Tuesday, November 3, 2009

peguam syarie bukan kelas ke-2

Digugurkan sebagai Peguambela Peguamcara tidak layak sebagai Peguam Syarie.
Oleh Musa Awang
Peguam Syarie adalah peguam yang beramal di Mahkamah Syariah. Sebagaimana peruntukan Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan yang memberikan hak kedudukan sama taraf antara Mahkamah Syariah dengan Mahkamah Sivil, demikian juga dengan kedudukan dan taraf Peguam Syarie adalah sama seperti Peguambela dan Peguamcara. 
Peguam Syarie di Mahkamah Syariah adalah lebih unik dan sistematik kerana ia berasaskan kepada prinsip `wakalah bi al-khusumah’. Wakalah, perkataan bahasa Arab yang bererti menjaga, melengkapkan dan menyerah. Apabila seseorang itu dikatakan `wakil’ ertinya orang itu adalah sebagai penjaga, penjamin atau pelengkap ataupun kepadanya diserahkan sesuatu hal untuk dilakukannya. 
Banyak dalil dan bukti bahawa Islam mengiktiraf peranan peguam Syarie dalam mewakili anak guam di dalam suatu pertikaian. Antaranya dalam kisah Nabi Yusuf a.s. sebagaimana yang diceritakan dalam al-Quran (Surah Yusuf : 27), apabila Allah s.w.t. berfirman menunjukkan cara yang dicadangkan oleh keluarga Zulaikha bagi membuktikan tuduhan Nabi Yusuf cuba memperkosa Zulaikha. Dalam kisah ashabul kahfi yang tertidur selama beratus-ratus tahun, dan apabila terjaga, mereka telah mengutus seorang daripada mereka sebagai wakil untuk membeli makanan (Surah al-Kahfi : 19). Juga dalam kisah Nabi Yusuf a.s. yang menawarkan diri baginda sebagai wakil kepada raja untuk mentadbir dan menjaga perbendaharaan Mesir, kerana baginda mempunyai keahlian dan kepakaran dalam perkara tersebut. (Surah al-Kahfi : 55). 
Diriwayatkan bahawa Baginda  Rasulullah s.a.w. pernah mengutus sahabat bernama al-Su`at untuk mengutip zakat. Baginda juga mewakilkan sahabat `Amru bin Umaiyyah al-Damiri dalam menikahkan Ummu Habibah bin Abu Sufyan. Dalam satu kisah pada zaman Umar r.a., seorang wanita datang kepadanya dan membuat ikrar yang dia telah berzina. Ali r.a. kemudiannya bertindak sebagai peguam, telah meneliti kes tersebut dan didapati perempuan tersebut telah diperkosa. Penzinaan berlaku bukan dengan kerelaannya tetapi untuk menyelamatkan dirinya dari kebuluran (menukarkan susu kepunyaan seorang lelaki dengan dirinya). Wanita itu telah dibebaskan. Dalam kisah yang lain, seorang wanita yang didakwa dicabul oleh seorang lelaki, dan membawa bukti air mani ditubuh dan kainnya Umar r.a. telah meminta pendapat Ali. Ali mengambil air mendidih dan disiramkan ke atas bekas yang didakwa air mani lelaki tersebut. Cecair itu menjadi beku dan putih dan rasanya seperti telur. Akhirnya wanita itu mengakui itu adalah tuduhan palsu dan tipu dayanya semata-mata.                                                                   
Peguam Syarie adalah dilantik oleh Majlis Agama Islam, menurut Kaedah-Kaedah Peguam Syarie dan Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri. Menurut Seksyen 9, Kaedah-Kaedah Peguam Syarie Pulau Pinang 1997, kelayakan untuk menjadi seorang Peguam Syarie ialah - seorang Pegawai Undang-Undang Kerajaan Persekutuan ; seorang Pengamal Undang-Undang yang memiliki sijil yang sah dikeluarkan di bawah Akta Profesion Undang-Undang, 1976 [Akta 166] ; atau seseorang yang telah mencapai umur 21 tahun ; dan seseorang yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Syariah dan Sarjana Muda Undang-Undang yang diiktiraf oleh MAINPP dari mana-mana institusi pengajian tinggi yang diiktiraf oleh Kerajaan Persekutuan ; dan telah mendapat latihan profesional yang diiktirafkan di dalam bidang kehakiman Islam ; atau berkemahiran dalam Hukum Syarak ; dan berkelakuan baik, dan tidak pernah disabitkan di Malaysia atau di mana-mana tempat lain atas apa-apa kesalahan jenayah ; atau tidak pernah dihukum menjadi seorang bankrap ; atau tidak pernah didapati bersalah atas apa-apa perbuatan atau ketinggalan yang dinyatakan dalam Akta Kebankrapan 1967 [Akta 55] ; dan seorang warganegara Malaysia.
Menurut Kaedah ini, seseorang yang telah digugurkan namanya dari daftar Peguambela dan Peguamcara menurut Akta Profesion Undang-Undang 1976 adalah tidak layak untuk diterima masuk sebagai Peguam Syarie. Bagi seseorang yang telah diterima masuk sebagai Peguam Syarie sebelum beliau digugurkan sebagai Peguambela dan Peguamcara menurut Akta 166 tersebut, kedudukannya sebagai Peguam Syarie adalah tertakluk kepada aduan dan tindakan tatatertib yang akan dikenakan oleh Jawatankuasa Peguam Syarie di bawah Majli Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), menurut Seksyen 18 hingga 20 Kaedah tersebut. 
Sebab dan bukti yang wajar boleh ditunjukkan kepada Jawatankuasa bahawa Peguam Syarie itu telah disabitkan atas suatu kesalahan jenayah di bawah mana-mana undang-undang bertulis, atau dia telah bersalah untuk kelakuan curang dalam menjalankan kewajipan profesionalnya atau kelakuan yang tak sesuai sebagai seorang Peguam Syarie ; atau apa-apa kesalahan lain yang diperuntukkan oleh Seksyen 18 Kaedah-Kaedah Peguam Syarie tersebut. Apa-apa aduan mengenai kelakuan seseorang Peguam Syarie hendaklah dibuat secara bertulis kepada Pengerusi Jawatankuasa Peguam Syarie di bawah MAINPP [Seksyen 19]. Pengerusi Jawatankuasa akan mengadakan siasatan secara yang difikirkan adil dan munasabah dengan dengan memberi ruang kepada Peguam yang diadu untuk memberikan penjelasan dan membela diri. Setelah siasatan selesai, Jawatankuasa hendaklah memberi suatu laporan tentang siasatan kepada MAINPP sama ada Peguam Syarie berkenaan adalah bersalah atau tidak atas kesalahan yang diadukan itu [Seksyen 20].
Menurut Seksyen 21, MAINPP berkuasa membuat apa-apa perintah-perintah samada menggugurkan nama Peguam Syarie berkenaan daripada Daftar Peguam Syarie atau menggantung Peguam Syarie itu daripada menjalankan amalan bagi suatu tempoh tertentu atau memberi amaran atau membuat apa-apa perintah yang lain yang difikirkan adil dan munasabah.

Jelaslah bahawa Peguam Syarie bukanlah profesion kelas kedua yang membenarkan seseorang Peguambela dan Peguamcara yang telah digugurkan oleh Akta Profesion Undang-Undang 1976 untuk mencari jalan keluar dan menangguk kesempatan di bidang Syariah ini. Syarat-syarat kelayakan dan penerimaan masuk sebagai Peguam Syarie adalah amat ketat dan berwibawa, dan tidak memungkinkan seseorang yang telah melakukan tindakan atau kesalahan yang boleh dikenakan tindakan tatatertib diterima sebagai salah seorang pengamal profesion Peguam Syarie. 

-       Penulis ialah Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia. 


suntingan dari
http://peguamsyarie.org/?p=1144

0 pendapat:

Post a Comment

syukran kasiran