. Adakalanya peguam terpaksa menghadiri perbicaraan, membuat kajian kes, mengadakan penyiasatan dan memenangi kes untuk memuaskan hati pelanggannya dalam masa yang sama peguam hendaklah bersifat amanah dan jujur dalam tugasnya sebagai peguam seperti yang dikehendaki oleh etika guaman dan kerjayanya.
 'syariah asas keadilan'

0 pendapat:

Post a Comment

syukran kasiran