Sunday, September 26, 2010

for lawyer to be part 7

Asas Guaman Syarie
Demikian secara kasar skop perbincangan wakalah yang menjadi asas kepada penerimaan Guaman Syarie di mahkamah.  Di dalam tulisan ini saya tidaklah berhajat untuk memperkatakan wakalah ini secara terperinci dengan menyentuh semua aspeknya, kerana tujuan tulisan ini hanyalah untuk menjelaskan bahawa Guaman Syar’i adalah harus dan asasnya adalah prinsip wakalah dalam Islam.
Di dalam kitab-kitab fiqh, ulama telah membincangkan mengenai harus bagi pihak-pihak yang bertikai di Mahkamah melantik wakil-wakil mereka untuk bertindak bagi pihak mereka di dalam pertikaian tersebut. Wakil-wakil ini terkenal dengan istilah al wakil bi al-khusumah atau lebih terkenal di negara kia sebagai Peguam Syar’i.


Al-wakil bi al-khusumah atau Peguam Syarie ialah orang yang mewakili seseorang di dalam sesuatu prosiding Mahkamah ianya mempunyai hak bertindak di dalam perkara-perkara yang menjadi kepastian di dalam prosiding tersebut. Ini termasuklah yang seseorang Peguam Syarie itu boleh membuat iqrar ke atas orang yang diwakilinya, ini adalah menurut pendapat golongan Hanafi kecuali Zufar, kerana pada pendapat mereka, tugas Peguam Syarie ialah untuk menerangkan kebenaran dan mensabitkannya dan bukanlah tujuannya hanya untuk bertikai di dalam sesuatu kes.

Menerangkan kebenaran, adakalanya dengan menolak dakwaan dan adakalanya menerima dan mengakuinya.
(Wahbah al-Zuhaili, al-Fiqh al-Islam Wa Adillatuhu. Daral al-Arabi-Fikr, Beirut. Jld. 5, Hal:157)

Orang yang menjadi wakil, boleh menerima upah dan boleh juga tidak menerimanya, kerana Rasullullah s.a.w. telah melantik wakil-wakil baginda untuk mengutip zakat dengan memberi mereka upah.  Jika perlantikan wakil dengan upah maka hendaklah di adakan adad, (Perjanjian) dengan demikian wakil itu samalah hukumnya seperti orang yang diberi upah.  Ini bermakna yang wakil tersebut hendaklah melaksanakan tugas yang diwakilkan kepadanya.  Ianya tidak boleh meninggalkan tugas tersebut tanpa keuzuran yang diharuskan.  Jika tidak disebutkan banyak mana upah yang akan diberikan kepada wakil, maka ianya ditentukan berdasarkan uruf dan kebiasaan atau upah yang sebanding dengannya (ajru al-mithei)
(Wahbah al-Zuhaili al-Fiqh Al-Islami, Wa Adillatuh.  Daral Al-Fikr al-Arabi, Beirut, Jld. 5, hal:151)
 
Guaman Syarie (Wakalah Bi Al-Khusumah)
 

Abdul Rahman al-Jaziri telah membincangkan kehadiran Peguam Syarie di dalam sesuatu perbicaraan sebagai wakil mana-mana pihak yang terlibat, oleh kerana tulisan beliau ini amat bermanfaat kepada kita di dalam perbincangan mengenai peranan Peguam Syarie ini dan sejauhmana ianya sesuai dengan Hukum Syara’, maka ada baiknya saya perturunkan sebahagian dari tulisan beliau itu.
Apabila seseorang melantik wakilnya di dalam sesuatu perbicaraan mengenai sesuatu kes, sama ada sebagai pendakwa atau yang didakwa, maka tindakan yang dilakukan oleh orang yang menerima wakalah (wakil) adalah sah.  Ini adalah pada dasarnya.  Walaupun demikian terdapat perbezaan pendapat di kalangan mazhab di dalam persoalan detail mengenai perkara ini.
1. Menurut golongan Maliki, adalah harus melantik wakil di dalam pertikaian (peguam) dengan beberapa syarat.
a) Hendaklah wakil atau orang yang menerima wakalah itu seorang sahaja.  Maka tidak sah melantik wakil lebih daripada seorang melainkan dengan persetujuan pihak yang satu lagi (lawan).
b) Wakil atau orang yang menerima wakalah itu hendaklah dilantik bukan daripada pihak lawan atau seterunya kerana apabila sabit lawan atau perseteruannya itu maka wakalah itu tidak sah kerana wakil itu melakukan perkara yang berlawanan dengan kepentingan orang yang melantiknya.
c) Yang melantik, hendaklah menentukan tugas-tugas wakilnya, oleh yang demikian jika ia mengatakan “aku melantik engkau sebagai wakil bagi semua urusan berkenaan guaman orang yang menentang aku” maka wakalah tersebut tidak sah kerana tidak dijelaskan kes yang mana satu.  Dan demikianlah juga tidak sah lantikan wakil jika tidak ditentukan siapakah wakil yang sebenar, seperti seseorang berkata: ”Mana-mana salah seorang dari kamu jika hadir di Mahkamah adalah wakil di dalam perbicaraan tersebut.”
d) Orang yang memberi wakalah itu hendaklah tidak menguruskan kesnya sendiri di hadapan hakim. Jika ianya telah melakukannya dan telah menghadiri tiga kali perbicaraan, pada masa itu tidaklah sah baginya mewakilkan kepada orang lain untuk menguruskan kesnya tersebut, kerana keburukan telah berlanjutan dan pertikaian telah meluas.  Walau bagaimana pun, ini dikecualikan dalam keadaan di mana jika orang itu mempunyai keuzuran selepas tiga kali perbicaraan mengenai kes tersebut seperti sakit, musafir atau iktikaf dengan syarat, dalam keadaan ini ia hendaklah bersumpah bahawa perwakilan dilakukan adalah atas sebab-sebab keuzuran tersebut. Jika ia enggan bersumpah maka ia tidak boleh mewakilkan kesnya itu kepada wakilnya melainkan dengan persetujuan dari pihak lawannya.
Seorang wakil tidak boleh menarik diri selepas ianya menghadiri tiga kali perbicaraan melainkan kerana keuzuran dan ia hendaklah bersumpah menyatakan bahawa ianya menarik diri adalah kerana keuzuran. Orang yang memberi wakalah juga tidak boleh memecat wakilnya yang telah menghadiri tiga kali perbicaraan. Jika wakilnya menghadiri perbicaraan kurang daripada tiga kali orang yang memberi wakalah boleh memecat atau wakil tersebut boleh menarik diri.  Pihak lawan boleh melantik bekas wakil dipecat atau menarik diri tersebut untuk menjadi wakilnya melainkan jika ada tanda-tanda yang menunjukkan bahawa bekas wakil tersebut memusuhinya dalam keadaan tersebut bekas wakil lawannya itu tidak boleh dijadikan wakilnya.

Apabila seseorang wakil telah menutup atau menyelesaikan kesnya di dalam sesuatu perbicaraan kemudian ia ingin meneruskan perbicaraan di dalam kes yang lain adakah perlu baginya mendapat wakalah yang baharu? Dalam keadaan ini wakil itu boleh meneruskan kes yang baru dengan wakalah lama dengan syarat wakalah tersebut bukan wakalah khusus mengenai kes khusus dan tempoh masa di antara ke dua kes itu tidaklah terputus lama hingga enam bulan, jika ini berlaku wakil tersebut memerlukan wakalah baharu.
Jika kes terdahulu mempunyai hubungan dengan kes kemudiannya maka wakil boleh meneruskan kes seterusnya tanpa memerlukan wakalah baharu walaupun jarak masa keduanya berpanjangan.

Wakil di dalam kes khusus tidak berhak melakukan iqrar bagi pihak yang diwakilinya melainkan jika perkara tersebut dinyatakan di dalam akad semasa memberi wakalah. Tetapi wakil yang diberikan kuasa penuh atau “wakalah mufawadah” berhak membuat iqrar bagi pihak yang diwakilinya jika menepati tiga syarat :
(1) Iqrar yang dibuat itu hendaklah munasabah dengan dakwaan, maka tidak boleh diterima iqrar di atas perkara yang melampau kemunasabahan.
(2) Iqrar hendaklah di dalam perkara yang menjadi pertikaian, seperti wakil dilantik di dalam kes hutang-piutang, lalu ia melakukan iqrar bahawa dia telah menerima sebahagian dari hutang tersebut.  Jika ia diwakilkan mengenai hutang tetapi wakilnya membuat iqrar mengenai kerosakan barang yang disimpan, maka iqrar tersebut tidak dilaksanakan.
(3) Wakil tersebut tidak boleh membuat iqrar bagi pihak yang melantiknya, jika terdapat tohmah, seperti orang yang mendapat faedah dari Iqrar wakil tersebut ialah sahabat atau kerabatnya.


2. Golongan Hanafi berpendapat, wakalah di dalam kes-kes guaman adalah harus.  Tidak ada bezanya melantik wakil seorang atau kerabatnya. Persoalan yang timbul ialah, perlantikan wakil di dalam pertikaian, adakah sah tanpa persetujuan lawan atau tidak? Terdapat tiga pendapat:
i) Sebahagian ulama Hanafi menyokong pendapat Imam mereka bahawa perwakilan di dalam pertikaian tidak harus melainkan dengan redha pihak lawan.
ii) Sebahagian lain menyokong pendapat ke dua sahabat Abu Hanifah, iaitu Mohammad dan Abu Yussof bahawa ianya adalah harus walaupun tanpa redha lawannya, sama ada ianya sebagai pihak yang mendakwa atau di dakwa.
iii) Sebahagian lain pula berpendapat bahawa ianya hendaklah diserahkan kepada kadi untuk menetapkannya.  Jika kadi mendapati dengan adanya perwakilan menyebabkan mudarat di dalam perbicaraan maka ia berhak menolak perwakilan keran memudaratkan perbicaraan atau merosakkan kepentingan lawannya tanpa hak.

Pendapat ke tiga ini adalah baik dengan syarat jika tiada tomah di atas kadi tersebut.  Jika ada tohmah maka pendapat ke dua adalah lebih wajar.
Keadaan ini berbeza jika pemerintah menjadi salah satu pihak di dalam pertikaian, ia boleh melantik wakilnya tanpa redha pihak lawan, tidak terdapat perbezaan pendapat di dalam Mazhab Hanafi dalam masalah ini.

Menurut Mazhab Hanafi, wakil di dalam pertikaian (wakil Khusumah) boleh melakukan ikrar dengan beberapa syarat :
 i) Hendaklah iqrar tersebut dilakukan semasa perbicaraan
ii) Hendaklah iqrar tersebut bukan di dalam kes-kes hudud dan qisas, Jika ia berikrar bagi pihak yang diwakilinya di dalam kes-kes tersebut maka ikrarnya itu tidak diiktibar.
iii) Hendaklah tidak dinaskan semasa memberikan wakalah yang wakilnya tidak diberikan hak melakukan ikrar.  Jika dinaskan sedemikian maka wakil tersebut tidak mempunyai hak melakukan iqrar.

Kesimpulan dari syarat ini ialah, jika wakil itu tidak diberikan hak melakukan iqrar maka boleh ia melakukan ingkar, jika ianya tidak diberikan hak melakukan ingkar maka bolehlah melakukan iqrar, kerana ianya tidak dihalang dari melakukan ikrar tetapi hanya dihalang melakukan ingkar.  Tetapi jika wakil tersebut tidak diberikan hak untuk  melakukan iqrar dan ingkar, ulama Hanafi berselisih pendapat mengenai sama ada sah wakalah khusumah ini atau tidak, ada yang mengatakan sah dan ada yang mengatakan tidak.
3. Golongan Hambali berpendapat, adalah diharuskan melantik wakil di dalam kes-kes guaman.  Walau bagaimanapun, wakil tersebut tidak harus menerima bayaran melainkan jika ianya dinyatakan di dalam akad. Jika ia tidak dinyatakan di dalam akad wakil tersebut dibenarkan meneruskan guaman sahaja tanpa bayaran kerana perlantikan wakalahnya tidak termasuk bayaran. Sebaliknya, jika wakalahnya menyebutkan bayaran ia mempunyai hak menjalankan guaman, kerana bayaran pada urufnya tidak akan ada jika tidak ada guaman.
4. Golongan Syafie berpendapat wakalah di dalam kes-kes guaman adalah sah. Tetapi wakil tidak boleh melakukan iqrar, suluh, menggugurkan hutang dan juga tidak boleh menerima hutang.  Melantik wakil untuk melakukan iqrar tidak sah walaupun ianya Di jelaskan oleh orang-orang yang melantik di dalam wakalahnya, ini adalah pendapat yang “al-asah” (yang lebih sah) di dalam Mazhab Shafie.
Jika seseorang berkata kepada seseorang yang lain, “aku wakilkan kepadamu untuk membuat ikrar bahawa bagi si pulan sekan banyak ..........” iqrar tersebut tidak sah kerana ianya hanya merupakan pemberitahuan mengenai hak sahaja, maka wakalah itu tidak boleh diterima kerana ianya seperti syahadah. Adakah orang yang membuat wakalah tersebut melakukan iqrar atau tidak?
Jawapannya ialah, ini bergantung kepada lafaz yang digunakan. Jika yang mewakilkan berkata kepada wakilnya :”Aku wakilkan kepadamu untuk membuat iqrar bagi pihakku bahawa bagi si pulan ke atasku satu ribu ringgit” maka sudah semesti ianya merupakan iqrar. Kerana dengan jelas ianya menyebutkan perkataan bagi “bagi pihakku” dan bukan setakat “aku mewakilkan”.
(Abdul Rahman al-Jaziri. Kitab al-Fiqh Ala Mahdib al-Arba’.Jld :3, Maktabal al-Tijariyyah, al-Kubra, Mesir, hal :200-204)

Jika diperhatikan, golongan Syarie tidaklah boleh menolak iqrar wakil di dalam guaman tetapi mereka amatberhati-hati dari segi lafaz wakalah. Ianya hendaklah jelas dan tepat dengan tujuan untuk melahirkan perbezaan di antara memberikan kuasa beriqrar bagi pihak yang melantik dengan hanya memberitahu tentang iqrar yang melantik wakil yang dilakukan dihadapan wakilnya. Dalam hal ini wakil tersebut hanya menyampaikan berita yan melantiknya telah melakukan iqrar, tetapi tidak bermakna yang ianya telah memberikan kuasa kepada wakilnya untuk melakukan iqrar bagi pihaknya.

Walau apapun dikatakan, namun jumhur ulama bersetuju pada dasarnya bahawa wakalah di dalam guaman lebih terkenal dengan “Wakalah Bi al- Khusumah” adalah harus.
 

Berdasarkan keseluruhan perbincangan di atas, ternyata pendapat al- Asah dalam Mazhab Syafie yang menyatakan bahawa wakil tidak boleh melakukan iqrar, suluh, mengugurkan hutangdan tidak boleh menerima hutang adalah berdasarkan wakil-wakil tadi tidak diberikan kuasa melakukannya kerana mereka hanya di beritahu oleh yang melantik mereka sebagai wakil bahawa ianya beriqrar di dalam perkara-perkara tersebut. Jadi apa yang di nyatakan oleh wakil-wakil tadi hanyalah sebagai pemberitahuan tentang iqrar yang mewakilkan. Tetapi jika yang mewakilkan memberi kuasa kepada wakilnya untuk melakukan iqrar bagi pihaknya maka tidaklah timbul keraguan mengenai kesahihan iqrar wakil di dalam perkara-perkara tersebut seperti yang telah dijelaskan tadi. Lafaz dan kandungan akad iqrar adalah penting di dalam menentukan kuasa wakil di dalam tindak tanduknya.

1 pendapat:

Syahid said...


Bismillahir Rahmanir Rahim

https://keep.line.me/s/Lb8uYYKl0c45XfYhErKpES9VipJoa6sXmUwle-HBC7I

Web: almawaddah.info

Salam wa rahmah

Kepada;

Yang dihormati para akademik, para rektor universiti dan para mufti.

Tan Seri/Datuk Seri/Datuk/Datin/ tuan/puan

Tajuk: "Penukaran al-Qur'an dangan mazhab Ahli Sunnah Wal-Jamaah sebagai asas agama Islam oleh para Mufti Malaysia adalah "un-Islamic" . Rencana ini adalah bagi tujuan kajian dan renungan.
Sila layari laman: almawaddah.info
Tidakkah Islam itu rahmatan li -l-Alamin?
Terima kasih.

Daripada;
Pencinta al-Qur'an sebagai asas agama Islam di Malaysia.
Kuala Lumpur
Malaysia.

Post a Comment

syukran kasiran