Sunday, September 26, 2010

for lawyer to be part 6

Peranan Peguam


Telah kita perturunkan tujuh contoh kes di mana ianya telah diputuskan setelah hakim mendengar hujjah-hujjah pihak yang terlibat yang dibantu oleh pembela-pembela mereka. Pada hakikatnya, mereka ini bukan sahaja membantu pihak-pihak tertentu, malahan lebih penting dari itu, iaitu membantu hakim agar berjaya menjatuhkan hukuman dengan adil, tepat dan berkesan.  Inilah juga peranan yang kita kenali hari ini sebagai peranan peguam di dalam perbicaraan.
Mungkin ada orang berkata bahawa membela orang rasuah itu adalah zalim, membela orang yang salah itu adalah zalim dan membela orang yang dituduh melakukan kezaliman adalah zalim, kerana membela kezaliman adalah zalim, menyokong kezaliman adalah zalim, bersekongkol dan bersubahat dengan orang zalim bererti zalim. Hal ini telah pun jelas dan ditegaskan dalam al-Quran seperti di dalam ayat-ayat yang disebutkan di atas tadi di antaranya ialah al-Baqarah ayat 270, al-A’raf ayat 150, Hud ayat 113, al-An’am ayat 68 dan an-Nisaa ayat 105. 

Mengolah dan menganalisa dengan lebih lanjut mengenai persoalan di atas dan hubungannnya dengan peranan Peguam Syarie maka perlulah kita melihatnya dari berbagai sudut di antaranya ialah orang yang mengatakan membela, bersekongkol dan bersubahat dengan orang yang dituduh atau membela yang telah disabitkan agar kesnya dikaji, didengar semula atau hukumannya diringankan oleh Mahkamah yang lebih tinggi adalah satu kezaliman merupakan pandangan orang yang tahu tentang undang-undang Islam, tetapi mungkin tidak terdedah atau terlatih bagaimana mentadbir undang-undang Islam. Jika ianya terlatih dari segi mentadbir undang-undang Islam tentu ia akan berkata bahawa, seseorang itu tidak bersalah melainkan setelah dibuktikan yang ianya bersalah.

Tugas peguam ialah membantu Mahkamah agar dapat menghukum dengan adil, tepat dan berkesan, sebenarnya peguam adalah merupakan pegawai Mahkamah, ianya membantu Mahkamah dari berbagai segi di antaranya ialah di segi undang-undang prosedur, fakta dan suasana serta lakar belakang kes dan orang yang bertikai yang berkaitan dengan kes tersebut agar dapat diperhatikan dan diambil kira oleh Mahkamah sebelum menjatuhkan hukuman.  Di dalam kes-kes rayuan, peranan yang sama juga dilakukan oleh peguam, mungkin dengan demikian hukuman yang telah dijatuhkan, jika terdapat kesalahan atau kelemahan ianya akan dapat diperbetulkan dan diperbaiki oleh Mahkamah yang lebih tinggi.
Itulah pada dasarnya, peranan dan tugas peguam dan hubungannya dengan anak guamannya disatu pihak dan mahkamah dipihak lain.  Peranan inilah yang pernah dimainkan oleh Sayyidina Ali di dalam kes perempuan yang telah beriqrar di hadapan Khalifah Omar, yang ianya telah melakukan zina, akhirnya perempuan ini telah dibebaskan dan iqrar di Mahkamah diketepikan. Ka’ab pula telah berjaya membantu Khalifah Omar memahami pengaduan yang dibuat oleh seorang perempuan mengenai suaminya yang gagal memberikan layanan yang wajib terhadapnya. Ibn Abbas telah membela perempuan yang telah pun disabitkan melakukan zina dan hendak direjam oleh Khalifah Othman dengan pembelaan tersebut Khalifah Othman telah membetulkan hukumannya dengan membebaskan perempuan tersebut. Adakah perbuatan para ulama sahabat ini zalim, adakah tindakan mereka ini bermakna menyokong, bersekongkol dan bersubahat dengan orang-orang zalim atau mereka redha pada kezaliman, dengan itu mereka juga menjadi zalim? Tentunya tidak dan inilah perbezaan di antara pendekatan mereka yang mengetahui atau terlatih mengenai pentadbiran undang-undang Islam dengan mereka yang tidak mengetahui atau terlatih mengenai pentadbiran undang-undang Islam dengan mereka yang tidak mengetahui atau tidak terlatih.

Pengertian Wakalah
Selain dari peranan tersebut di atas, Peguam Syarie  juga bertindak sebagai wakil anak guamannya di dalam sesuatu pertikaian. Ini bermakna, kesahihan lantikan Peguam Syarie, tugas dan tanggungjwab, kuasa dan peranannya adalah tertakluk kepada prinsip-prinsip wakalah. Umumnya hubungan di antara Peguam Syarie dengan anak guamnya adalah hubungan di antara wakilnya dengan yang mewakilkan berdasarkan prinsip wakalah di dalam Islam.
Perkataan wakalah adalah berasal daripada perkataan bahasa arab yang bererti menjaga, menjamin, melengkap dan menyerah. Apabila dikatakan seseorang itu “wakil” bererti korang itu adalah sebagai penjaga, penjamin, pelengkap atau seseorang itu diserahkan kepadanya sesuatu hal atau urusan dilakukannya. (Abdul Rahman Al-Jaziri, Kitab al-Fiqh Ala al-Madhabib al-Arba’ Dar al-Fikr, Bairu. Th. 1392, Hijrah: Jld:3)


Firman Allah S.W.T. yang bermaksud:
Janganlah kamu jadikan yang lain daripada Allah sebagai tempat menyerah urusan kepadanya.”
(Surah Al-Isra:2)

Wakil di dalam ayat di atas bererti tempat menyerah urusan dan bersandar.
Di dalam ayat yang lain Allah berfirman maksudnya:
“Kepada Allah sahajalah hendaknya orang-orang yang beriman itu bertawakkallah (berserah bulat-bulat kepada Allah).” (Surah Ali-Imran:122)
Bertawakal di dalam ayat di atas tadi beerti, menyerahkan diri sepenuhnya, kepada Allah dan mengharapkan pertolongannya.

Di dalam ayat yang lain Allah berfirman maksudnya:
“Lalu mereka berkata: Cukuplah Allah untuk menolong kami dan ia sebaik-baik wakil.”
(Surah A-li-Imran: 173)

Wakil di dalam ayat di atas tadi beerti terserah kepadanya segala urusan dan dialah yang menjaga dan menolong di dalam urusan tersebut.
Demikian beberapa potongan ayat yang menyebut perkataan tawakkal dan wakil yang memberi maksud, menjaga, menjamin, melangkau dan tempat menyerah. Dengan demikian dikatakan, seseorang itu dilantik menjadi wakil bererti, telah diserahkan kepadanya urusan untuk dijaga, dijamin dan dilaksanakan.
(Wahbah Zulhaili, al-Fiqh al-Islami. Dar al-Fikr al-Arabi, Bairut. Jld. 5, hal:150)

Demikianlah wakalah dari segi bahasa.  Dari segi istilah pula, golongan Hanafi menta’rifnya sebagai:
“Seseorang menggantikan seseorang lain di dalam sesuatu urusan yang diharuskan oleh syar’ dan dimaklumi atau memberikan kuasa kepada seseorang untuk bertindak dan menjaga sesuatu perkara sebagai wakil”.
Kebanyakan ulama pula menta’rifkannya sebagai :
“Seseorang memberikan kuasa kepada orang lain untuk melakukan sesuatu yang ia sepatut melakukannya di dalam perkara yang boleh dilakukan oleh orang yang menggantikannya semasa hayatnya”.
(Wahbah Al-Zulhaili, Al-Fiqh Al-Islami, Dar Al-Fikr al-Arabi, Bairut, Jld. 5, hal :150)


Takrif pertama adalah jelas menekankan:
1. Wakil adalah orang yang mengganti atau mengambil tempat seseorang lain untuk menjalan, melaksanakan atau menjaga sesuatu urusan.
2. Urusan yang dijalankan atau dilaksanakan oleh wakil tersebut hendaklah yang diharuskan oleh syara’.
3. Urusan tersebut juga hendaklah dimaklumkan dan dikenal pasti.
Takrif kedua pula menekankan:
1. Orang yang melantik wakil memberikan kuasa kepada wakilnya untuk bertindak bagi pihaknya di dalam perkara yang mana orang yang melantik itu pada asalnya boleh menjalan atau melaksanakannya.
2. Perkara yang hendak dilakukan atau tugas yang hendak dilaksanakan oleh wakil tersebut hendaklah yang boleh diserah dan dilakukan oleh wakil.
3. Wakalah tersebut berkuatkuasa semasa hayat orang yang mewakilkan.
Demikianlah ulasan ringkas mengenai dua definisi yang diperturunkan oleh Wahbah Zulhaili yang secara ringkas dapat memberikan gambaran kasar mengenai konsep wakalah, jika kita merujuk kepada kitab-kitab fiqh yang lain akan kita dapati banyak lagi ta’rif wakalah namun kedua-dua ta’rif yang diperturunkan tadi bolehlah dikatakan memadai buat peringkat perbincangan ringkas ini.
Dalil Pensyariatan Wakalah
Al-Quran
Ulama sepakat menyatakan bahawa Islam mengharuskan seseorang itu melantik wakilnya. Terdapat beberapa potong ayat dan hadith dijadikan oleh ulama sebagai dalil pensyariatan prinsip wakalah ini, diantaranya ialah:
Firman Allah yang bermaksud:
“Dengan demikianlah kami bangkitkan mereka dari tidur mereka supaya mereka bertanya sesama mereka, ‘beberapa lamakah kita telah diam (tidur) disini?” Mereka menjawab, “kita telah tidur selama sehari atau setengah hari.” Berkata pula yang lain “Tuhanmu lebih mengetahui berapa lama kamu telah tidur.  Sekarang utuslah salah seorang daripada kamu dengan membawa wang perak ini dan hendaklah ia melihat makanan yang bersih (baik) lagi halal lalu dibawanya kemari untuk rezekimu.  Hendaklah ia berlaku lemah-lembut dan janganlah ia memberitahu kepada seorang jua pun tentang halmu”. (Surah Al-Kahf:19)
Ayat ini menceritakan bahawa Allah telah menidurkan Ashabul Kahfi, selama beratus-ratus tahun lamanya dalam keadaan sihat dan selamat, demikian juga mereka bangkitkan dalam keadaan tidak terjejas sedikitpun, sehingga mereka sendiri tidak menyedari apa yang telah terjadi kepada mereka bahkan ada di antara mereka yang menyangka bahawa mereka tidur hanya selama sehari atau kurang dari itu.
(Tafsir Pimpinan Al-Rahman, Bahagian Ugama Jabatan Perdana Menteri, 1980, hal: 719)
Apabila mereka terbangun dari tidur, mereka telah mengutus seorang dari kalangan mereka sebagai wakil ke bandar dengan membawa wang perak untuk membeli belah makanan untuk dimakan.  Utusan tersebut bertindak sebagai wakil mereka untuk tujuan tersebut.  Ayat ini menjelaskan bahawa boleh melantik wakil di dalam sesuatu urusan seperti membeli-belah.
Di dalam ayat yang lain Allah berfirman maksudnya:
“Yusuf pun berkata: jadikanlah aku penjaga gedung perbendaharaan hasil bumi Mesir, sesungguhnya aku bersedia menjaganya lagi mengetahui cara mentadbirkannya.” (Surah Yusuf: 55)
Ayat ini menceritakan tentang Nabi Yusuf yang mendakwa dirinya mengetahui cara mentadbir perbendaharaan negara lalu memohon agar diberikan amanah untuk mentadbirkannya.  Tugas Nabi Yusuf ini adalah sebagai wakil kepada raja di dalam mentadbir dan menjaga perbendaharaan tersebut.
Di dalam ayat yang lain pula Allah berfirman maksudnya:
“Sesungguhnya sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang fakir dan orang miskin dan amil-amil yang mengurusnya dan orang muallaf yang dijinakkan hatinya dan orang yang berhutang dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah dan orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan.  Ketetapan hukum yang demikian itu ialah sebagai satu ketetapan datangnya dari Allah.  Dan ingatlah Allah amat mengetahui lagi amat bijaksana.” (Surah at-Taubah: 60)
Ayat di atas menjelaskan zakat yang dipungut itu dibahagi-bahagikan kepada golongan yang berhak seperti yang disebutkan oleh ayat tadi.  Yang memungut zakat ialah amil yang bertindak sebagai wakil.
As-Sunnah
Demikianlah beberapa potong ayat yang dijadikan oleh ulama sebagai hujah pensyariatan wakalah.  Terdapat beberapa hadith Rasullullah s.a.w. yang jelas menjadi dalil pensyariatan wakalah ini.
Jabir bin Abdullah berkata : Aku berhajat untuk keluar ke Khaibar lalu aku pergi berjumpa Baginda Rasullullah s.a.w. dan memberi salam kepada baginda, aku pun menceritakan mengenai hajatku untuk keluar ke Khaibar kepada baginda.  Mendengar demikian baginda bersabda : Jika kamu berjumpa wakilku, maka ambillah darinya lima belas gantang (gandum)jika ia meminta darimu bukti (yang engkau adalah wakilku) maka letakkanlah tanganmu ke atas bahunya (sebagai bukti).
(al-Syed al-Imam Muhammad bin Ismail al-Kahlani, Subul al-Salam.  Mustafa Al-Babi al-Halabi, Mesir, Jld. 3, hal:65)
Rasullullah s.a.w. juga telah melantik wakil-wakil baginda di dalam banyak perkara, sebagai contoh baginda telah melantik Aba Rafie’ sebagai wakilnya di dalam perkahwinan Maimunah, melantik al-Dhamiri sebagai wakil di dalam perkahwinan Umu Habibah, baginda juga telah melantik pegawai-pegawai sebagai wakil baginda untuk memungut zakat, mengelolakan askar dan mentadbir negeri-negeri dan daerah-daerah.
(Wahbah al-Zuhaili al-Fiqh al-Islam Dar al-Fikr, al-Arabi, Bairut, Jld. 5, hal 150)
Al-Ijma’
Tidak ada perbezaan pendapat di kalangan ulama mengenai keharusan dan pensyariatan wakalah.  Adalah diharuskan bagi seseorang itu melantik wakilnya untuk melaksanakan atau menjalankan tugas urusan bagi pihak yang mewakilkannya, selama mana ianya diharuskan syara’.  Di dalam kitab-kitab fiqh ulama memperkatakan dengan panjang lebar mengenai wakalah ini di dalam bab yang khusus.
(Jamal Sidiq al-Marsafawi, Nidzam Al-Qada, Fi al-Islam, Idarah al-Thaqafah Wa al-Nashr. Jami’ah  iman Muhammad, Saudi Arabia, 1984, hal 67)
Jika diperhatikan dengan teliti, memang tidak terdapat mana-mana mazhab yang menolak prinsip wakalah ini, kerana ianya adalah disyariatkan melalui al-Quran dan as-Sunnah. Seperti yang telah disebutkan tadi, lebih jauh dari itu Rasullullah s.a.w. juga telah melantik wakil-wakil baginda di dalam menjalankan tugas-tugas yang tertentu seperti yang telah disebut terdahulu. Demikianlah juga dengan Khulafa ar-Rashidin, para sahabat, tabiin dan seterusnya, sehinggalah ke hari ini prinsip wakalah terus diamalkan dan wakil-wakil terus dilantik di dalam berbagai perkara dan bidang.

Berdasarkan kenyataan di atas dapatlah dikatakan bahawa prinsip wakalah telah memainkan peranan penting di dalam pentadbiran undang-undang Islam dan kehakiman Islam. Ianya telah digunakan secara meluas. Di dalam perbincangan ulama mengenai wakalah ini mereka telah menyentuh perkara berikut: Definasi dan dalil pensyariatan wakalah, wakil yang diberi upah dan yang tidak diberi upah, rukun wakalah iaitu pihak atau orang yang mewakilkan, pihak atau orang yang menerima wakalah, perkara yang diwakilkan dan lafaz qakalah, jenis wakalah, iaitu wakalah khas dan am, wakalah mutlaq dan muqayyad, hukum tindak-tanduk wakil, wakalah di dalam guaman dan wakalah di dalam jual beli, adakah harus bagi seseorang wakil itu melantik orang lain menjadi wakilnya dan adakah harus melantik wakil lebih dari seorang.  Itulah di antara perkara-perkara penting yang dibincangkan oleh ulama apabila mereka memperkatakan tentang prinsip wakalah.

0 pendapat:

Post a Comment

syukran kasiran