Sunday, October 11, 2009

kEs HaDHAnaH


KES RAHANIM BT MOHD YOBE lwn ADNAN B. AHMAD
Mahkamah Kadi Besar, Kuala Lumpur, 29 Ogos 1991
(kes mal no 7/89)
Kes ini adalah satu kes tuntutan mal yang dibuat oleh Rahanim binti Mohd Yobe (Yang Menuntut) yang tinggal di no28 Jalan 5/9, Taman Melati, Kuala Lumpur ke atas bekas suaminya Adnan bin Ahmad (Yang Kena Tuntut) terhadap hak jagaan anak yang bernama Adreena binti Adnan. Sejak tarikh penceraian antara Yang Menuntut dengan Yang Kena Tuntut pada 20/9/88, Adreena berada di bawah jagaan pihak Yang Kena Tuntut. Pihak Yang Menuntut telah memfailkan tuntutan hak hadanah ke mahkamah pada 19/1/89 kerana tidak berpuas hati dengan tindakan Pihak Yang Dituntut. Kes telah disebut beberapa kali tetapi tidak dibicarkan kerana Pihak Yang Dituntut mendakwa pihak mahkamah tidak mempunyai bidangkuasa untuk mendengar kes ini disebabkan pernikahan mereka berlaku di Thailand. Keputusan diberi pada 12/6/89 dengan menolak permohonan untuk mengenepikan perintah tegahan yang dikeluarkan oleh mahkamah pada 15/4/89. Dan mahkamah berpendapat ia mempunyai bidangkuasa untuk mendengar kes ini. Malah, satu perintah sementara mengenai hak lawatan dan bermesra dengan anak telah dikeluarkan oleh mahkamah pada 15/5/89 dengan perintah bahawa Yang Kena Tuntut mestilah memberi hak lawatan dengan menyerahkan Adreena kepada ibunya mengikut masa dan hari yang ditetapkan oleh mahkamah.

Isu berbangkit
1)      Bidangkuasa Mahkamah untuk mendengar kes
Pernikahan Yang Menuntut dengan Yang Kena Tuntut berlaku di Thailand melalui wali hakim. Pernikahan ini tidak didaftarkan semula di Pejabat Kadi Gombak Timur yang mempunyai bidangkuasa yang mana Yang  Menuntut tinggal pada masa itu. Menurut kenyataan Yang Menuntut pada 2/5/88 beliau telah menulis kepada Konsul Malaysia di Thailand mengenai perkara ini dan beliau mendapat surat pengesahan daripada pihak Konsul Malaysia yang mengesahkan perkahwinannya dengan Yang Kena Tuntut dari segi hukum syarak.


2)      Hak jagaan Adreena
Adreena telah diambil oleh Yang Kena Tuntut sejak 2/9/88 iaitu pada malam dimana berlaku perselisihan diantara Yang Menuntut dengan Yang Kena Tuntut. Yang Menuntut meminta Yang Kena Tuntut untuk menyerahkan Adreena kepadanya namun Yang Kena Tuntut enggan berbuat demikian. Hal ini kerana Adreena masih kecil dan belum mumayyiz pada masa tuntutan dibuat.


3)      Pengesahan cerai dan hak jagaan Adreena oleh Imam di Thailand
Yang Kena Tuntut menceraikan Yang Menuntut di Thailand pada 20/9/88 tanpa kehadiran Yang Menuntut dan penceraian itu didaftarkan di Thailand. Imam yang mengesahkan penceraian tersebut telah memberikan hak jagaan Adreena kepada Yang Kena Tuntut.

Ulasan Undang- undang Keterangan Islam

1)      Iqrar atau pengakuan
Yang Menuntut merupakan seorang janda yang mempunyai tiga orang anak sebelum berkahwin dengan Yang Kena Tuntut. Sebaliknya Yang Kena Tuntut telah mempunyai seorang isteri yang dinikahi dalam bulan Januari 1987 di Indonesia dan isterinya datang ke Malaysia pada 13/12/ 87. Yang Kena Tuntut menceraikan Yang Menuntut setelah isterinya datang ke Malaysia kerana mendapati rumahtangga tidak aman lagi serta keadaan ini tidak dapat diselamatkan.

2)      Kesaksian palsu
Yang Kena Tuntut mendakwa Yang Menuntut tidak layak memelihara Adreena kerana memandangkan perjalanan hidup Yang Menuntut sebelum ini. Saksi pertama Yang Kena Tuntut memberitahu Mahkamah bahawa Yang Menuntut tidak menunaikan solat 5 waktu dan tidak berpuasa. Tetapi apabila disoalbalas, saksi tersebut tidak pasti dengan keterangan yang diberikan.
3)      Iqrar secara tulisan
Kes Mohammad Salleh lwn Azizah (1984) 4 JH 212 dan kes Ahmad lwn Aishah (1980) 1 JH 212 telah dijadikan rujukan dalam perbicaraan kes ini. Surat pengesahan pendaftaran pernikahan oleh pihak Konsul Malaysia di Thailand diakui oleh Yang Menuntut selepas kegagalan untuk mendaftarkan semula pernikahan di Pejabat Kadi Gombak Timur.

Keputusan kehakiman
Diputuskan, hukum hak jagaan (hadanah) Adreena binti Adnan hendaklah diserahkan kepada ibunya iaitu Rahanim binti Mohd Yobe. Manakala Yang Kena Tuntut dibenarkan untuk melawat, mengambil dan bermesra dengan anaknya pada setiap minggu, anak akan diambil pada hari Jumaat jam 8 pagi dan hendaklah diserahkan semula kepada yang menuntut pada hari Ahad jam 6 petang. Malah Pihak Yang Kena Tuntut dengan persetujuan membayar nafkah anaknya sebanyak RM100.00 sebulan mulai September 1991 ke hadapan. Bayaran hendaklah dibuat secara tunai kepada Yang Menuntut pada tiap- tiap bulan. Penyerahan anak tersebut dibuat mulai hari Ahad 1/9/1991 jam 6 petang di rumah ibu Yang Kena Tuntut.

0 pendapat:

Post a Comment

syukran kasiran