Wednesday, November 13, 2013

Jangan Kahwin Suami Orang



SURAT UNTUK AMIE, 26 TAHUN

Pertama-tamanya saya menyokong hasrat Amie untuk menamatkan zaman bujang dan memilih untuk bernikah. Namun, sebelum Amie membuat keputusan muktamad berkenaan calon yang dirasakan sesuai untuk menjadi suami, saya cuba untuk berkongsi beberapa perkara supaya pilihan yang Amie buat kelak adalah bersandarkan syariat yang dianjurkan dalam memilih pasangan. Sebagai umat Islam, tiada yang lebih agung untuk diyakini melainkan ajaran dan petua yang digariskan supaya matlamat kebahagiaan yang Amie harapkan tercapai.

            Perkahwinan merupakan fitrah yang diraikan oleh Islam dalam mengatur hubungan antara lelaki dan perempuan. Di samping itu, ia juga penting sebagai pemeliharaan keturunan daripada  mempunyai identiti ibubapa yang jelas. Buat pengetahuan Amie, terdapat sebuah hadis yang menganjurkan kita sama ada lelaki mahupun perempuan yang ingin berkahwin supaya mengutamakan lelaki dan perempuan yang masih bujang. Sebagaimana sabda Nabi s.a.w dalam hadis diriwayatkan Ibnu Majah dan al-Baihaqi,
maksudnya: “Kahwinlah anak dara sesungguhnya mereka ini selalu berkata dengan baik, lemah lembut, kemungkinan kesuburan mereka amat besar (mendapat anak), kurang tipu helah mereka (jujur) dan mudah reda dengan yang sedikit.”
Besar hikmah yang diselitkan disebalik pemilihan lelaki dan perempuan yang belum pernah berkahwin sebagaimana yang dipersetujui oleh para ulamak bahawa perkahwinan dengan lelaki dan perempuan bujang akan membantu kemesraan dalam hubungan rumahtangga kelak serta kelebihan lain yang telah dinyatakan dalam maksud hadis tersebut. Amie masih muda untuk membuat pilihan lelaki bujang berbanding memilih Encik Ahmad yang telah beristeri serta mempunyai anak.

            Walaupun demikian, bukan niat saya untuk menghalang niat Amie atau sengaja mencurigai pilihan Amie, sebaliknya saya lebih berbesar hati jika Amie mengambil pengajaran dan menjadikan hadis ini sebagai panduan pemilihan daripada jaminan agama. Dalam riwayat Bukhari daripada Rasullullah s.a.w pernah bersabda yang bermaksud:
“Perempuan dikahwini atas empat perkara; kerana hartanya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Pilihlah perempuan yang ber agama, nescaya kamu akan diberkati Allah.”
Selain itu, Nabi s.a.w juga ada bersabda yang bermaksud “Apabila kamu didatangi sesiapa yang kamu boleh menerima agamanya dan akhlaknya, kamu mesti membenarkannya mengahwini anak perempuan kamu. Jika kamu tidak berbuat demikian, nescaya satu fitnah besar akan berlaku di bumi serta menjadi keburukan dan kerosakan yang berleluasa.”
Kedua-dua hadis ini menekankan bahawa pemilihan pasangan mestilah berdasarkan agama bukan atas alasan yang lain. Muhammad Ibnu Ibrahim al-Hamdi dalam bukunya telah menyenaraikan 47 kesalahan serius berhubung perkahwinan antaranya tidak memilih agama calon sebagai nilaian awal sebaliknya mengutamakan rupa, harta malah kerana cinta yang buta. Seperti orang lain, saya yakin Amie juga mengharapkan rumahtangga yang bahagia didunia dan juga diakhirat. Oleh itu, saya berharap agar Amie sedia untuk melakukan risikan terhadap khabar berita daripada teman-teman pejabat berhubung dengan dakwaan bahawa Encik Ahmad sering mendera isteri dan melayan buruk terhadap ruamhtangga yang sedia ada.

            Kepentingan lain dalam perkahwinan adalah merujuk kepada kepimpinan suami untuk mendidik dan mengawal rumahtangganya. Seorang suami yang baik akan bertindak sebagai pelindung kepada isteri dan anak-anak sebagaimana Allah s.w.t telah berfirman dalam surah an-Nisa ayat 19:
Maksudnya: gaulilah isteri-isterimu dengan sebaik-baiknya
Imam Ghazali menjelaskan bahawa pergaulan dengan isteri yang diistilahkan baik adalah bersabar dengan sikapnya dengan mengawal kemarahan atau emosi terhadapnya. Dalam Kes Hasnah Binti Omar Lwn Zaaba (JH 1995 JLD.X BHG.I) telah meluaskan skop pendefinisian menganiayai isteri atau darar kepada isteri yang meliputi emosi melalui kata cacian, membelakangi isteri ketika tidur, mengutamakan pemberian kepada wanita lain melebihi isteri selain pukulan fizikal yang mencederakannya. Oleh yang demikian, tanggungjawab menjadi pelindung oleh suami adalah sangat teliti dalam Islam. Hal ini secara tak langsung menyokong Amie untuk memilih Encik Ahmad dengan melihat kepada agamanya.

Dalam surah ar-Ruum ayat 21
وَمِنۡ ءَايَـٰتِهِۦۤ أَنۡ خَلَقَ لَكُم مِّنۡ أَنفُسِكُمۡ أَزۡوَٲجً۬ا لِّتَسۡكُنُوٓاْ إِلَيۡهَا وَجَعَلَ بَيۡنَڪُم مَّوَدَّةً۬ وَرَحۡمَةً‌ۚ إِنَّ فِى ذَٲلِكَ لَأَيَـٰتٍ۬ لِّقَوۡمٍ۬ يَتَفَكَّرُونَ
Maksudnya: Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.
Dalam ayat ini menyenaraikan dengan ringkas tentang hasil daripada perkahwinan yang Berjaya apabila ia membuahkan sakinah (ketenangan), mawaddah (kebahagiaan) dan rahmah (kasih sayang). Oleh yang demikian, Amie tidak perlu terlalu bimbang dengan jodoh yang telah ditentukan oleh Allah kerana ia adalah pilihan yang sepadan dan serasi dengan jiwa Amie. Jika tidak beroleh ketenangan darinya maka ada sesuatu yang salah pada jodoh kalian.

            Sejujurnya saya amat bersetuju dengan konsep jodoh adalah ketentuan Allah namun soal takdir bukanlah sesuatu yang boleh dibaca. Oleh yang demikian, ia perlu disempurnakan dengan pemilihan yang betul serta istikharah. Sudahkan Amie solat istikharah sebelum memutuskan Encik Ahmad adalah pilihan yang tepat atau jodoh yang ditunjukkan oleh Allah. Saya telah pun menjelaskan berkenaan panduan untuk menilai pemilihan calon suami. Oleh itu, Amie harus sediakan niat yang telus untuk mengikuti sunnah dalam berkahwin.

            Lebih baik perigi tanpa timba daripada perigi yang mempunyai banyak timba kemudian ditinggalkan malah air pula yang makin kurang. Saya cuba menjelaskan bahawa perempuan perlu menjaga maruahnya daripada menjadi fitnah kepada lelaki. Jika mereka sentiasa meletakkan harga diri yang murah dengan membiarkan lelaki mudah mendekatinya maka solehahnya makin kurang. Sebagaimana saidatina Aisyah r.a menjelaskan dalam satu riwayatnya menyatakan bahawa wanita solehah itu tidak memandang dan tidak dipandang. Konsep perigi mencari timba boleh diterima dalam Islam malah dalam sejarah juga ada memerihalkan lelaki yang dipinang oleh perempuan iaitu dalam sirah pernikahan Rasullullah dan Siti Khadijah r.a.

            Pertamanya,Siti Khadijah r.a tidak memilih Rasullullah kerana rupa mahupun harta sebalik kerana kejujurannya semasa menjalankan perniagaan milik Siti Khadijah r.a. Sebelum menjadi rasul, Baginda telah digelar al-amin atau bermaksud yang amanah. Akhlak menjadi sandaran utama pemilihan Siti Khadijah r.a. kemudian, peminangan tidak dibuat secara langsung sebaliknya menggunakan perantaraan atau orang tengah iaitu Maisarah (seorang lelaki) untuk bertanya kepada Rasullullah s.a.w. Kemudian Rasullullah meminta bapa saudaranya Abu Talib untuk membuat persiapan ke rumah Khadijah bagi menyempurnakan peminangan. Begitulah kronologi yang sopan dan beradab dalam konsep yang boleh diterjemahkan dalam istilah melayu sebagai perigi mencari timba. Timba dan perigi yang mulia dari segi agama dan akhlak.

            Lagi pula, dalam Islam menggalakan keadaan tersebut sebagaimana dalam sebuah hadis yang diriwayatkan Anas berkata: “Ada seorang wanita yang datang menawarkan diri kepada Rasulullah dan berkata: “Ya Rasulullah! Apakah kau memerlukan aku?” Puteri Anas yang hadir ketika mendengar perkataan wanita itu mencelanya dengan mengatakan dia tidak punya harga diri dan rasa malu. “Sungguh memalukan dan betapa buruknya…!” Anas berkata kepada puterinya itu: “Dia lebih baik daripadamu! Wanita itu senang kepada Nabi dan menawarkan dirinya!” (Riwayat Bukhari)
Ringkasnya, saya tidak menolak bahawa jodoh adalah ketentuan Allah Cuma saya berharap agar Amie tidak salah faham pada konsep tersebut atau menyempitkan kefahaman dengannya.

            Sebelum saya mengakhiri tulisan ini, saya ingin sekali menyelitkan tentang risiko yang bakal  berlaku jika pemilihan calon suami tidak dilakukan dengan baik. Selain daripada menggangu-gugat kebahagiaan dan kehancuran rumahtangga, ia juga menyebabkan tekanan dan trauma pada anak-anak. Didikan pada anak-anak akan terjejas malah keperluan jasmani dan rohani mereka juga mudah tergadai jika ibubapa tidak mampu bertindak sebagai pemaju rumahtangga yang baik dan aman. Semakin parah apabila suami turut mengabaikan nafkah dan keperluan isteri sama ada zahir mahupun batin.

            Tambahan pula,situasi poligami jika Amie memilih untuk tetap menjadi isteri kedua Encik Ahmad. Dr. Yusuf al-Qaradhawi dalam membincangkan wanita dan fikih menjelaskan bahawa cara pernikahan yang baik itu ialah apabila tidak ada penghalang yang menghambat pernikahannya daripada salah satu pihak, atau keluarganya, atau tradisi masyarakatnya, atau undang-undang negaranya dan lain-lain. Poligami biasanya mudah menimbulkan ketidak-puasan hati isteri sedia ada. Ia disokong oleh kajian tesis yang dilakukan oleh Ustazah Fatimah Syarha berkenaan poligami dengan berpendapat bahawa Seandainya isteri tidak merelakan, ia akan mengakibatkan pertengkaran dan pergaduhan besar. Biasanya sukar dimaafkan dan dilupakan selama-lamanya kerana isteri sudah hilang kepercayaan kepada suami. Sekaligus meruntuhkan tujuan perkahwinan

Oleh yang demikian, dapatlah disimpulkan bahawaAmie perlu menilai semula keputusan untuk tetap memilih Encik Ahmad sebagai suami.


0 pendapat:

Post a Comment

syukran kasiran