Seperti yang kita maklumi, peguam di dalam kedua-dua keadaan tadi bertindak membantu Mahkamah agar setiap peringkat perbicaraan berjalan dengan baik, lancar dan agar semua fakta, prosedur dan undang-undang yang berkaitan dengan kes tersebut dapat dikemukakan dan seterusnya diperbahasakan dengan cara profesional dengan itu hakim dapat dibantu untuk menghukum dengan adil, tepat dan matang.
Persoalan seterusnya ialah adakah semua peguam mempunyai niat dan tujuan murni semasa mereka mengambil tanggungjawab membantu dan membela pelanggan-pelanggannya? Sama ada membantu menegakkan keadilan atau bersubahat, membela dan bersama dengan orang-orang yang zalim banyak bergantung kepada niat adapun cara mereka bertindak dan berhujah bolehlah dianggap sebagai gambaran kepada niat mereka?
Pada hakikatnya, persoalan-persoalan di atas tadi adalah merupakan sebahagian dari cabaran yang dihadapi oleh peguam-peguam syarie.
Sebagai contoh ialah:
Menurut Al-Baihaqi dalam suratnya bahawa diriwayatkan wanita itu telah datang kepada Saiyidina Omar membuat iqrar melakukan zina, tetapi bukan dengan kerelaannya kerana ianya haus keletihan kerana mengembala. Khalifah Omar membebaskan perempuan tersebut berdasarkan pandangan Saiyidina Ali atas alasan darurat.
(Ibn Qayyim al-Jauziah, al-Turuq al-Hukmiyyah, Matba’ah al-Madani. Kahirah, hal:79)
Di dalam kes ini, Saiyidina Ali telah bertindak melakukan pembelaan bagi perempuan tersebut. Walaupun perempuan tersebut telah melakukan iqrar di hadapan hakim iaitu Khalifah Omar, tetapi Saiyidina Ali yang bertindak sebagai pembela perempuan tersebut merasakan iqrar tersebut tidak wajar diterima sebelum ia dipastikan tiada tohmah dan syubhah. Saiyidina Ali telah berjaya membuktikan bahawa walaupun perempuan tersebut membuat iqrar melakukan zina tetapi keadaan di mana zina tersebut dilakukan adalah perlu dipertimbangkan. Zina dilakukan kerana terpaksa, iaitu demi untuk menyelamatkan jiwa dari mati kehausan.
Fakta ini telah berjaya diketengahkan, dianalisa dan diberikan ulasan hukumnya menurut syariat Islam oleh Saiyidina Ali, alasan-alasan undang-undang berdasarkan konsep darurat telah berjaya meyakinkan hakim – Khalifah Omar – akhir perempuan tersebut didapati tidak bersalah walaupun iqrar telah dilakukannya di Mahkamah. Perlu diingat, kes ini menunjukkan bahawa sesuatu iqrar itu diterima setelah dipastikan bahawa ianya dilakukan secara rela hati, tiada syubhah dan tohmah, yang membuat iqrar mengetahui kesan iqrar dan perlu diteliti suasana, latar belakang dan fakta kes yang diiqrarkan itu.
3) Sayyidina Abdullah bin Abbas berpendapat bahawa jangkamasa susuan dan mengandung ialah tiga puluh bulan, jika jangkamasa minimum mengandung enam bulan bererti jangkamasa susuan ialah dua puluh empat bulan, jika jangkamasa mengandung sembilan bulan bererti susuan ialah dua puluh satu bulan. Ibn Abbas juga berpendapat bahawa jangkamasa minimum mengandung ialah enam bulan. Pada suatu hari seorang perempuan telah berkahwin dan melahirkan anak enam bulan selepas ianya berkahwin, ianya telah dihadapkan kepada khalifah Othman, maka khalifah Othman menjatuhkan hukuman rejam, apabila khalifah hendak memulakan rejam tersebut, Ibn Abbas pun datang dan berkata, kepada Khalifah Othman: “Jika perempuan mendakwa tuan berdasarkan Kitab Allah nescaya ianya menang! Allah telah berfirman (maksudnya ): “Kandungan dan susuan (bagi kanak-kanak) ialah tiga puluh bulan” (Al-Ahqaf: 46: 15) Dan di dalam ayat yang lain pula Allah berfirman (maksudnya): “Ibu-ibu yang menyusukan anaknya yang ingin menyusukan dengan sempurna ialah selama dua tahun (dua puluh empat bulan) (Al-Baqarah): 2: 233) yang demikian, jangkamasa (minimum) mengandung ialah enam bulan dan jangkamasa susuan ialah dua puluh empat bulan, Mendengar keterangan tersebut Khalifah Othman pun melepaskan perempuan tersebut.
(Abi Bakr, Muhammad bin Abdullah, Ibn Arabi, Ahkam al-Quran. Matbaah Isa al-Halabi. Mesir, Th: 1967 jld: 4 hal: 1685)
Berdasarkan keterangan di atas adalah jelas bahawa Ibn Abbas berjaya membantu perempuan tersebut sehingga ianya terlepas dari hukuman rejam yang telah dijatuhkan ke atasnya oleh Khalifah Othman kerana kegagalannya untuk membuktikan yang ianya mengandung adalah hasil dari persetubuhan yang halal dengan suaminya kerana ianya melahirkan anak dalam jangkamasa yang singkat dari lazimnya iaitu hanya selepas enam bulan dari perkahwinannya, kerana Ibn Abbas adalah ahli dan pakar dari segi hukum syara’ sehingga beliau dapat berhujjah dan mengeluarkan hukum berdasarkan beramal dengan kedua-dua ayat dari surah al-Ahqaf dengan al-Baqarah.
Ini jelas bahawa peguam-peguam boleh merayu di atas mana-mana keputusann Mahkamah jika ada pihak-pihak yang tidak berpuas hati bagi pihak anak guamannya selagi dibenarkan oleh Hukum Syara’ dan dalam bidang ini peguam hendaklah mengetahui yang lebih baik ialah, pakar di dalam Hukum Syara’, dengan itu ianya akan dapat berfungsi dengan lebih berkesan di dalam melaksanakan dan memainkan peranannya sebagai peguam.
4) Khalifah Omar telah pergi menemui seorang perempuan yang menaruh perasaan terhadap seorang pemuda. Keghairahan perempuan ini terhadap pemuda tersebut terlalu memuncak, tetapi pemuda tersebut telah menolak keinginan perempuan tersebut. Ini menimbulkan kemarahan dan sakit hati, lalu perempuan tersebut membuat tipu daya dengan memecahkan telur, isi kuningnya dibuang dan cecair putihnya dicurahkan di kainnya dan bakinya dilumurkan dikedua pahanya. Setelah selesai perempuan tersebut bergegas mendapatkan Khalifah Omar sambil memekik, dengan berkata: “Pemuda ini cuba mencabul kehormatan, menjatuhkan maruah dan memalukan saya di hadapan keluarga saya, inilah kesan dari perbuatannya itu!” Khalifah Omar pun bertanya kepada wanita-wanita yang berada di tempat itu, mereka berkata: “Sesungguhnya di kain dan badan perempuan itu terdapat kesan air mani!”
Khalifah Omar hampir-hampir mengenakan hukuman kesiksaan ke atas pemuda tersebut tetapi nasibnya baik kerana ianya telah memekik meminta tolong sambil berkata: “Wahai Amir al-Mu’minin, pastikanlah kebenaran kes saya ini. Demi Allah aku telah tidak melakukan sesuatu yang buruk dan juga tidak langsung berniat untuk melakukannya, sebenarnya dialah yang cuba memperdayakana aku, nasib baik aku telah berjaya menjaga diriku dari berbuat perkara buruk itu.”
Khalifah Omar pun berkata: “Wahai Aba al-Hassan (Sayyidina Ali) apakah pendapat tuan di dalam kes mereka berdua ini?” Sayyidina Ali memerhatikan kesan cecair yang ada di kain perempuan itu. Selepas memerhatikannya Sayyidina Ali meminta agar diberikan air yang sedang mendidih. Setelah diberikan air mendidih tadi Sayyidina Ali pun mencurahkannya ke kain yang terkena cecair yang didakwa sebagai air mani tadi, cecair tersebut menjadi beku dan putih, melihat demikian Sayyidina Ali mengambil dan mencium dan merasanya. Beliau mendapati rasanya sama seperti rasa putih telur, dengan itu beliau pasti ianya bukan mani tetapi putih telur. Sayyidina Ali pun mengherdik perempuan tersebut. Akhirnya perempuan itu mengakuinya. (Ibn Qayyim al-Jauziyah, al-Turuq al-Hukmiyah. Matba’ah al-Madani. Qahirah: hal 70)
Berdasarkan kes di atas tadi adalah jelas Sayyidina Ali telah membuat pembelaan bagi pemuda yang difitnah itu, pembelaan berdasarkan kepakaran di segi undang-undang, pengalaman dan yang lebih penting ialah pendapat beliau sebagai pakar di bidang ilmu tertentu yang tidak banyak diketahui orang iaitu, cara membezakan dan menentukan sama ada cecair di kain dan peha perempuan tersebut mani atau putih telur, ternyata melalui pendapatnya sebagai pakar beliau berjaya membuktikan yang cecair tersebut adalah putih telur dan bukan mani. Pendapat ini telah berjaya membantu hakim untuk tidak menjatuhkan hukuman kesiksaan ke atas pemuda tersebut dengan itu keadilan dapat ditegak dan dipastikan.
Peranan seperti ini juga merupakan peranan yang dimainkan oleh peguam-peguam dan juga pakar-pakar di bidang tertentu di dalam kes-kes tertentu.
0 pendapat:
Post a Comment
syukran kasiran