Sunday, April 11, 2010

hirabah@ rompakan

Rompak dari sudut bahasa ialah perbuatan menghalang atau menyekat laluan jalan yang dilakukan oleh sekumpulan orang. Dari sudut istilah pula, mazhab Syafii mendefinisikan sebagai keluar untuk mengambil harta benda orang lain dengan menggunakan kekuatan atau bertujuan untuk membunuh orang itu atau menakutkannya di suatu tempat yang sukar bagi mangsa itu mendapat bantuan. Menurut pendapat Ibnu Munzir ia meliputi setiap perbuatan yang bertujuan untuk mengambil harta kepunyaan orang lain dengan kekerasan semasa pemiliknya dalam keadaan biasa dan tidak mampu meminta pertolongan.

Sesuatu jenayah rompakan yang boleh dihukum di bawah peruntukkan hukum hudud adalah tertakluk kepada syarat tertentu yang dilihat melalui empat aspek iaitu latarbelakang perompak, mangsa, pemilikan harta rompakan dan tempat berlakunya rompakan.

Terdapat empat syarat yang diletakkan terhadap perompak iaitu Islam, mukalaf, lelaki, dan mempunyai kekuatan. Ulamak memaksudkan syarat Islam ialah orang yang terikat dengan hukum syarak termasuk kafir dhimmi dan murtad. Hal ini kerana golongan ini mengetahui tentang hukuman yang berkuatkuasa dalam negara Islam. Mukalaf pula merupakan pensyaratan bahawa telah wujud penyerahan tanggungjawab terhadap setiap tindakan dan perbuatan yang dilakukan. Namun syarat yang meletakkan lelaki, ulamak bersepakat bahawa ia bukanlah syarat yang khusus mengikut zaman sekarang kerana terdapatnya senjata moden yang memungkinkan wanita menggunakannya. Pendapat ini disokong oleh mazhab Syafii dan Hanbali. Ulamak juga tidak mengehadkan kekuatan pada senjata sebaliknya segala perbuatan yang mampu mengalahkan mangsa.

Orang yang dirompak adalah Islam atau kafir dhimmi. Sebaliknya sekiranya kafir harbi dan musta’man maka hukuman hudud tidak dikenakan ke atas perompak kerana harta musta’man tidak mempunyai pemeliharaan (ismah) yang mutlak tetapi mengandungi syubhah pengharusan. Bagi kafir dhimmi pula ia dihukumkan kerana memandangkan mereka termasuk dalam kelompok rakyat negara Islam maka harta dan nyawa mereka perlu dijamin. Seterusnya, mangsa disyaratkan berhak di atas harta rompakan samada berkuasa penuh atau pemegang amanah. Jika tidak ia dianggap sebagi harta curi dan dikenakan hudud keatasnya Malah mangsa juga tidak mempunyai kekuatan serta tiada bantuan diperolehi. Namun, disyaratkan bahawa perompak dan mangsanya tidak mempunyai pertalian keluarga dan hubungan silaturrahim. Hal ini kerana pada kebiasaannya sesama anggota keluarga tidak perlu keizinan tertentu dalam penggunaan dan penjagaan harta kerana wujudnya keizinan tidak zahir.

Harta yang dirompak merupakan harta yang bernilai dan tiada kesamaran milik. Mazhab Hanafi, Syafii, dan Hanbali masing- masing telah mensyaratkan nisab dalam harta rompakan yang kadarnya itu sama dengan kes curi dan tidak berubah mengikut penjenayah yang terlibat. Harta itu dalam kekuasaan dan terjaga sepenuhnya tanpa mengandungi kesamaran yang diharuskan mencapai jumlah (nisab) yang sempurna.

Mazhab Syafii tidak meletakkan tempat sebagai syarat untuk pensabitan hukuman hudud terhadap penjenayah. Sebaliknya menurut mazhab Hanafi dan Hanbali telah mensyaratkan tempat yang lapang dan sunyi serta jauh dari orang ramai. Hal ini kerana tempat seumpama ini menyukarkan mangsa untuk mendapatkan bantuan.Rompakan itu juga telah berlaku dalam Negara Islam kerana sekiranya ia berlaku dalam negara musuh (dar al- harb) hudud tidak diwajibka kerana pemerintah tidak memepunyai jangkauan kuasa untuk melaksanakan hukum hudud. Jarak antara mereka dengan bandar adalah sejauh satu perjalanan jika kurang mereka bukanlah penyekat jalan dan syarat ini telah diperakui oleh Imam Hanifah dan Muhammad.

Kes rompakan disabitkan dihadapan hakim samada dengan saksi ataupun pengakuan setelah terdapatnya dakwaan yang benar dari pemegang hak yang sah. Ia tidak dibuktikan dengan pengetahuan kadi dan keengganan orang yang dituduh untuk bersumpah. Bukti pengakuan disyaratkan berulang- ulang sebanyak dua kali menurut ulamak Hanbali dan Abu Yusuf.

Sekiranya perompak mengambil harta sekaligus membunuh mangsa, maka menurut mazhab syafii dan hanbali telah menghukumkan bahawa penjenayah hendaklah dihukum bunuh kemudian disalib. Hukuman ini berdasarkan pentafsiran surah al- maidah oleh ibnu abbas. Sebagaimana firman Allah yang bermaksud:

إِنَّمَا جَزَٲٓؤُاْ ٱلَّذِينَ يُحَارِبُونَ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُ ۥ وَيَسۡعَوۡنَ فِى ٱلۡأَرۡضِ فَسَادًا أَن يُقَتَّلُوٓاْ أَوۡ يُصَلَّبُوٓاْ أَوۡ تُقَطَّعَ أَيۡدِيهِمۡ وَأَرۡجُلُهُم مِّنۡ خِلَـٰفٍ أَوۡ يُنفَوۡاْ مِنَ ٱلۡأَرۡض‌ۚ
“hukuman bagi orang- orang yang memerangi allah dan rasulnya dan membuat kerosakan di bumi, hanyalah dibunuh atau disalib atau dipotong tangan dan kaki secara bersilang atau diasingkan dari tempat kediaman.” (al- maidah:33).

Namun jika perompak hanya melakukan jenayah membunuh semasa melakukan rompakan, ulamak mazhab Hanafi, Syafii dan Hanbali telah mewajibkan hukuman qisas meskipun telah mendapat keampunan dari pihak mangsa. Sebaliknya, sekiranya orang islam merompak orang bukan islam maka hukuman bunuh tidak dijatuhkan kerana ketidaksamaan taraf sebaliknya hanya dikenakan ta’zir.

Dalam mazhab Hanafi, Syafii, dan Hanbali, hukuman ke atas perompak yang mengambil harta benda sahaja tanpa membunuh mangsa ialah hukuman potong tangan kiri dan kanan secara songsang.

Seterusnya berkenaan pensabitan hukuman ke atas perompak yang menakutkan dan menghalang perjalanan sahaja ialah hukuman ta’zir dihukumkan ke atas salah lakunya seperti buang negeri. Hal ini telah disepakati oleh ulamak dalam mazhab syafii.
Turut dibincangkan mengenai hukuman terhadap individu yang menolong dan bekerjasama semasa rompakan berlaku. Pada pandangan menurut mazhab Syafii berkata bahawa tidak diwajibkan hudud ke atas orang yang memberi kerjasama semata- mata kerana menyertai kumpulan itu sahaja. Hukuman yang dikenakan tidak lebih daripada ta’zir. Hal ini kerana perompak didefinisikan orang yang melakukan bukannya yang memberi sokongan sahaja.

sumber:
Sabri bin Abdul Rahman. 1987. Tesis: Jenayah Curi dan Rompak Kajian Perbandingan dalam Empat Mazhab Fiqh Islam.

Wahbah al- Zuhaili. 1997. Fiqh dan Perundangan Islam

0 pendapat:

Post a Comment

syukran kasiran