Sunday, April 11, 2010

sumber administrative law

Umumnya sumber bagi undang- undang pentadbiran ialah segala undang- undang dan prinsip- prinsip yang berkaitan dengan pentadbiran. Secara khususnya, ia boleh diperolehi daripada:
1) Perlembagaan Persekutuan
2) Statut- statut dan perundangan- perundangan kecil.
3) Kes- kes yang berkaitan
4) Konvensyen- konvensyen
5) Arahan- arahan kementerian
6) Surat- surat pekeliling berkenaan pentadbiran


PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN
Perihal perkhidmatan awam dan anggotanya telah disebut dalam Perlembagaan Persekutuan melalui bahagian 10 Perkara 132 sehingga Perkara 148. (Perlembagaan Persekutuan. 2008. 180). Misalnya, Perkara 135 (2) berkenaan tiada seorang anggota mana- mana perkhidmatan yang tersebut di atas itu boleh dibuang kerja atau diturunkan pangkat dengan tidak diberi peluang yang munasabah untuk didengar.


STATUT- STATUT DAN PERUNDANGAN KECIL
STATUT- STATUT
Statut- statut merupakan sebahagian daripada sumber perundangan di Malaysia. Ia terdiri daripada tiga kompenan iaitu akta yang digubal oleh Parlimen, enakmen yang digubal oleh Dewan Undangan Negeri kecuali Sarawak seterusnya ialah ordinan.

Sebagai contoh, undang- undang Persekutuan boleh membuat peruntukan bagi mana- mana suruhanjaya yang ditubuhkan bagi mentadbir hal- ehwal perkhidmatan awam. Ia merujuk kepada seksyen 18 Akta Acara Kewangan (Akta 61) yang member kuasa kepada mana- mana suruhanjaya mengenakan surcharge kepada seorang pegawai kerajaan yang bertanggungjawab terhadap kehilangan orang awam.

PERUNDANGAN KECIL
Lazimnya dalam melaksanakan pentadbiran sesebuah negara, kuasa- kuasa dan tanggungjawab adalah diagihkan kepada badan- badan dan kementerian- kementerian yang berkenaan melalui perundangan kecil. Di Malaysia, Parlimen dan Dewan Perundangan Negeri boleh memberikan kuasa atau mewakili sebahagian daripada perundangan mereka kepada seseorang atau sesuatu badan, lazimnya kepada Yang Dipertua Agong, seorang menteri dan pihak berkuasa tempatan. Contohnya kuasa yang diberikan oleh Parlimen kepada menteri atau pihak berkuasa tempatan.
Menurut seksyen 3 Akta Tafsiran 1967 (Akta 388) perundangan kecil didefinisikan sebagai:

“apa- apa perisytiharan, kaedah, peraturan, perintah, pemberitahuan, perundangan kecil atau suratan lain yang diperbuat mengikut mana- mana ordinan, enakmen, atau kuasa sah yang lainnya dan mempunyai kuatkuasa perundangan”.

Peruntukkan di atas telah membolehkan dibuat peraturan- peraturan berkenaan undang- undang substantif dan peraturan- peraturan adjektif (undang- undang tatacara). Perintah pula ialah suatu instrumen untuk mengeluarkan arahan terhadap kuasa eksekutif atau kuasa untuk melaksanakan keputusan yang melibatkan tindakan undang- undang.
Salah satu faedah perundangan kecil ialah kerana ia mudah dipinda dalam keadaan yang memerlukan kelonggaran pindaan seperti kawalan matawang, cukai import dan sebagainya. Dalam keadaan sedemikian mungkin penting bagi seseorang menteri atau kuasa berkenaan untuk bertindak segera tetapi dengan kuasa yang sama seperti badan perundangan.

Kuasa yang diberikan melalui perundangan kecil tidak boleh dipratikkan sewenang- wenangnya kerana ia tertakluk kepada kawalan- kawalan seperti:
  1. Perundingan awal antara menteri atau kementeriannya dengan mana- mana badan penasihat sebelum sesuatu peraturan dibuat..
  2. Publisiti melalui penyiaran dalam warta kerajaan dan jika ia tidak diwartakan maka ia dianggap tidak sah.
  3. Kawalan Parlimen terhadap orang yang dikuatkuasakan dengan memansuhkan peraturan atau akta berkenaan jika didapati tidak relevan malah kesahihannya boleh dicabar jika:
·         Bercanggah dengan undang- undang induk. Contohnya perundangan kecil berkenaan Undang- undang Kecil Kawalan dan Penyeliaan Tempat Makan dipertanggungjawabkan membuat peraturan berkenaan tempat makan. Kuasa tersebut hendaklah dijalankan dengan tidak menyalahi Akta Kerajaan Tempatan 1976.
Bercanggah dengan prosedur perundangan. Antara prosedur yang perlu diikuti ialah tanggungjawab untuk berbincang dengan organisasi yang mempunyai kepentingan, tanggungjawab member masa yang sesuai untuk bertindak, tanggungjawab member notis umum dan sebagainya.


KES- KES YANG BERKAITAN
Had bidang kuasa budi bicara sesuatu kementerian kerajaan telah dibincangkan dalam kes Merdeka University berhad lwn. Kerajaan Malaysia (1981) 2 MLJ. Hlm.356. dalam kes ini perayu adalah sebuah syarikat yang ditubuhkan melalui inisiatif empat ribu persatuan cina dan pertubuhan- pertubuhan pendidikan telah merayu supaya permohonan mereka untuk menubuhkan sebuah universiti yang menggunakan bahasa cina sebagai bahasa pengantar diluluskan, walaupun ianya bertentangan dengan polisi pendidikan nasional. Alasan mereka adalah penubuhan tersebut perlu untuk manfaat orang cina. Walaubagaimanapun, dalam pengadilannya Hakim Abdoolkader dan Raja Azlan Shah memutuskan bahawa seksyen 6 Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 yang memberi kuasa kepada Yang Dipertua Agong (bertindak atas nasihat kementerian) jika berpuas hati untuk manfaat dan kepentingan nasional, meluluskan penubuhan universiti tersebut mestilah dibuat tanpa membelakangkan semakan kehakiman.  
Dalam kes Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur lwn Sri Lempah Enterprise Sdn. Bhd (1979) 1 MLJ 135. Hakim Raja Azlan menegaskan bahawa setiap kuasa perundangan mesti tertakluk kepada undang- undang untuk mengelakkan sebarang kuasa pemerintahan yang diktator.

Dalam kes Surinder Singh Kanda lwn. Government of the Federation (1962) MLJ. 169. Privy council telah memutuskan bahawa pembuangan kerja yang dipersoalkan dalam kes itu tidak sah kerana anggota perkhidmatan awam itu telah dibuang kerja oleh pesuruhjaya polis yang tidak berkuatkuasa berbuat demikian. Sebaliknya perlantikkan seorang anggota perkhidmatan yang sama pangkatnnya di bawah kuasa suruhanjaya pasukan polis. Di samping itu, ia dianggap tidak sah kerana anggota perkhidmatan awam itu tidak diberi haknya untuk didengari oleh kerana salinan laporan badan penyiasatan tidak diberi kepadanya. Sebaliknya, salinan laporan tersebut telah diberikan kepada pegawai yang dilantik untuk mendengar dan memutuskan tentang tuduhan tersebut. 


KONVENSYEN- KONVENSYEN 
Konvensyen atau amalan dan adat resam negara yang mustahak dan telah diamalkan sekian lama kemudian ia menjadi sebahagian daripada perlembagaan yang mesti dipatuhi namun ia tidak dikanunkan. Dalam pentadbiran ia dapat dilihat apabila kedudukan dan kuasa jemaah menteri serta raja ditentukan oleh konvensyen sebagaimana yang berlaku di United Kingdom. Namun di Malaysia kebanyakan konvensyen yang digunapakai sebelumnya telah dikanunkan dalam Perlembagaan Persekutuan. Misalnya, Perkara 55(1) menyatakan bahawa jemaah menteri adalah tanggungjawab kolektif dalam Parlimen. Perkara 43 (2)(a) berkenaan menteri- menteri lain dalam cabinet adlah dilantik oleh YDPA atas nasihat Perdana Menteri dan mereka mestilah samada ahli Dewan Rakyat atau ahli Dewan Negara. Oleh itu, konvensyen perlu dipatuhi walaupun ia tidak boleh dijadikan asas prosiding di mahkamah. Sebaliknya remedi bagi pemecahan terhadap konvensyen lebih bersifat tekanan dalam politik daripada jemaah menteri dan rakyat. 

ARAHAN- ARAHAN KEMENTERIAN
Kuasa dan tanggungjawab yang diberikan kepada mana- mana kementerian lazimnya dijalankan oleh para pegawai yang bertanggungjawab dibawah kementerian berkenaan. Justeru itu, tindakan pegawai kerajaan berkenaan dianggap sebagai mewakili kementeriannya. Seksyen 6 Akta Pembahagian Kuasa- kuasa 1956 (Akta 358) menyatakan bahawa kuasa sesebuah kementerian boleh dijalankan oleh mana- mana pegawai di bawah penguasaannya dan ia bertindak sebagai wakilnya dan menggunakan nama kementerian tersebut. Peruntukkan ini mengiktiraf sesebuah kementerian terhadap para pegawai dan kakitangan di bawah kawalannnya. Ia dianggap wajar untuk dilaksanakan sebagaimana prinsip undang- undang yang diamalkan oleh Inggeris berkenaan tanggungjawab kementerian bersama kakitangannya.
            Dalam kes- kes yang melibatkan arahan yang jelas oleh kementerian maka pegawai yang melaksanakannya akan berada di bawah perlindungan kementerian berkenaan jika timbul sebarang persoalan mengenainya. Malah kementerian berkenaan juga mesti membela pegawai tersebut jika mereka bertindak jujur mengikut polisi yang ditetapkan oleh kementerian. Sebaliknya jika pegawai berkenaan melakukan kesalahan atau menyebabkan beberapa kelambatan tetapi tidak menyentuh mengenai isu- isu penting sesuatu polisi dan tidak juga melibatkan tuntutan hak individu secara serius, kementerian tersebut hendaklah bertanggungjawab dan mengakui kesalah tersebut walaupun ia tidak terlibat secara langsung. Seterusnya kementerian tersebut hendaklah mengambil langkah memperbaiki kesalahan tersebut tanpa mendedahkan pegawainya kepada kritikan awam.
Jika tindakan yang dilakukan oleh pegawainya tanpa kebenaran dan pengetahuan pihak kementerian, dan tindakan tersebut patut disalahkan maka pihak kementerian tidak bertanggungjawab untuk membelanya. Walau bagaimanapun pegawai tersebut tetap bertanggungjawab terhadap Parlimen atas salah lakunya.
 SURAT- SURAT PEKELILING BERKENAAN PENTADBIRAN
Dalam menentukan bidang kuasa sesuatu kementerian perkataan “shall” dan “may” yang dinyatakan dalam peruntukkan- peruntukkan perundangan memainkan peranan yang penting kerana ia akan menentukan samada kuasa yang diberi itu adalah tanggungjawab yang perlu dipatuhi atau hanya terpulang kepada budi bicara kementerian tersebut untuk melaksanakannya. Penggunaan perkataan “shall” adalah merujuk kepada tanggungjawab atau kewajipan untuk melaksanakan arahan tersebut.
            Walaupun terdapat kuasa budi bicara yang diberikan semasa melaksanakan namun ia masih tertakluk kepada undang- undang. Contohnya, kuasa- kuasa yang dinyatakan dalam peruntukan perundangan hanya boleh dijalankan mengikut arahan- arahan yang telah dinyatakan oleh Parlimen. Malah kuasa- kuasa tersebut hendaklah dilaksanakan secara muhasabah dan bukannya tidak tetap atau sewenang- wenangnya. Disamping itu, syarat serta prosedur yang dinyatakan perlulah dipatuhi.

sumber:
Prof. Madya Dr. Abdul Samat Musa. Zuliza Kusrin. 2002. Undang- undang Perlembagaan dan Pentadbiran

Wan Azlan Ahmad. Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood. 2006. Administrative Law in Malaysia.

Kemayan. Undang- undang Perlembagaan dan Pentadbiran. Fakulti Undang- undang.

0 pendapat:

Post a Comment

syukran kasiran